#5046: Sebab Berlakunya Peperangan Bani Qainuqa’

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan sebab berlakunya peperangan Bani Qainuqa’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sejarah Orang Yahudi di Madinah

Kami nyatakan terlebih dahulu sejarah orang Yahudi dan bagaimana mereka boleh menetap di Madinah atau sebelumnya dikenali sebagai Yathrib.

Syeikh al-Mubarakfuri dalam al-Rahiq al-Makhtum (hlm. 297-300) menerangkan:

Pada asalnya, orang Yahudi pergi ke Hijaz semasa zaman penindasan oleh kerajaan Asyria dan Rom. Pada hakikatnya, mereka ialah orang Ibrani. Tetapi setelah berada di Hijaz, mereka mengamalkan cara kehidupan orang Arab dari segi pakaian, bahasa dan peradaban. Sehinggakan nama-nama kabilah dan individu mereka turut menggunakan bahasa Arab. Akhirnya mereka dapat menjalin hubungan perkahwinan dan persemendaan dengan orang Arab. Akan tetapi mereka sangat kuat berpegang dengan keagungan bangsa mereka. Justeru, mereka tidak menyerap ke dalam kehidupan orang Arab secara keseluruhan, malah mereka menunjukkan kebanggaan dengan kebangsaan Israel dan agama Yahudi mereka.

Mereka menganggap orang Arab sebagai lekeh sehingga mereka menggelar orang Arab sebagai masyarakat ummi, yang bermaksud primitif dan sangat ketinggalan. Mereka berpendapat bahawa harta benda orang Arab adalah dibolehkan untuk mereka, dan mereka boleh mendapatkannya dengan apa cara sekalipun. Mereka mengatakan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَّا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا ۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ ‎

Maksudnya: “Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).”

(Surah Ali ‘Imran: 75)

Mereka sebenarnya tidak mempunyai semangat untuk menyebarkan agama. Paling besar bekalan agama yang mereka miliki hanyalah berkisar dalam konteks al-fa’lu, sihir, meniup tali, jampi mentera dan seumpamanya. Disebabkan itu, mereka berpendapat bahawa merelah orang yang memiliki ilmu, kemuliaan, kepimpinan dan kerohanian.

Orang Yahudi sangat mahir dalam soal pekerjaan dan kehidupan. Mereka menguasai perniagaan bijirin, kurma, arak dan pakaian. Mereka mengimport pakaian, bijirin dan arak serta mengeksport buah kurma selain beberapa pekerjaan lain.

Mereka mengambil keuntungan berlipat kali ganda daripada orang Arab yang lemah. Bukan setakat itu sahaja, malah mereka juga terlibat dalam perniagaan riba. Mereka memberi pembesar-pembesar Arab meminjam harta supaya para ketua tersebut mendapat sanjungan daripada golongan penyair dan mendapat nama baik dalam kalangan manusia setelah berjaya membantu mereka tanpa perlu bekerja lama. Tetapi mereka menjadikan tanah-tanah para pembesar itu sebagai cagaran, di samping ladang dan kebun-kebunnya. Beberapa tahun selepas itu, mereka berjaya memiliki tanah-tanah tersebut.

Orang Yahudi juga terkenal dengan kepandaian mereka dalam membuat rencana, muslihat dan kerosakan. Mereka akan menanamkan rasa permusuhan antara kabilah-kabilah Arab yang berdekatan. Sebahagian kabilah itu diapi-apikan dengan rancangan yang halus tanpa disedari oleh kabilah-kabilah tersebut. Disebabkan itu, kabilah-kabilah ini terus-menerus berada dalam peperangan yang tidak berkesudahan. Jari-jari Yahudi sentiasa memarakkan semula api peperangan itu apabila api itu akan terpadam. Selepas berjaya mengapi-apikan permusuhan, mereka akan duduk memerhatikan apa yang bakal berlaku kepada orang Arab itu.

Mereka juga membekalkan orang Arab dengan pinjaman riba yang amat berat untuk ditanggung sehingga menyebabkan orang Arab tidak dapat mengelak daripada terus-menerus berperang disebabkan keadaan hidup yang sempit. Dengan cara ini, orang Yahudi mendapat dua faedah. Pertamanya, mereka dapat mempertahankan status Yahudi mereka. Keduanya, mereka dapat membiayai perniagaan riba dengan mengaut untung berlipat kali ganda serta memperolehi kekayaan yang banyak.

