#5048: Sebab Berlakunya Peperangan Bani al-Nadhir

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan, tentang sebab berlakunya peperangan Bani al-Nadhir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami telah jelaskan dalam siri jawapan sebelum ini, bahawa orang Yahudi sangat membenci agama Islam dan penganutnya. Orang Yahudi tidak mahir berperang dan bergaduh, sebaliknya mereka merupakan kaum yang licik melakukan tipu daya dan komplot. Jihad mereka ialah dendam kesumat dan permusuhan. Mereka memilih berbagai-bagai helah untuk menyakiti orang Islam tanpa perlu berperang sedangkan pada masa yang sama mereka mempunyai perjanjian dengan orang Islam. Selepas berlakunya peristiwa Bani Qainuqa dan pembunuhan Ka’ab bin al-Ashraf, mereka mulai bimbang akan keselamatan diri mereka. Lantaran itu, mereka berdiam diri dan memilih untuk senyap dan bertenang.

Namun, selepas peperangan Uhud, mereka mula menonjolkan keberanian lalu menyatakan permusuhan dan pengkhianatan secara terbuka. Mereka mula berhubung dengan puak-puak munafik dan musyrikin di Makkah secara rahsia. Mereka memainkan peranan bagi pihak-pihak yang menentang orang Islam.

Rasulullah SAW memilih untuk bersabar dengan perangai orang Yahudi ini. Namun, kaum itu semakin melampau setelah berlakunya Tragedi al-Raji[1] dan Bi’ru Ma’unah[2] yang menyebabkan mereka semakin berani sehingga akhirnya mereka melancarkan komplot untuk membunuh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersama-sama kumpulan sahabat keluar pergi ke tempat orang Yahudi untuk berunding meminta kerjasama bagi menjelaskan diyat pembunuhan dua orang dari Bani Kilab yang dilakukan oleh Amru bin Umayyah al-Damriy. Kerjasama itu adalah satu kemestian yang mesti dilaksanakan oleh kaum Yahudi berdasarkan kandungan perjanjian yang telah termeterai. Orang Yahudi itu berkata, “Kami akan tunaikan permintaanmu, hai, Abu al-Qasim. Duduklah di sini, kami hendak pergi menguruskan hajatmu.”

Rasulullah SAW pun duduk di sebelah dinding rumah mereka sambil menanti apa yang mereka janjikan. Abu Bakar R.A, Umar R.A, Ali R.A dan sekumpulan sahabat yang lain turut duduk bersama-sama Rasulullah SAW. Pada saat itu, orang Yahudi sedang hasut menghasut sesama mereka. Syaitan memperdayakan mereka sehingga menjerumuskan mereka ke dalam kecelakaan yang telah ditetapkan ke atas mereka. Ketika itu juga mereka berkomplot untuk membunuh Rasulullah SAW. Mereka berkata, “Siapa di kalangan kamu yang sanggup membawa batu penggiling ini, kemudian naik ke atas bumbung dan campakkannya ke atas kepalanya? Biar pecah kepalanya!” Lalu berkatalah Amru bin Jahash, “Aku sanggup melakukannya.” Tetapi Sallam bin Misykam berkata, “Jangan kamu lakukan! Demi Allah, dia pasti akan diberitahu mengenai rancangan kamu ini. Tindakan ini bererti membatalkan perjanjian antara kita dengannya.” Malangnya, mereka masih tetap berdegil hendak meneruskan rancangan itu.

Seketika itu juga Jibril AS turun dari sisi Allah untuk memberitahu Rasulullah SAW mengenai rancangan jahat orang Yahudi itu. Rasulullah SAW segera bangun dan beredar menuju ke Madinah. Para sahabat mengekori Rasulullah SAW sambil berkata, “Kami tidak perasan engkau telah pun bangun.” Rasulullah SAW pun memberitahu para sahabat mengenai rancangan jahat orang Yahudi itu. Tidak berapa lama setelah itu Rasulullah SAW mengutuskan Muhammad bin Maslamah kepada Bani al-Nadhir dan menyampaikan arahan Rasulullah SAW yang berbunyi: ‘Kamu mesti keluar dari Madinah dan jangan menjiraniku di sini. Aku berikan tempoh sepuluh hari kepada kamu. Barang siapa yang aku temui masih berada di sini selepas tempoh itu, akan ku pancung lehernya.

