Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kelebihan surah al-Hajj?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Diriwayatkan daripada Khalid bin Ma’dan R,A, katanya:
فُضِّلَتْ سُورَةُ الحَجِّ بِسَجْدَتَيْنِ
Maksudnya: “Surah Al-Hajj diutamakan kerana ada dua sujudnya (dua ayat sajadah).”
Riwayat Abu Dawud dalam al-Marasil (hlm. 113)
Hadith ini juga diriwayatkan secara mausul dengan sanad yang dhaif daripada ‘Uqbah bin ‘Amir dengan penambahan:
ِ فَمَنْ لَمْ يَسْجُدْهُمَا، فَلاَيَقْرَأْهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak sujud pada keduanya, maka janganlah membacanya.”
Riwayat Ahmad (4/151) dan al-Tirmizi (878). Imam Nawawi dan Ibnu Hajar menyatakan bahwa hadith ini dhaif.
Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith ini menjadi dalil berkenaan kelebihan Surah al-Hajj berbanding Surah lain dalam al-Quran; iaitu terdapat dua sujud dalamnya. Namun, itu tidak menunjukkan keutamaannya secara mutlak berbanding surah lain, tetapi sesuatu itu dipilih berdasarkan taqyid yang dikenakan iaitu dua sujud tilawah. Hadith ini juga menjadi dalil bahawa sujud terakhir dalam Surah al-Hajj adalah salah satu sujud tilawah yang dianggap sah dalam al-Quran. Dalam hal ini, berbeza dengan pandangan Abu Hanifah dan pengikutnya yang menganggapnya ia tidak termasuk sujud tilawah sah dalam al-Quran. Hal ini juga menunjukkan kewajipan sujud dalam surah ini. Dengan dua sujudnya; larangan membacanya kecuali bagi mereka yang berniat untuk sujud dalamnya – merupakan petunjuk kewajibannya; kerana larangan hanya berlaku jika meninggalkan kewajipan, tetapi ia sebagai ta’kid pengukuhan sujud di dalamnya, tanpa kewajipan, sebagaimana dipegang oleh majoriti ulama’, iaitu ketidakwajiban sujud tilawah, dan terdapat banyak nas yang menyatakan berkenaan meninggalkan sujud, seperti riwayat berikut dari Umar R.A yang mengatakan: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mewajibkan sujud kepadaku, kecuali jika aku menghendakinya.” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari] (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/363-364)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”