Di Yathrib, terdapat tiga kabilah orang Yahudi, iaitu:

  • Bani Qainuqa’

Mereka ialah rakan sekutu kabilah Khazraj. Kampung halaman mereka terletak di dalam kawasan Madinah.

  • Bani al-Nadhir.
  • Bani Quraizhah.

Bani al-Nadhir dan Bani Quraizhah adalah rakan sekutu kabilah Aus. Kampung halaman mereka terletak di pinggir kota Madinah.

Inilah kabilah-kabilah Yahudi yang sering kali membangkitkan api peperangan antara kabilah Aus dan Khazraj sejak zaman yang panjang. Kabilah-kabilah ini sendiri turut melibatkan diri dalam peperangan Bu’ath di mana setiap kabilah tersebut menyertai pihak sekutunya.

Orang-orang Yahudi sentiasa memandang Islam dengan pandangan penuh kebencian dan dendam kesumat. Ini kerana Rasulullah SAW bukan daripada kalangan bangsa mereka. Kerana itu, adalah sukar untuk menenteramkan fahaman kebangsaan yang terlalu menebal dan menguasai jiwa serta akal fikiran mereka. Dakwah Islam pula ialah dakwah yang bertujuan menyatukan hati-hati yang tidak sehaluan serta memadamkan api permusuhan dan sikap benci membenci. Dakwah Islam mengajak manusia agar bersikap amanah dalam segenap urusan, memakan dari sumber yang halal dan harta yang baik sahaja.

Ini bererti kabilah-kabilah Yahudi di Yathrib juga akan turut disatukan di bawah prinsip-prinsip ini, dan ini pastinya akan menyebabkan terlepasnya cengkaman orang Yahudi dan kegagalan aktiviti perniagaan mereka. Mereka akan dihalang daripada harta riba yang merupakan sumber utama mereka untuk memperolehi kekayaan. Malah, ada kemungkinan kabilah-kabilah Arab lain akan mula menyedari keadaan ini lalu meminta supaya dipulangkan semula harta-harta yang diambil oleh orang Yahudi secara riba. Justeru, mereka akan meminta dikembalikan tanah dan kebun yang jatuh ke tangan orang Yahudi akibat amalan riba tersebut.

Orang Yahudi mengambil kira semua perkara tersebut sejak mereka mendapati Islam mula mendapat kedudukan yang stabil di Yathrib. Oleh sebab itulah mereka menyembunyikan permusuhan yang ketat terhadap Islam dan Rasulullah SAW sejak Baginda SAW sampai ke Yathrib. Namun, mereka tidak menzahirkan penentangan ini kecuali tidak lama selepas itu.

Perjanjian Rasulullah SAW dengan Orang Yahudi

Setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan meyakini bahawa keadaan masyarakat Islam telah kukuh dengan wujudnya penyatuan akidah, politik dan peraturannya, Baginda SAW mula memikirkan untuk mengatur jalinan hubungan dengan orang bukan Islam pula. Tujuannya adalah untuk memperolehi keamanan dan kedamaian yang menyeluruh serta kebahagiaan seluruh masyarakat.

Rasulullah SAW telah dapat mengatur rantau tersebut dalam satu haluan. Justeru, Rasulullah SAW mula merintis polisi bertolak ansur dan timbang rasa yang belum pernah diamalkan oleh dunia yang ketika itu diselubungi ketaksuban dan penindasan.

Masyarakat bukan Islam yang paling hampir dengan Madinah ialah kaum Yahudi. Mereka menyembunyikan permusuhan terhadap orang Islam dan tidak menzahirkan sebarang penentangan serta permusuhan. Rasulullah SAW telah mengadakan perjanjian dengan mereka yang memberikan mereka kebebasan mutlak dalam soal agama dan harta benda. Rasulullah SAW tidak melakukan pengusiran dan permusuhan terhadap orang Yahudi ini. Perjanjian yang dimeteri ini adalah termasuk dalam perjanjian antara umat Islam seperti yang disebutkan sebelum ini. Antara butir-butir penting dalam perjanjian ini adalah:

  • Orang Yahudi Bani Auf adalah satu umat bersama-sama orang beriman. Orang Yahudi dan orang Islam berhak mengamalkan agama masing-masing termasuklah pengikut-pengikut dan diri mereka sendiri. Perkara ini juga terpakai bagi orang Yahudi selain dari Bani Auf.
  • Orang Yahudi dan orang Islam wajib membiayai nafkah mereka sendiri.
  • Antara mereka hendaklah saling tolong menolong menentang sesiapa yang memerangi piagam ini.
  • Antara mereka hendaklah saling nasihat menasihati, berbuat kebaikan dan tidak melakukan perkara yang salah.
  • Seseorang tidak boleh membuat kesalahan terhadap sekutunya.
  • Pertolongan hendaklah diberikan kepada orang yang dizalimi.
  • Dalam peperangan, orang Yahudi dan orang beriman hendaklah saling membiayai.
  • Dengan piagam ini, Yathrib menjadi tanah yang dihormati.
  • Sebarang masalah atau pertikaian yang dibimbangi membawa kerosakan kepada mereka yang memeterai piagam ini hendaklah dirujuk kepada Allah dan Muhammad SAW.
  • Orang Quraisy tidak boleh dilindungi dan begitu juga orang yang membantu mereka.
  • Mereka yang terlibat dengan piagam ini hendaklah tolong menolong menentang orang yang hendak menghancurkan Yathrib; bagi setiap orang yang mempunyai hak masing-masing dari pihaknya sendiri.
  • Perjanjian ini tidak boleh dilanggar melainkan orang yang zalim dan berdosa. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/503)

Dengan termeterainya perjanjian ini, Madinah dan kawasan-kawasan pinggirnya telah menjadi negara yang disahkan. Ibu kotanya adalah Madinah dan pemimpinnya ialah Muhammad SAW. Perintah Rasulullah SAW mesti dilaksanakan. Rasulullah SAW berperanan sebagai ketua negara dalam kalangan umat Islam.

Setelah Rasulullah SAW memeterai perjanjian ini dengan orang Yahudi, Baginda SAW sangat cermat dalam melaksanakan isi kandungan perjanjian tersebut. Ternyata bahawa orang Islam tidak melakukan sebarang perkara yang melanggar walau satu huruf pun daripada teks perjanjian itu.

Akan tetapi, orang Yahudi, di mana sejarah mereka dipenuhi dengan pengkhianatan dan pembatalan perjanjian, tidak lama selepas itu mula mengamalkan tabiat lama mereka. Mereka mula menjalankan perancangan dan komplot, melaga-lagakan dan menimbulkan keluh-kesah serta haru-biru dalam kalangan barisan umat Islam. Berikut adalah beberapa contoh tindakan mereka:

Tipu Daya Orang Yahudi

Ibn Ishaq menyatakan, bahawa Shas bin Qais (seorang tua Yahudi yang sangat kufur dan membenci umat Islam) sedang berjalan, lalu bertemu sekumpulan sahabat Rasulullah SAW daripada kalangan orang Aus dan Khazraj yang sedang berkumpul dalam satu majlis dan sedang berbual-bual. Melihat kemesraan dan hubungan yang baik antara sahabat Rasulullah SAW itu, timbullah kebenciannya, sedangkan semasa Jahiliyyah, mereka (para sahabat) sentiasa bermusuhan. Lalu dia berkata, “Sekumpulan Bani Qailah telah mula bersatu padu di negeri ini. Demi Allah, kami tidak akan selamat kalau mereka telah bersatu.” Lalu disuruhnya seorang anak muda Yahudi yang bersamanya dengan berkata, “Pergilah kepada mereka dan duduklah berbuat bersama. Kemudian, ingatkan mereka mengenai Perang Bu’ath dan kisah-kisah silam sebelumnya. Bacakan kepada mereka sebahagian syair-syair yang menjadi kemegahan mereka dahulu.”