Orang Yahudi tidak ada pilihan melainkan terpaksa keluar. Dalam tempoh beberapa hari itu mereka habiskan masa membuat persiapan untuk berpindah. Akan tetapi, ketua orang munafik iaitu Abdullah bin Ubay telah mengutuskan utusan supaya memberitahu kaum Yahudi itu dengan katanya: Jangan keluar, lawanlah. Jangan kamu keluar dari rumah-rumah kamu kerana bersamaku ada dua ribu orang yang akan masuk bersama-sama ke dalam kubu kamu serta sanggup mati mempertahankan kamu. Kalau kamu dihalau keluar, sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapa jua untuk menentang kamu selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu, dan kamu juga akan dibantu oleh Bani Quraizah serta sekutu-sekutu kamu dari Ghatfan.

Dengan jaminan itu, orang Yahudi mendapat keyakinan diri, lalu mereka pun bertekad untuk menentang. Ketua mereka iaitu Huyay bin Akhtab sangat percaya dengan janji yang disampaikan oleh ketua kumpulan munafik itu. Lalu, dia menghantar utusan kepada Rasulullah SAW untuk memberitahu, “Kami tidak akan keluar dari kampung halaman kami, buatlah apa yang kamu mahu.”

Suasana mulai menjadi getir dalam kalangan orang Islam. Keterlibatan mereka dalam konfrontasi dengan musuh-musuh mereka pada saat-saat sukar dalam sejarah mereka itu, tidak dapat menjamin kesudahan yang baik. Orang Arab dengan bengis sedang memerhatikan orang Islam. Orang Yahudi Bani al-Nadhir pula tidak kurang memiliki kekuatan yang sukar untuk digambarkan bahawa mereka akan menyerah kalah begitu sahaja. Keputusan untuk berperang dengan mereka bererti mengambil risiko yang tidak diinginkan. Namun, peristiwa Bi’ru Ma’unah dan tragedi yang berlaku sebelumnya lebih menjadikan orang Islam berwaspada terhadap jenayah pembunuhan dan pengkhianatan yang mengancam kumpulan dan individu mereka. Bertitik-tolak dari kesedaran inilah mereka membuat keputusan untuk memerangi Bani al-Nadhir walau apa keputusan yang bakal terjadi (setelah Bani al-Nadhir sendiri cuba untuk membunuh Rasulullah SAW).

Apabila Rasulullah SAW menerima jawapan yang diberikan oleh Huyay bin Akhtab, Baginda SAW bertakbir, diikuti oleh para sahabat. Kemudian Rasulullah SAW bangun untuk menghadapi kaum Yahudi itu. Dilantiknya Ibn Ummi Maktum sebagai pemangku Baginda SAW di Madinah. Dengan segera Rasulullah SAW berangkat menuju kepada kaum Yahudi itu. Ali bin Abu Talib r.a memegang bendera perang. Apabila sampai ke kampung halaman Yahudi itu, Rasulullah SAW melakukan pengepungan.

Yahudi Bani al-Nadhir berlindung di dalam kubu-kubu mereka. Dari atas kubu, mereka melontarkan panah dan batu ke arah tentera Islam. Pokok-pokok kurma dan kebun-kebun mereka menjadi faktor pembantu yang memperketatkan lagi pertahanan mereka. Lantaran itu, Rasulullah SAW memerintahkan supaya dipotong dan dibakar pokok-pokok itu. Dalam hal ini Hasan mengungkapkan syairnya:

Lemah sudah pejuang Bani Luaiy

              Dek marak api berterbangan di Buwayrah

Buwayrah ialah nama kebun kurma milik Bani al-Nadir. Berkaitan tindakan Rasulullah SAW ini, Allah menurunkan firman-Nya:

مَا قَطَعْتُم مِّن لِّينَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَائِمَةً عَلَىٰ أُصُولِهَا فَبِإِذْنِ اللَّهِ وَلِيُخْزِيَ الْفَاسِقِينَ

Maksudnya: “Apa-apa jua pohon tamar (kepunyaan musuh) yang kamu terbang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan izin Allah, dan kerana Dia hendak menimpakan kehinaan kepada orang yang fasik.”

