#5040: Larangan Meminta Sedekah untuk Menjadi Kaya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang itu meminta-minta kepada orang lain dengan niat untuk mengumpulkan harta dan bukannya kerana dia sangat memerlukannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

Maksudnya: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ‘Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.’

(Surah al-Munafiqun: 10)

Syeikh al-Maraghi menafsirkan, nafkahkanlah sebahagian kurniaan harta yang Kami berikan kepadamu sebagai tanda syukur terhadap nikmat-Nya dan kasih kepada hamba-Nya yang fakir. Simpanlah nafkah itu untuk hari perhitungan supaya kamu boleh memetik hasil daripada apa yang kamu telah amalkan. Janganlah kamu menyimpannya dalam peti-peti kamu tinggalkan untuk ahli warismu. Ini disebabkan ahli warismu mungkin akan menghabiskannya pada jalan yang tidak akan mendatangkan kepujian dan sanjungan kepadamu, malah mendatangkan cacian dan makian kepadamu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/7032).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa tidak boleh bagi seseorang itu untuk meminta sedekah bagi tujuan mengumpulkan harta atau menjadi kaya, ataupun meminta sedekah tanpa sebarang keperluan dan hajat kepadanya. Ini semua adalah haram dan dilarang dalam Islam.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَأَلَ اَلنَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا، فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا، فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ

Maksudnya: “Sesiapa yang meminta harta kepada manusia untuk memperkayakan dirinya, maka bererti hanya meminta bara api neraka. Oleh sebab itu, terserahlah kepadanya untuk meminta sedikit atau meminta banyak.”

Riwayat Muslim (1041)

Maksud ‘meminta harta kepada manusia’ di sini ialah seseorang yang meminta bagi tujuan mengumpulkan harta dan kekayaan dirinya tanpa sebarang keperluan kepadanya. (Lihat Fath al-Mun‘in, 4/395)

Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata Qadi ‘Iyadh bahawa yang dimaksudkan dengan ‘meminta bara api’ adalah diazabkan dengan api neraka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/130).

Selain daripada itu, Syeikh Abdullah al-Bassam ketika menysrahkan hadith ini turut menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa haramnya meminta sesuatu tanpa keperluan, akan tetapi tujuannya adalah untuk mengumpulkan harta. Orang yang meminta-minta harta bagi tujuan mengumpulkannya tanpa sebarang hajat atau keperluan kepada harta tersebut, sebenarnya mengumpulkan bara api yang akan dinyalakan baginya di neraka Jahannam. Ini kerana dia mengumpulkan harta secara haram, dan harta yang dikumpulkannya dengan cara ini adalah haram, dan begitu juga wasilah atau medium yang digunakan untuk mengumpulkannya juga adalah diharamkan.

Dinyatakan di dalam Syarh al-Iqna‘ bahawa meminta zakat, sedekah atau bayaran kaffarah dan seumpamanya adalah diharamkan, jika baginya apa yang sudah mencukupi. Justeru, dapat difahami juga sesiapa yang meminta sesuatu kerana keperluan dan benar-benar berhajat kepadanya serta bukannya untuk mengumpulkan harta, maka hal itu adalah halal, dan cara untuk mendapatkannya juga adalah dibenarkan.

Selain itu, dalam kitab yang sama turut disebutkan, bagi sesiapa yang diharuskan untuk mengambil bahagiannya daripada zakat, sedekah, bayaran kaffrah dan seumpamanya, maka memintanya juga adalah diharuskan kerana dia meminta bahagian haknya yang diharuskan baginya. Adapun lafaz, “Oleh sebab itu, terserahlah kepadanya untuk meminta sedikit atau meminta banyak,” merupakan ancaman kepadanya kerana memintanya tanpa keperluan/hajat kepada harta tersebut, dengan menyatakan bahawa apa yang diambil dengan cara ini adalah bara api dari neraka Jahannam. Oleh itu, hendaklah dia mengambil sebanyak atau sedikit mengikut kadar yang dia minta di dunia. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/409-410).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”