#5043: Hijrah Dari Negara Barat Kerana Islamofobia

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kes islamofobia semakin berleluasa di negara-negara barat, sehinggakan perkara ini boleh mengundang bahaya kepada masyarakat muslim yang menetap di sana sekiranya mereka menzahirkan agamanya. Adakah perkara ini menjadi faktor utama wajibnya berhijrah ke negara Islam yang lain?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan saudara, kami bawakan kalam Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah tentang cara pemilihan yang benar untuk menjadikannya rumah serta tempat bermukim kita. Beliau berkata, sesuatu tempat yang ingin dijadikan tempat bermukin itu seharusnya menjadikan seseorang lebih mudah mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya, lebih banyak melakukan amalan kebaikan. Dan pastinya orang Islam lebih tahu tentang perkara ini, lebih berupaya untuk merealisasikan, dan lebih menitikbertakannya. Maka hukum bermukim di sesuatu tempat itu merupakan perkara yang subjektif, bergantung kepada individu tersebut. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 27/39)

Allah SWT telah menjadikan bumi ini luas terbentang, dan setiap individu diberikan pilihan untuk bermukim dan menetap di mana-mana tempat yang disukainya. Akan tetapi, ciri pemilihan tempat terbaik adalah tempat yang paling mudah untuk kita menzahirkan agama kita. Hal ini kerana beberapa sebab yang utama:

  • Menzahirkan agama itu dapat membantu seseorang untuk mengerjakan amal ibadahnya dengan lebih sempurna, tanpa perlu terikat dengan sebarang syarat yang boleh membataskan kesempurnaan ibadah.
  • Penzahiran ini merupakan salah satu metode dakwah Islam yang berkesan kepada orang bukan Islam, dengan menunjukkan disiplin sebagai seorang muslim dalam menjaga kewajiban agama, mempamerkan akhlak yang mulia, menggayakan diri dengan pakaian yang sopan, dan sebagainya.
  • Perkara ini merupakan usaha bagi menegakkan syi‘ar Islam di muka bumi milik Allah SWT ini.

Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu ditindas di kawasan dia bermukim kerana menzahirkan keislamannya, maka sebaiknya dia berhijrah ke kawasan lain yang mana masyarakatnya lebih meraikan kebebasan beragama. Ini kerana menzahirkan agama – yakni mengerjakan amal ibadah itu adalah suatu tuntutan dalam

Allah SWT telah bersabda di dalam al-Tanzil:

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ قَالُوا۟ فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا۟ كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ قَالُوٓا۟ أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةًۭ فَتُهَاجِرُوا۟ فِيهَا ۚ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: ‘Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?’ Mereka menjawab: ‘Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.’ Malaikat bertanya lagi: ‘Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?’ Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.”

(Surah al-Nisa’: 97)

Imam Ibn Kathir menukilkan kalam al-Dahhak, katanya bahawa ayat ini diturunkan secara umum kepada mereka yang bermukim di kalangan orang musyrikin sedangkan dia berkemampuan untuk hijrah, dan mereka ini tidak dapat menegakkan agama Islam, mereka ini telah menzalimi diri mereka dan telah melakukan satu perkara yang haram berdasarkan persepakatan ulama’. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/344)

Sebahagian pihak mungkin beralasan bahawa kawasan tempat dia bermukim itu merupakan kawasan di mana dia memperoleh punca rezeki untuk menanggung keluarganya, sedangkan dia masih berkemampuan untuk berhijrah dan mencari rezeki halal di tempat lain. Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا لِلَّهِ إِلَّا بَدَّلَكَ اللَّهُ بِهِ مَا هُوَ خَيْرٌ لَكَ مِنْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu tidak meninggalkan sesuatu kerana Allah melainkan Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik bagi kamu daripadanya.”

Riwayat Ahmad (23074). Al-Albani mengatakan sanadnya sahih di  dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (2/734)

Akan tetapi, sekiranya orang tersebut tidak mempunyai keupayaan untuk berhijrah keluar atas faktor-faktor tertentu, maka dia diberikan pengecualian. Firman Allah SWT di dalam ayat yang seterusnya:

إِلَّا ٱلْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلْوِلْدَٰنِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةًۭ وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًۭا (٩٨) فَأُو۟لَـٰٓئِكَ عَسَى ٱللَّهُ أَن يَعْفُوَ عَنْهُمْ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَفُوًّا غَفُورًۭا (٩٩)

Maksudnya: “Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.”

(Surah al-Nisa’: 98-99)

Ketika dalam keadaan sukar untuk menzahirkan agama Islam secara jelas di tempat dia bermukim, dan adanya keuzuran yang menghalang untuk berhijrah ke negara Islam yang lain, maka berusahalah sedaya upaya untuk tetap teguh mengerjakan kewajiban ibadah semampu yang boleh. Firman Allah SWT:

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Kesimpulan

Kami katakan, sekiranya masyarakat setempat di negara barat tersebut, sebagai contoh, menzahirkan penentangan serta memberikan ancaman kepada seseorang muslim dari menzahirkan agama Islam yang haq, maka alternatif berhijrah ke negara Islam yang lain adalah diwajibkan ke atasnya sekiranya dia berkemampuan.

Manakala jika terdapat sebarang faktor yang menghalang mereka dari keluar berhijrah dan bermukim di tempat lain, maka dia perlu berusaha sehabis kemampuannya untuk menjaga syari‘at Islam dalam kehidupan sehariannya.

Kami juga mencadangkan, sekiranya terdapat mereka yang tersepit dalam keadaan ini, cuba dapatkan bantuan orang ramai atau mana-mana organisasi Islam di luar sana untuk menjadi pemudah cara bagi mereka berhijrah ke negara Islam.

Semoga, umat Islam di serata dunia diberikan kekuatan dalam menegakkan agama Allah SWT, serta istiqamah dalam melaksanakan ketetapan-ketetapan syara‘. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Wallahu a‘lam