(Surah al-Hasyr: 5)

Orang Yahudi Bani Quraizah meminggir diri daripada mereka, sementara Abdullah bin Ubay dan sekutu-kutunya daripada Bani Ghatfan mengkhianati mereka dan tidak muncul tiba. Tidak seorang pun berusaha untuk memberikan pertolongan kepada mereka sama ada membawa kebaikan atau menghindarkan keburukan daripada mereka. Oleh kerana itu, Allah menyamakan kisah mereka dengan suatu perbandingan seperti dalam firman-Nya:

كَمَثَلِ الشَّيْطَانِ إِذْ قَالَ لِلْإِنسَانِ اكْفُرْ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِّنكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ ‎

Maksudnya: “(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) syaitan ketika ia berkata kepada manusia, ‘Kafirlah engkau!’ Setelah orang itu menjadi kafir, syaitan itu berkata kepadanya, ‘Sesungguhnya aku berlepas diri daripada engkau, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan semesta alam.”

(Surah al-Hasyr. 16)

Pengepungan itu tidak mengambil masa yang lama. Ia hanya berlangsung selama enam malam sahaja. Ada juga pendapat yang mengatakan ia berlangsung selama lima belas malam. Akhirnya Allah mencampakkan rasa takut ke dalam hati orang Yahudi tersebut. Justeru, mereka mengaku kalah dan bersedia untuk menyerah diri serta mencampakkan senjata. Mereka menghantar utusan berjumpa dengan Rasulullah SAW untuk memberitahu kesediaan mereka keluar dari Kota Madinah. Rasulullah SAW bersetuju membenarkan mereka turun dari kubu-kubu mereka dengan syarat mereka hendaklah keluar semuanya sekali termasuk anak-pinak mereka. Mereka dibolehkan membawa semua harta benda yang terdaya ditanggung oleh unta mereka, kecuali senjata.

Kemudian mereka pun turun dari kubu dan memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri. Tujuan mereka ini ialah kerana mereka hendak membawa bersama pintu-pintu dan tingkap-tingkap rumah mereka. Malah, sebahagian daripada mereka ada yang membawa tiang dan palang bumbung rumah mereka. Mereka membawa wanita-wanita dan kanak-kanak yang ditunggangkan di atas 600 ekor unta. Kebanyakan mereka serta orang kenamaan mereka seperti Huyay bin Akhtab dan Sallam bin Abi al-Huqayq, berpindah ke Khaibar. Ada yang berpindah ke Syam. Dua orang lelaki dari kalangan mereka iaitu Yamin bin Amru dan Abu Saad bin Wahd, memeluk Islam. Mereka berdua bebas memiliki semua harta benda mereka.

Rasulullah SAW merampas senjata-senjata Bani al-Nadhir dan menguasai tanah, rumah dan harta benda yang mereka tinggalkan. Kuantiti senjata yang mereka tinggalkan merangkumi 50 baju besi, 50 topi besi dan 340 bilah pedang. Kesemua harta benda Bani al-Nadhir, tanah dan rumah mereka dimiliki khusus oleh Rasulullah SAW. Terserah kepada Rasulullah SAW bagaimana hendak menguruskannya. Rasulullah SAW tidak mengambil satu perlima daripada harta tersebut kerana Allah menjadikan harta itu kesemuanya adalah milik Baginda SAW. Tidak siapa jua daripada kalangan umat Islam yang menuntut harta benda tersebut, sama ada kuda-kuda perangnya ataupun kenderaan-kenderaannya.

Kemudian Rasulullah SAW membahagikan harta benda tersebut dalam kalangan orang Muhajirin secara khusus; Abu Dujanah dan Sahl bin Hanif turut mendapat habuan daripada pemberian itu walaupun mereka adalah orang Ansar, kerana kefakiran mereka. Rasulullah SAW menggunakan harta tersebut untuk membiayai perbelanjaan keluarganya selama setahun; yang lebih daripada itu seperti senjata, kuda dan keldai, dijadikan simpanan untuk kelengkapan perang.

