#5034: Lelaki Bersalaman dengan Mak Nyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seseorang lelaki bersalaman atau berpelukan dengan maknyah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan secara ringkas takrifan mak nyah. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, mak nyah adalah panggilan kepada golongan pondan.[1] Dalam erti kata lain, mak nyah (juga dieja sebagai maknyah), adalah terma kaum nyahpakaian yang merujuk kepada wanita trans [lelaki-kepada-wanita (MTF)] di Malaysia. Terma ini muncul pada akhir 1980-an untuk membezakan wanita trans dengan golongan minoriti lain.

Golongan wanita trans di Malaysia lebih gemar akan terma “mak nyah” berbanding terma-terma lain yang berbaur penghinaan (contohnya, pondan dan bapok), yang digunakan oleh penduduk Sarawak untuk merujuk kepada golongan transjantina. Pondan dan bapok turut digunakan untuk merujuk kepada lelaki gay dan individu transjantina lain. Walaupun jarang digunakan, terma pak nyah juga digunakan untuk merujuk kepada golongan lelaki transjantina.[2]

Seterusnya, secara umumnya, Islam adalah agama rahmah yang sentiasa menyeru manusia agar mengeratkan persaudaraan. Islam sangat menggalakkan umatnya untuk memberikan salam dan bersalaman di antara satu sama lain; lelaki bersalaman sesama lelaki atau dengan mahramnya, dan begitu juga dengan wanita bersalaman sesama wanita atau dengan mahramnya. Hal ini jelas berdasarkan kepada riwayat al-Barra’ R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

‏ مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلاَّ غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا ‏

Maksudnya: “Tidaklah dua orang Muslim saling bertemu kemudian berjabat tangan, kecuali akan diampuni (dosa-dosa) mereka berdua sebelum mereka berpisah.”

Riwayat Abu Daud (4773)

Dapat difahami daripada hadith ini bahawa disunatkan bagi seorang lelaki bersalaman dengan lelaki yang lain dan begitu juga disunatkan bagi seorang perempuan bersalaman dengan perempuan lain. (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Ibn al-Qasim, 1/178).

Sekalipun begitu, ulama mengecualikan hukum sunat bersalaman seperti yang di atas kepada golongan yang disebutkan sebagai amrad al-jamil. Amrad di sisi fuqaha’ ialah mereka yang tidak tumbuh janggut atau bulu mengikut kebiasaan lelaki. (Lihat Bujairimi ‘ala Khatib, 3/324). Dalam erti kata lain, amrad yang dimaksudkan ulama ialah lelaki yang rupanya seakan-akan wanita.

Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (4/476) juga ada menekankan perlunya berjaga-jaga daripada bersalaman dengan amrad dan menyebut bahawa memandang kepada amrad tanpa sebarang keperluan adalah haram menurut pendapat yang sahih dalam mazhab. Beliau menyatakan pengharaman tanpa apa alasan sekali pun, melainkan dengan anak sendiri.

Begitu juga dalam mazhab Imam Ahmad dilihat lebih tegas, bahawa dalam bersalaman untuk mengucapkan tahniah diharuskan jika sesama jantina, tetapi tidak dengan amrad. (Lihat Hasyiah al-Raud al-Murbi‘, 2/522)

Manakala Ibn ‘Abidin dalam kalangan ulama Hanafiyyah pula mengambil pandangan yang membahagikan kepada dua hukum:

  • Sekiranya amrad ini tidak mempunyai rupa paras yang menawan (menurut kebiasaan) dan tidak membawa fitnah, maka dianggap seperti orang lelaki biasa, maka tidak diharamkan untuk memandangnya.
  • Sekiranya amrad ini mempunyai rupa paras yang menawan (menurut kebiasaan) dan boleh membawa fitnah, maka dari segi hukum ia terbahagi kepada dua: (i) memandang tanpa ada niat bersedap-sedap atau bersyahwat, kemudian aman daripada fitnah, seperti mana seorang lelaki memandang anaknya yang merupakan amrad, maka tidak mengapa. (ii) memandang dengan niat bersedap-sedapan dan bersyahwat, maka diharamkan untuk melihatnya. (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 1/283).

Bahkan terdapat satu kaedah sebagaimana dinyatakan dalam Hasyiah al-Baijuri (1/178) bahawa “Setiap sesuatu yang diharamkan untuk dilihat, maka diharamkan untuk menyentuhnya” kerana sentuhan lebih memberi kesan kepada syahwat. Dikecualikan daripada kaedah memandang ajnabi sekiranya mempunyai keperluan dalam urusan jual beli, menerima dan memberi hadiah, namun tetap tidak dibenarkan menyentuh ajnabi dalam urusan-urusan tersebut.

Asas kepada pengharaman bersalam dengan golongan amrad ini sangat jelas hikmahnya. Islam tidak menghina golongan amrad, tetapi pengharaman ini demi mengelakkan terjadinya kemungkaran. Jelas pada hari ini, apabila kes homoseksual yang dilaporkan melanda. Bermula daripada kes guru meliwat murid di sekolah hinggalah kes perlakuan homoseksual yang melibatkan sesama orang dewasa. Inilah di antara hikmah larangan tersebut.

Kami melihat adanya penyerupaan di antara larangan untuk bersalaman dengan amrad dengan golongan transgender. Bahkan larangan untuk bersalaman dengan transgender adalah lebih tegas lagi kerana ‘illah kepada larangan itu adalah untuk mengelakkan daripada terjatuh ke dalam kemungkaran dan syahwat. Golongan amrad adalah mereka yang semulajadi mempunyai rupa paras yang menarik. Akan tetapi golongan transgender ini sengaja mengubah rupa paras agar menyerupai jantina yang berbeza daripada jantina sewaktu kelahiran. Maka, larangan bersalaman ketika bersyahwat dengan golongan transgender lebih kuat dari segi ‘illahnya.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa jika perbuatan bersalaman dan berpelukan seseorang lelaki dengan mak nyah itu membawa kepada timbulnya fitnah, perasaan syahwat dan seumpamanya, maka tidak syak lagi ia adalah dilarang dan diharamkan. Namun, jika perbuatan bersalaman dan berpelukan itu tidak membawa kepada fitnah, tohmahan, perasaan syahwat dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan jika ada keperluan terutamanya dalam konteks dakwah. Lebih-lebih lagi, jika dia seorang pendakwah yang ingin berdakwah kepada golongan seperti ini kepada jalan kebaikan, dan ia adalah salah satu pendekatan dakwah dalam mendekati mad‘u. Begitu juga jika mad‘u tersebut sedang dalam proses menerima dan berubah ke arah lebih baik, dan bukannya mereka yang masih menzahirkan kemaksiatan mereka itu — melalui penyerupaan dengan wanita dan mencabar hukum agama.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

 

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=mak%20nyah. Diakses pada 8 Disember 2023.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Mak_nyah_(slanga). Diakses pada 8 Disember 2023.