Anak muda itu pun memainkan peranannya mengikut arahan Shas bin Qays Dia berbicara dengan mereka seperti yang diarahkan sehingga akhirnya menyebabkan mereka mula bertelagah dan bermegah, sehinggakan lelaki dari dua puak itu (Aus dan Kahzraj) bingkas melompat di atas kenderaan mereka dan saling berbalas kata. Kemudian, salah seorang daripada mereka berkata kepada yang seorang lagi, “Kalau kau sanggup, maka kami pun sanggup pulangkan batang kurma (bersedia untuk menghidupkan semula perang saudara yang pernah berlaku dalam kalangan mereka)!” Kedua-dua pihak mulai marah. Mereka berkata, “Kami sanggup, dan perjanjian kita ialah apa yang zahir, senjata, senjata!” Kemudian, mereka pun keluar untuk melaksanakan tujuan itu (peperangan hampir tercetus).

Berita itu sampai kepada Rasulullah SAW. Lalu, dengan segera Rasulullah SAW bersama-sama sahabat-sahabat Muhajirin keluar menemui mereka. Apabila sampai, Rasulullah SAW berkata, “Hai, sekalian orang Islam! Allah, Allah! Apakah ajakan jahiliah yang kamu mahu sedangkan aku berada dalam kalangan kamu! Setelah Allah berikan hidayah kepada kamu untuk memeluk Islam, memuliakan kamu dengan Islam, menghapuskan urusan jahiliah yang ada pada kamu dengan Islam, menyelamatkan kamu daripada kekufuran dengan Islam, dan dengan Islam juga dijinakkan hati-hati kamu?”

Mendengarkan ucapan Rasulullah SAW itu, mereka pun mulai sedar yang mereka telah dirasuk syaitan dan terpengaruh dengan tipu daya musuh mereka. Lantas, mereka pun menangis dan saling berpelukan antara satu sama lain. Kemudian, mereka beredar serentak dengan beredarnya Rasulullah SAW dalam keadaan mendengar dan patuh kepada Baginda SAW. Allah telah memadamkan daripada mereka perancangan musuh Allah, iaitu Shas bin Qays. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/556)

Ini merupakan satu contoh perbuatan dan percubaan orang Yahudi melakukan provokasi terhadap umat Islam serta menjalankan gangguan- gangguan terhadap dakwah Islam. Mereka mempunyai berbagai-bagai taktik lain dalam menjalankan cita-cita mereka ini. Mereka menyebarkan berita-berita bohong: mereka beriman di siang hari dan kufur pada malamnya. Tujuan mereka ialah untuk menanam benih-benih keraguan di dalam hati orang yang lemah. Mereka menyempitkan jalan kehidupan orang beriman jika urusan orang mukmin itu ada bersangkut paut hal-hal harta dengan mereka. Namun, jika mereka yang berhutang dengan orang mukmin, maka mereka akan menggunakan harta itu secara batil dan enggan membayarnya kembali.

Mereka berkata, “Tanggungjawab kami menjelaskan bayaran itu kepada kamu hanyalah semasa kamu masih dalam agama nenek moyang kamu tetapi apabila kamu telah membelot agama, maka tidak ada ruang untuk kamu menuntut daripada kami.” Mereka melakukan semua itu semenjak sebelum Perang Badar lagi walaupun telah ada perjanjian yang mereka persetujui bersama-sama Rasulullah SAW. Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda SAW menahan sabar terhadap perilaku mereka kerana mengharapkan mereka akan segera sedar dan demi menjaga keamanan serta kesejahteraan di rantau tersebut.

Bani Qainuqa’ melanggar perjanjian Apabila orang Yahudi melihat kemenangan besar orang mukmin dalam Perang Badar, dan orang mukmin sendiri telah mula ada kekuatan serta kehebatan yang menggerunkan hati orang yang jauh dan dekat, kemarahan orang Yahudi terhadap orang mukmin tidak boleh diselindung lagi. Maka, kejahatan dan permusuhan mereka semakin terserlah; mereka menyatakan secara terus-terang kejahatan dan gangguan ke atas orang Islam.

Orang yang paling membenci dan jahat dalam kalangan mereka ialah Ka’ab bin al-Asyraf (akan diterangkan kemudian). Kumpulan yang paling jahat antara tiga kumpulan Yahudi ialah Yahudi Bani Qainuqa. Mereka merupakan orang Yahudi yang menetap dalam kawasan Madinah di kampung halaman yang menggunakan nama mereka. Mereka bekerja sebagai tukang emas, tukang besi dan tukang yang membuat barang-barang kantung serta pinggan mangkuk. Disebabkan pekerjaan-pekerjaan ini, maka setiap orang memiliki peralatan perang yang mencukupi. Bilangan mereka ialah seramai 700 orang. Mereka merupakan orang Yahudi Madinah yang paling berani Mereka juga ialah orang Yahudi pertama melanggar perjanjian.

