#5044:  Maksud Hadith “إنَّ اللهَ هو الحكَمُ وإليهِ الحُكمُ”

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terbaca sebuah hadith mafhumnya “Sesungguhnya Allah Lah Al-Hakam (penentu hukum) dan hanya kepadanya kita berhukum  ”, boleh Dato’ syarahkan kepada kami hadith ini ?   Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah  diriwayatkan daripada  Haani’ bin Yaziid R.A beliau berkata bahawa Nabi SAW  mendengar ada di antara mereka yang berkunyah Abu al-Hakam. Maka Nabi SAW memanggilnya dan bersabda:

إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْحَكَمُ وَإِلَيْهِ الْحُكْمُ فَلِمَ تُكَنَّى أَبَا الْحَكَمِ ‏”‏‏.‏ فَقَالَ إِنَّ قَوْمِي إِذَا اخْتَلَفُوا فِي شَىْءٍ أَتَوْنِي فَحَكَمْتُ بَيْنَهُمْ فَرَضِيَ كِلاَ الْفَرِيقَيْنِ‏.‏ قَالَ ‏”‏ مَا أَحْسَنَ مِنْ هَذَا فَمَا لَكَ مِنَ الْوُلْدِ ‏”‏‏.‏ قَالَ لِي شُرَيْحٌ وَعَبْدُ اللَّهِ وَمُسْلِمٌ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَمَنْ أَكْبَرُهُمْ ‏”‏‏.‏ قَالَ شُرَيْحٌ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَأَنْتَ أَبُو شُرَيْحٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu adalah Al-Hakam, dan Dialah yang berhak menetapkan hukum. Kenapa engkau berkunyah Abul-Hakam ?”. Ia menjawab :  kaumku bila berselisih pada satu permasalahan, mereka mendatangiku. Kemudian aku menghukumi apa yang mereka perselisihkan itu, dan akhirnya mereka redha dengan keputusanku itu. Beliau bersabda : “Betapa baik apa yang kamu lakukan itu”. Beliau melanjutkan : “Apakah engkau memiliki anak ?”. Beliau menjawab : “Anaku  Syuraih, ‘Abdullah, dan Muslim . Baginda bertanya : “Siapa yang paling tua  di antara mereka ?”. Beliau  menjawab : Syuraih . lalu Baginda bersabda : “Gantilah kunyahmu dengan Abu Syuraih.

Riwayat Nasa’i (5402)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan apa yang dimaksudkan dengan “Allah itu adalah Al-Hakam, dan Dialah yang berhak menetapkan hukum” ialah  Allah SWT adalah Hakim, segala  hukum-hakam-Nya  tidak dapat ditolak, dan segala hukum kembali kepada-Nya .

Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan bahawa: Daripada Allah bermula dan berakhirnya segala hukum. Ini sebagaiman Firman Allah SWT:

لَهُ الْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya: BagiNyalah kuasa memutuskan segala hukum, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan (untuk dihitung amal masing-masing dan menerima balasan)

(Surah al-Qasas:88)

Ini bermaksud hukum Allah tidak dapat ditolak dan hukum-Nya tidak terlepas dari kebijaksanaan-Nya.  Dalam menggunakan nama “Abu al-Hakam” terhadap orang lain, ia memberikan anggapan perkongsian sifat tersebut secara keseluruhan, walaupun istilah itu tidak digunakan oleh Allah SWT sendiri kerana ia boleh menyebabkan penafsiran tentang hubungan ayah-anak. Nabi SAW mengubah nama Amr bin Hisham yang dikenali sebagai “Abu al-Hakam” kepada “Abu Jahal”. Menurut penjelasan dalam syarh sunnah, “Al-Hakam” merujuk kepada Hakim yang apabila membuat keputusan, keputusan-Nya tidak boleh ditolak. Sifat ini tidak sesuai untuk selain dari Allah SWT, dan di antara nama-Nama-Nya adalah “Al-Hakam” (Lihat Mirqah al-Mafatih, Syarh Misykah al-Masabih,7/3003)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa:  Apabila segala yang selain daripada Allah adalah fana dan tiada kekal, maka  Allah-lah yang kekal, yang tiada Tuhan selain daripada-Nya, dan kepada-Nya lah segala hukum di dunia dan akhirat. Kepada-Nya lah semua makhluk akan kembali, untuk diberi balasan berdasarkan perbuatan mereka. Adalah  menjadi kewajipan bagi mereka yang diberi akal, untuk menyembah Allah tanpa menyekutukannya, dan melakukan amalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, serta menjauhi murka dan hukuman-Nya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.625)

Justeru, berdasarkan hadis yang disebutkan tadi, kita dapat menyimpulkan bahawa Allah-lah yang menciptakan segala sesuatu dan Dia adalah Yang Maha Berkuasa yang menetapkan segala peraturan dan hukum hakam di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kita untuk mentaatinya serta menghindari segala larangan-Nya kerana pada akhirnya, kita semua akan kembali kepada-Nya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Wallahua’lam