#5032: Menggunakan Kemudahan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekarang ramai orang yang tinggal di kawasan perumahan apartment/ kondominium. Perumahan begini datang dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gym, gelanggang sukan dan bermacam lagi. Apa hukumnya penduduk yang membawa masuk tetamu dan menggunakan kemudahan tersebut sedangkan kemudahan ini adalah hak bersama dengan penduduk lain? Bagaimana pula dengan tuan punya rumah yang telah pun menyewakan unit masing-masing, tetapi masih memasuki kawasan untuk menggunakan kemudahan tersebut? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan sebuah hadith daripada ‘Amru bin ‘Auf al-Muzani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 وَالْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا

Maksudnya: “Dan kaum muslimin itu harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati, kecuali syarat yang mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram.”

Riwayat al-Tirmizi (1352) dan Ibn Majah (2353)

Syeikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadis ini, berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah   balik.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 10/26)

Menjawab persoalan di atas, hendaklah dirujuk kepada terma perjanjian ketika akan sewaan, apa yang dibolehkan dan tidak dibolehkan. Saat yang sama, hendaklah melihat uruf yang telah diterima pakai oleh penduduk setempat pada masa itu. Buatlah perbincangan secara baik oleh Jawatankuasa Penduduk dengan khalayak penghuni agar kesepakatan dapat diambil dalam memutuskan isu yang terkait dengan hak dan siapa yang berhak menggunakan kolam renang sama ada tuan rumah atau hanya penyewa atau kedua-duanya sekali, atau juga tetamu yang datang berkunjung untuk mandi. Jika ini dapat dirungkai dengan sebaiknya, maka hilanglah kemelut sebarang perasaan tidak puas hati dan digantikan dengan perasaan redha serta saling menghormati.

Kami kemukakan sebuah hadith Rasulullah SAW sebagai renungan bersama: Daripada Abi Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

 وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (47)

Dalam masyarakat Melayu, budaya menerima tetamu amat baik seperti menjamu dan melayannya dengan mesra. Akan tetapi alangkah baiknya apabila ditingkatkan lagi seperti mana yang dianjurkan oleh Islam.

Hadis ini menunjukkan penghormatan yang tinggi kepada jiran dan mafhum mukhalafahnya (pemahaman terbaliknya) bahawa menghina dan mencaci jiran merupakan dosa yang besar, apatah lagi tidak menghormati dan menceroboh hak jiran. (Lihat al-Kafi, hlm. 172-173)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”