Kemenangan umat Islam di Badar menambahkan lagi kemarahan puak ini. Mereka mula meluaskan lagi rancangan jahat mereka dan menjalankan provokasi. Mereka menyakiti orang mukmin yang datang ke pasar mereka, bahkan mereka tergamak mengganggu wanita-wanita muslim. Apabila mereka semakin berani dan permusuhan mereka semakin memburuk, Rasulullah SAW pun mengumpulkan mereka serta memberi nasihat kepada mereka. Rasulullah SAW mengajak mereka untuk kembali kepada kewarasan dan hidayah. Rasulullah SAW memberi amaran mengenai risiko buruk akibat kejahatan dan permusuhan mereka. Akan tetapi, nasihat itu tidak mendatangkan kesan, malah mereka semakin bertambah sombong dan angkuh.

Abu Dawud dan selainnya meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a, katanya, “Apabila Rasulullah SAW berjaya menewaskan Quraisy dalam Perang Badar dan pulang ke Madinah, Rasulullah SAW telah mengumpulkan orang Yahudi di pasar Bani Qainuqa lalu bersabda, “Hai, sekalian Yahudi! Islamlah kamu sebelum sampai masanya kamu ditimpa seperti yang menimpa Quraisy.” Mereka menjawab, “Hai, Muhammad! Janganlah engkau terpedaya disebabkan engkau berjaya membunuh orang Quraisy itu. Mereka itu bodoh dan tidak berpengalaman, tidak bijak berperang. Kalau engkau berperang dengan kami, tahulah engkau bahawa kamilah sebenar-benarnya manusia. Engkau tak akan temui orang yang sehebat kami.”

Kemudian, turunlah firman Allah:

قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوا سَتُغْلَبُونَ وَتُحْشَرُونَ إِلَىٰ جَهَنَّمَ ۚ وَبِئْسَ الْمِهَادُ (12) قَدْ كَانَ لَكُمْ آيَةٌ فِي فِئَتَيْنِ الْتَقَتَا ۖ فِئَةٌ تُقَاتِلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَأُخْرَىٰ كَافِرَةٌ يَرَوْنَهُم مِّثْلَيْهِمْ رَأْيَ الْعَيْنِ ۚ وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصْرِهِ مَن يَشَاءُ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَعِبْرَةً لِّأُولِي الْأَبْصَارِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang kafir itu, ‘Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada Hari Kiamat) ke dalam Neraka Jahanam. Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan agama Allah) dan yang satu pasukan lagi kafir (musyrik). Mereka (yang kafir itu) melihat orang Islam – dengan pandangan mata biasa-dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya melalui pertolongan-Nya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran (yang memberi insaf) bagi orang yang celik mata hatinya.

(Ali Imran: 12-13)

Jawapan yang diberikan oleh Bani Qainuqa kepada Rasulullah SAW itu membawa erti tindakan awal mereka mengisytiharkan peperangan. Akan tetapi, Rasulullah SAW menahan kemarahan dan terus bersabar. Umat Islam pun terus bersabar sambil mengharapkan agar suasana akan pulih menjadi baik semula. Namun, orang Yahudi Bani Qainuqa semakin berani. Jarang sekali mereka tidak menimbulkan kekacauan dan kebimbangan di Madinah. Mereka berusaha untuk menghapuskan penduduk Madinah dengan cara menyempitkan kehidupan mereka. Mereka menutup segala jalan sumber kehidupan orang Islam.

Ibn Hisyam meriwayatkan daripada Abu Aun bahawa ada seorang perempuan Arab yang datang membawa hasil tenusu untuk dipasarkan di pasar Bani Qainuqa, lalu dia duduk berdekatan dengan seorang tukang emas. Kemudian, orang Yahudi mula bertindak memaksa perempuan itu membuka tutupan mukanya tetapi perempuan itu enggan berbuat demikian.

