Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum bercakap-cakap sebelum mengangkat takbiratul ihram selepas iqamat sudah dilaungkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, seorang Muslim itu dituntut untuk bercakap-cakap mengenai perkara yang baik-baik dan bermanfaat, di samping memelihara lidah daripada kata-kata yang buruk dan boleh menambahkan lagi dosa. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَن كانَ يُؤْمِنُ باللَّهِ واليَومِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia mengucapkan yang baik sahaja atau diam.”
Riwayat al-Bukhari (6018); Muslim (47)
Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa mengucapkan yang baik-baik dan meninggalkan daripada kata-kata yang buruk adalah termasuk dalam kesempurnaan iman.
Bercakap-cakap selepas iqamat dilaungkan
Mengenai hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya, menurut mazhab Syafi‘i dan jumhur ulama dari Hijaz serta selain daripada mereka bahawa diharuskan untuk bercakap-cakap selepas iqamat dikumandangkan dan sebelum takbiratul ihram. Akan tetapi, adalah lebih baik perbuatan bercakap-cakap itu ditinggalkan melainkan terdapatnya keperluan. Manakala Abu Hanifah dan ulama dari Kufah pula berpendapat hukumnya adalah makruh. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/227)
Tambahan lagi, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:
أُقِيمَتِ الصَّلاةُ، فَسَوّى النّاسُ صُفُوفَهُمْ، فَخَرَجَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ، فَتَقَدَّمَ، وهو جُنُبٌ، ثُمَّ قالَ: على مَكانِكُمْ فَرَجَعَ فاغْتَسَلَ، ثُمَّ خَرَجَ ورَأْسُهُ يَقْطُرُ ماءً، فَصَلّى بهِمْ
Maksudnya: “Apabila iqamat untuk solat telah dikumandangkan, maka orang ramai meluruskan saf-saf mereka. Lalu Rasulullah SAW keluar dan maju ke hadapan, dan Baginda dalam keadaan junub, kemudian Baginda bersabda: ‘Kamu jangan berganjak dari tempat masing-masing.’ Lalu Baginda pulang dan mandi, kemudian Baginda keluar dan kepalanya basah dengan air, lalu Baginda solat bersama mereka.”
Riwayat al-Bukhari (640); Muslim (605)
Begitu juga hadith lain yang menunjukkan keharusan bercakap-cakap ketika itu. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أقيمُوا الصفوفَ وحاذُوا بين المناكبِ وسُدُّوا الخَللَ
Maksudnya: “Dirikan saf-saf kamu serta samakan bahu-bahu kamu dan tutuplah ruang-ruang (yang ada).”
Riwayat Abu Daud (666)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa hadith di atas menunjukkan keharusan adanya jarak pemisah antara iqamat dan solat — yakni takbiratul ihram — kerana perkataan “فَصَلَّى” (yakni Baginda solat) secara zahirnya difahami bahawa iqamat itu tidak diulang. ( Lihat Fath al-Bari, 2/122.)
Tambahan pula, Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa hadith tersebut menunjukkan kepada keharusan untuk bercakap-cakap antara iqamat dan solat — yakni sebelum takbiratul ihram. Ini merupakan pendapat mazhab Syafi‘i dan juga pendapat jumhur ulama sekalipun terdapat sebahagian ulama melarangnya — yakni perbuatan bercakap-cakap selepas iqamat. Meskipun begitu, pendapat yang tepat ialah perbuatan bercakap-cakap selepas iqamat itu adalah diharuskan, tidak kira percakapan itu berkaitan dengan perkara-perkara yang melibatkan maslahat solat ataupun selainnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/157.)
Kesimpulannya
Oleh itu, kami berpendapat bahawa perbuatan bercakap-cakap selepas iqamat dikumandangkan sekalipun telah berdiri dan berada di dalam saf bagi memulakan solat selagi mana masih belum lagi mengangkat takbiratul ihram adalah diharuskan dan tidak mengapa. Meskipun begitu, jika tiada sebarang keperluan adalah lebih baik perbuatan bercakap-cakap selepas iqamat itu ditinggalkan agar ia tidak mengganggu fokus orang yang sudah bersedia untuk mendirikan solat dan beribadah kepada Allah SWT.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.