#5038: Jihad Yang Paling Baik Untuk Wanita

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada membaca artikel ustaz berkenaan dengan jihad wanita, dan saya tidak nampak sebarang larangan untuk wanita sertai peperangan. Persoalan saya, apakah yang terbaik bagi wanita, adakah berjihad di medan peperangan lebih baik berbanding haji?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami terangkan terlebih dahulu takrif jihad.

Pertama sekali mari kita lihat jihad dari sudut bahasa, ia mempunyai banyak maksud. Merujuk kepada kamus Lisan al-‘Arab, jihad berasal dari kalimah jim-ha-dal (ج.ه.د) yang bermaksud  menghadapi kesusahan dan mengerah tenaga. (Lisan al-‘Arab, 3/133)

Dari segi istilah, jihad ditakrifkan dengan pelbagai definisi oleh para ulama. Al-Kasani mengatakan jihad pada uruf syarak digunakan pada mengerah sepenuh kemampuan untuk berjuang pada jalan Allah s.w.t dengan nyawa, harta, lisan dan lain-lain. (Lihat Bada’i’ al-Sana’i’, 7/97)

Sebahagian fuqaha seperti Ibn ‘Arafah (Lihat al-Fawakih al-Dawani, 2/879), Ibn Hajar (Lihat Fath al-Bari, 1/6) dan al-Buhuti (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat: 1/716) mentakrifkan jihad dengan perang secara khusus. Ini bermakna, terdapat dua takrifan mengenai jihad iaitu jihad am dan jihad khas. Secara am ia meliputi pelbagai jenis jihad sama ada dengan harta, lisan dan nyawa manakala secara khas ia bermaksud memerangi musuh.

Menjawab persoalan yang saudara ajukan, kami katakan terlebih dahulu bahawa hukum jihad di jalan Allah SWT ini berbeza bagi lelaki dan juga perempuan. Perkara ini pernah disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi, katanya bahawa syarat-syarat wajib berjihad di jalan Allah SWT ini ada tujuh:

  • Beragama Islam.
  • Telah mencapai umur baligh.
  • Seorang yang berakal.

Adapun 3 syarat yang pertama ini, ia merupakan syarat wajib bagi semua furu‘ atau cabang-cabang perbahasan fiqh. Orang bukan Islam tidak diwajibkan, sebaliknya terdapat larangan untuk mereka dari menyertai jihad bersama orang Islam kerana  dikhuatiri mereka berbuat khianat dengan memecahkan rahsia orang islam kepada tentera musuh, atau mereka itu berperang tanpa semangat dan bukan bertujuan untuk mempertahankan Islam. Melainkan jika adanya keperluan untuk meminta bantuan orang bukan Islam dengan sebab-sebab yang mendesak, maka dibolehkan menurut fuqaha’ Mazhab al-Syafi‘i.

Orang yang tidak berakal pula, seperti gila, tidak disyari‘atkan berjihad kerana dalam medan peperangan itu, kewarasan adalah perkara yang amat penting. Manakala kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh pula, mereka ini lemah tubuh badan. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ عَرَضَهُ يَوْمَ أُحُدٍ وَهُوَ ابْنُ أَرْبَعَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَلَمْ يُجِزْهُ، وَعَرَضَهُ يَوْمَ الخَنْدَقِ، وَهُوَ ابْنُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَأَجَازَهُ

Maksudnya: “Nabi SAW memeriksanya untuk perang Uhud dan ketika itu usia Ibn Umar 14 tahun, lalu Baginda tidak membenarkannya. Kemudian Baginda memeriksanya untuk perang Khandaq dan ketika itu usianya 15 tahun, lalu Baginda membenarkannya.”

Riwayat al-Bukhari (4097) dan Muslim (1868)

  • Seorang yang merdeka.

Imam al-Baihaqi mengatakan, ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

ٱنفِرُوا۟ خِفَافًۭا وَثِقَالًۭا وَجَـٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ

Maksudnya: “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam).”

(Surah al-Taubah: 41)

Sedangkan dari sudut hukumnya seseorang yang tidak merdeka (hamba sahaya) tidak memiliki harta, dan dirinya adalah milik tuannya, sedangkan syarat jihad itu perlu mempunyai kecukupan harta. Maka tidak wajib berjihad bagi orang yang tidak merdeka.