Si tukang emas secara diam-diam memegang hujung kain perempuan itu lalu disimpulkannya hingga ke bahagian belakang (sedang perempuan itu tidak menyedarinya). Apabila perempuan itu bangun, maka terdedahlah auratnya, mereka yang ramai itu pun ketawa. Lantas, perempuan itu menjerit. Tiba-tiba seorang lelaki Muslim segera menyerbu tukang emas tersebut dan membunuhnya (tukang emas itu ialah seorang Yahudi). Melihatkan keadaan itu, orang Yahudi mula bertindak balas terhadap lelaki Muslim tersebut lalu mereka membunuhnya. Keluarga lelaki Muslim itu mula menjerit memanggil orang Islam untuk menghadapi orang Yahudi. Maka, berlakulah pergaduhan antara mereka dengan Bani Qainuqa. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/47)

Pengepungan, Penyerahan dan Pengusiran

Dalam peristiwa itu, kesabaran Rasulullah SAW sudah tidak dapat dibendung lagi lantas, Baginda SAW melantik Abu Lubabah bin Abd al-Munzir untuk memangku Baginda SAW di Madinah, dan diberikan Hamzah bin Abd al-Muttalib R.A memegang bendera. Kemudian, Rasulullah SAW dan tentera-tentera Allah pergi menuju kampung halaman Bani Qainuqa. Apabila orang Yahudi melihat kedatangan Rasulullah SAW, maka mereka pun berkubu di dalam kubu-kubu mereka. Rasulullah SAW membuat kepungan yang ketat terhadap kubu-kubu orang Yahudi itu.

Peristiwa ini berlaku pada hari Sabtu, pertengahan bulan Syawal tahun dua Hijrah. Pengepungan ini berterusan selama 15 malam sehingga terbit anak bulan Zulkaedah. Allah telah melontarkan rasa kekuatan ke dalam hati tentera Islam. Akhirnya orang Yahudi bersetuju mengikut syarat-syarat yang dibuat oleh Rasulullah SAW mengenai nyawa, harta benda, wanita dan anak- pinak mereka; lalu, Rasulullah SAW mengarahkan supaya orang Yahudi tersebut diberkas.

Ketika itu, Abdullah bin Ubay bin Salul mula memainkan sikap munafiknya Dia mendesak Rasulullah SAW supaya mengampunkan orang Yahudi itu. Katanya, “Hai Muhammad, berbuat baiklah kepada sekutu-sekutuku (Bani Qainuqa dahulunya adalah sekutu Khazraj).” Namun, Rasulullah SAW melengah-lengahkan tuntutan Abdullah itu. Abdullah terus mengulang desakannya tetapi Rasulullah SAW tetap berpaling. Lantas, Abdullah menyeluk tangannya ke dalam baju besi yang dipakai oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW berkata, “Lepaskan aku!” Rasulullah SAW mulai marah sehingga kelihatan berubah air muka Baginda SAW.

Rasulullah SAW berkata lagi, “Jahanam kamu! Lepaskan aku!” Namun, si munafik itu terus dengan desakannya dan berkata, “Demi Allah, aku tidak akan lepaskan melainkan setelah engkau berbuat baik dengan sekutu- sekutuku! Mereka itu ada empat ratus tentera biasa dan tiga ratus tentera berbaju besi. Dahulu mereka telah mempertahankan aku daripada orang kulit merah dan orang kulit hitam; adakah kamu hendak menghapuskan mereka dalam satu pagi sahaja? Demi Allah, aku bimbang nanti akan berlaku keburukan di belakang hari!”

Rasulullah SAW terpaksa melayani Abdullah (yang menzahirkan keislamannya hanya kira-kira sebulan sahaja). Rasulullah SAW menyerahkan orang Yahudi itu kepadanya dan menyuruh mereka keluar dari Madinah dan tidak menetap berhampiran Madinah. Mereka pun keluar menuju ke Syam. Tidak lama selepas menetap di situ, kebanyakan mereka mati. Rasulullah SAW menahan harta benda mereka. Rasulullah SAW sendiri mengambil daripada harta benda itu tiga busur panah, dua baju besi, tiga bilah pedang dan tiga batang tombak serta satu perlima dari harta rampasan mereka. Orang yang diserahkan untuk mengendalikan pengumpulan harta rampasan itu ialah Muhammad bin Maslamah.

(Lihat Zad al-Ma’ad, 2/71; al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/47; seperti dalam al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 198-201. Lihat juga Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 114)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”