Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah saya menggunakan rawatan laser bagi mengembalikan semula warna bibir saya yang kusam dan tampak hitam kepada warna asalnya iaitu kemerahan? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”
( Surah al-Nur: 31)
Sayyid Qutb menyebutkan bahawa perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512.)
Begitu juga firman Allah SWT:
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”
(Surah al-A‘raf: 32)
Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15.)
Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90.)
Definisi LASER dan rawatan menggunakannya
Perkataan LASER berasal dari singkatan Bahasa Inggeris iaitu “Light Amplification by Stimulated Emission of Radiation”.[1] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, laser ialah alat untuk menerbitkan dan memperkuat gelombang-gelombang cahaya menjadi pancaran cahaya yang amat kuat dan tertumpu pada satu hala.[2]
Laser merupakan sinaran cahaya yang mempunyai jarak gelombang yang tertentu dan akan menghasilkan tenaga. Apabila dipancarkan ke kulit atau tisu, tenaga tersebut akan diserap oleh sel-sel tertentu di bawah lapisan kulit. Tenaga yang diserap akan bertukar menjadi haba dan seterusnya memusnahkan sel-sel sasaran. Setiap peralatan laser adalah berbeza mengikut jenis rawatan. Sebagai contoh peralatan laser untuk rawatan pigmentasi tidak boleh digunakan untuk masalah lain seperti membuang tatu atau bulu roma. Ini adalah kerana tenaga dari jarak gelombang yang dihasilkan akan bertindak ke atas sel sasaran sahaja, manakala sel-sel lain yang bukan sasaran tidak menyerap tenaga tersebut.
Selain itu, laser boleh digunakan dalam pelbagai masalah kulit seperti pigmentasi kulit, jerawat, saluran darah kecil di bawah kulit, membuang tatu, membuang bulu roma, menegangkan kulit, merawat parut dan sebagainya. Rawatan laser boleh diberi kepada sesiapa sahaja bergantung kepada keperluan perubatan atau kosmetik. Walau bagaimanapun pakar akan membuat pemeriksaan sebelum menyarankan sama ada rawatan laser dan peralatan yang ada sesuai atau tidak. Ada beberapa komplikasi boleh berlaku, antaranya permukaan kulit boleh bertukar menjadi kemerah-merahan untuk beberapa hari. Begitu juga, lebam dan kelecuran boleh berlaku selepas rawatan. Hasil kelecuran akan meninggalkan parut. Kulit akan menjadi sensitif kepada sinaran cahaya dan boleh menyebabkan pigmentasi.[3] Ini merupakan komplikasi-komplikasi yang boleh berlaku bagi rawatan laser secara umumnya.
Dr. Abdul Jamil Jamal Buhari, yang merupakan seorang Pakar Aestetik menyebutkan bahawa masalah bibir yang sering terjadi ialah kering dan menggelupas. Bibir yang kering dan merekah akan perit serta menyakitkan. Ini biasanya disebabkan oleh alahan terhadap gincu atau losen tertentu. Maka, antara rawatan yang boleh dicadangkan ialah menggunakan laser untuk membantu menjadikan bibir lebih merah, anjal, mengurangkan rekahan dan garisan kerutan halus pada bibir. Laser yang menggunakan gelombang 1,046nm akan dipancarkan pada bibir dalam lingkungan tiga hingga lima minit. Pancaran tersebut akan merangsang kolagen dan tisu elastin yang ada pada bibir. Tiada kesan bengkak, kemerahan atau terbakar dapat dirasai. Apabila kolagen dan elastin dirangsang, ia akan menjadikan warna bibir kemerahan, mengurangkan garisan halus dan melembutkan lagi tekstur bibir.[4]
Hukum merawat bibir kusam dengan LASER
Mengenai hal ini, kami berpendapat bahawa melakukan rawatan bibir dengan menggunakan LASER sebagaimana yang telah dinyatakan di atas adalah diharuskan. Hal ini adalah sebagaimana keumuman firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Selain itu, rawatan tersebut tidak termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT sebagaimana yang telah diharamkan oleh syarak kerana ia tidak mengubah apa-apa ciptaan yang asal. Akan tetapi rawatan tersebut adalah bertujuan bagi merawat bibir yang kusam dan merekah dengan mengembalikan semula ia kepada warnanya yang asal. Dr. Soleh al-Fauzan dalam bukunya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada menyebutkan bahawa apa-apa pembedahan bagi mengembalikannya kepada kejadian yang asal — yakni normal — tidak termasuk dalam perkara mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74.)
Tambahan lagi, terdapat sebuah hadith daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, yang menjadi parameter dalam menentukan batasan mahupun keluasannya dalam perkara ini. Beliau berkata:
لَعَنَ اللَّهُ الواشِماتِ والْمُسْتَوْشِماتِ، والنّامِصاتِ والْمُتَنَمِّصاتِ، والْمُتَفَلِّجاتِ لِلْحُسْنِ الـمُغَيِّراتِ خَلْقَ اللهِ
Maksudnya: “Allah SWT melaknat wanita-wanita yang membuat tatu dan yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu mata, yang diminta cabut bulu matanya, yang merenggangkan giginya demi kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”
Riwayat al-Bukhari (4886); Muslim (2125)
Hadith di atas menunjukkan bahawa semua perkara yang disebutkan adalah diharamkan dan lafaz ‘laknat’ yang terkandung di dalam hadith berkenaan merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith yang sama melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani, 10/373)
Walau bagaimanapun, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa lafaz “لِلْحُسْنِ” yang terdapat dalam hadith berkenaan mengandungi isyarat yang menunjukkan hukum haram tersebut adalah ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Justeru, ia dapat difahami bahawa jika terdapatnya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. ( Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107.)
Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada — yakni normal. Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Justeru, ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekaligus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73.)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa rawatan bibir dengan menggunakan LASER sebagaimana kaedah yang telah dijelaskan di atas adalah diharuskan. Hal ini kerana rawatan tersebut tidak termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan, sebaliknya bertujuan bagi merawat dan memulihkan bibir yang kusam atau merekah kepada keadaan dan warnanya yang asal — yakni normal.
Walau bagaimanapun, kami turut menasihatkan agar seseorang yang ingin mendapatkan rawatan bibir dengan menggunakan LASER ini, sebaiknya rujuklah terlebih dahulu pakar bagi membuat pemeriksaan dan mendapatkan nasihat daripada pakar sebelum menggunakannya — yakni sama ada rawatan LASER itu sesuai ataupun tidak buat mereka — bagi mengelakkan sebarang komplikasi-komplikasi yang tidak diinginkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 16 Februari 2022 bersamaan 14 Rejab 1443H
[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/laser-dalam-pembedahan-plastik/. Diakses pada 16 Februari 2022.
[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=laser. Diakses pada 16 Februari 2022.
[3] Lihat http://www.myhealth.gov.my/laser-dalam-pembedahan-plastik/. Diakses pada 16 Februari 2022.
[4] Lihat Berita Harian Online, laporan berita bertajuk: “Rawatan untuk Bibir Menawan,” bertarikh: 10 April 2015. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/04/46662/rawatan-untuk-bibir-menawan. Diakses pada 16 Februari 2022.