  • Jantina lelaki.

Diwajibkan ke atas lelaki kerana terdapat sebuah riwayat daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَلْ عَلَى النِّسَاءِ مِنْ جِهَادٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، عَلَيْهِنَّ جِهَادٌ لَا قِتَالَ فِيهِ؛ الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, adakah kaum wanita itu diwajibkan jihad? Baginda menjawab: ‘Ya, mereka diwajibkan jihad tanpa perang di dalamnya, yakni haji dan umrah’.”

Riwayat  al-Bukhari (1520), Ahmad (24158) dan Ibn Majah (2901)

Wanita tidak termasuk dalam kalangan yang diwajibkan berjihad di medan peperangan kerana secara fitrahnya wanita itu bersifat lemah dan dha‘if. Begitu juga tidak diwajibkan berjihad bagi golongan khunsa kerana tidak dapat dipastikan sama ada dia adalah lelaki yang sebenar, maka syak yang terdapat pada syarat ini menggugurkan kewajiban jihad darinya.

  • Selamat dari sebarang mudharat atau sakit.

Yang dimaksudkan dengan selamat dari mudharat ini pula, tidak buta, tidak tempang atau sakit. Inilah syarat seperti yang diisyaratkan dalam firman Allah SWT:

لَّيْسَ عَلَى ٱلْأَعْمَىٰ حَرَجٌۭ وَلَا عَلَى ٱلْأَعْرَجِ حَرَجٌۭ وَلَا عَلَى ٱلْمَرِيضِ حَرَجٌۭ ۗ

Maksudnya: “Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya).”

(Surah al-Fath: 17)

Segala keuzuran ini menghalangnya dari jihad. Adapun orang buta, maka halangannya sudah diketahui. Orang yang tempang pula, ia menghalangnya dari berjalan dan menunggang dengan baik. Orang yang sakit pula halangannya lebih kuat.

  • Mempunyai nafkah.

Mempunyai nafkah ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَّيْسَ عَلَى ٱلضُّعَفَآءِ وَلَا عَلَى ٱلْمَرْضَىٰ وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا۟ لِلَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۚ

Maksudnya: “Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya.”

(Surah al-Taubah: 91)

Berjihad itu tidak boleh tidak mesti dengan adanya senjata, dan ia merupakan syarat kemampuan untuk berjihad. Begitu juga nafkah bagi ahli keluarganya sepanjang pemergiannya perlu ada. (Lihat al-Mughni, 13/8-9; Ahkam al-Quran, 2/22)

Persoalan sama ada jihad di medan perang itu lebih baik bagi wanita, atau haji lebih utama, ini telah dijawab sendiri oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW seperti dalam hadith Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.A, katanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، نَرَى الجِهَادَ أَفْضَلَ العَمَلِ، أَفَلاَ نُجَاهِدُ؟ قَالَ: لاَ، لَكِنَّ أَفْضَلَ الجِهَادِ حَجٌّ مَبْرُورٌ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, kami menganggap jihad merupakan amal yang paling utama. Apakah kami boleh berjihad?” Baginda bersabda: ‘Tidak, tetapi jihad yang paling utama ialah haji yang mabrur’.”

Riwayat al-Bukhari (1520)

Bagaimana mungkin jihad wanita itu sama dengan jihad di medan peperangan? Jihad itu seperti yang disebutkan dalam banyak nas-nas syara‘ boleh dilakukan sama ada dengan pengorbanan diri atau harta. Firman Allah SWT:

ٱنفِرُوا۟ خِفَافًۭا وَثِقَالًۭا وَجَـٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ

Maksudnya: “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam).”

(Surah al-Taubah: 41)

Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Ibn Baz menyatakan bahawa pendapat yang lebih sahih dalam masalah jihad wanita dengan harta ini adalah wanita wajib berjihad dengan harta. Hal ini kerana dia termasuk dalam umum nas sekiranya dia memiliki harta dan keupayaan. Oleh itu, dia berjihad dengan harta sambil melakukan apa yang  dimudahkan oleh Allah dalam haji dan umrah. (Lihat Fatawa Nur ‘ala Darb, 18/268)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan yang kami bawakan, mengerjakan haji dan berusaha untuk mendapatkan haji yang mabrur itu adalah lebih utama bagi wanita sebagai ganti kepada jihad di medan peperangan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a‘lam