Peperangan Bani al-Nadhir berlaku pada bulan Rabiul Awwal tahun 4 Hijrah (Ogos 635M). Keseluruhan surah Al-Hasyr yang diturunkan oleh Allah adalah berkaitan dengan peperangan ini. Di dalam surah ini Allah mengisahkan bagaimana berlakunya pengusiran orang Yahudi serta Allah mendedahkan tembelang orang munafik. Allah juga menerangkan keharusan memotong pokok dan membakarnya di bumi musuh demi kemaslahatan peperangan. Namun, ia bukan bermaksud melakukan kerosakan di muka bumi. Allah berpesan kepada orang yang beriman supaya sentiasa bertakwa an menyiapkan bekalan untuk akhirat. Allah menyudahi surah ini dengan memuji-Nya dan menerangkan nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Mengenai surah al-Hasyr ini, Ibn Abbas pernah berkata, “Sebutkanlah ia adalah surah Al-Nadir.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 501) (Lihat juga Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 126)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

 

Nota kaki:

[1] Pada bulan Safar tahun yang sama (4 Hijrah), satu kaum dari Bani Adal (عضل)  dan Qarah (قارة)  datang kepada Rasulullah SAW dan menyatakan bahawa dalam kalangan mereka ada orang yang telah menganut Islam. Mereka meminta Rasulullah SAW menghantar guru-guru untuk pulang bersama-sama mereka bagi tujuan mengajar mereka ilmu agama dan al-Quran. Lalu, Rasulullah SAW mengutuskan enam orang untuk pulang bersama-sama mereka (menurut laporan Ibn Ishaq; riwayat al-Bukhari, bilangan mereka ialah sepuluh orang); menurut laporan Ibn Ishaq, Marthad bin Abu Marthad al- Ghanawi dilantik untuk mengetuai mereka; sementara menurut riwayat al-Bukhari, ketua yang dilantik ialah Asim bin Thabit, iaitu datuk kepada Asim bin Umar bin al-Khattab.

Berangkatlah utusan Rasulullah SAW bersama-sama kaum itu. Kemudian, mereka sampai di al-Raji, iaitu mata air milik Bani Hudhayl berdekatan Hijaz antara Rabigh dan Jeddah. Rupa-rupanya rombongan itu telah meminta bantuan penduduk Hudhayl (dikatakan penduduk ini ialah dari Bani Lihyan) untuk menyerang para utusan muslimin yang bersama-sama mereka. Bani Lihyan mengekori rombongan ini dengan membawa hampir seratus orang pemanah. Jejak-jejak rombongan ini dapat dikesan dan akhirnya mereka dikepung oleh Bani Lihyan. Namun, sebelum itu kumpulan umat Islam itu sempat melarikan diri ke tempat yang tinggi.

Berkatalah Bani Lihyan itu, “Kami berjanji tidak akan membunuh seorang pun daripada kalangan kamu jika kamu mahu turun.” Asim enggan turun, lalu berlaku pertempuran antara para utusan muslim itu dengan Bani Lihyan, sehingga akhirnya tujuh orang daripada para utusan itu terbunuh dengan dipanah; yang tinggal ialah Khubayb dan Zaid bin al-Dathinah serta seorang lelaki lagi. Sekali lagi Bani Lihyan memberi jaminan tidak akan membunuh mereka jika mereka sanggup turun. Maka, mereka pun bersetuju untuk turun. Akan tetapi setelah turun, mereka telah dikhianati; para utusan ini telah diikat dengan tali panah mereka sendiri.

Berkatalah lelaki muslim yang ketiga itu, “Inilah pengkhianatan yang pertama,” lantas dia enggan mengikut mereka tetapi mereka menarik dan memaksanya supaya mengikut mereka. Namun, dia tetap berkeras enggan mengikut. Lantaran itu, dia dibunuh. Kumpulan itu kemudian membawa Khubayb dan Zayd lalu menjual mereka di Makkah. Semasa peperangan Badar, mereka berdua telah membunuh pembesar-pembesar Makkah. Khubayb dibeli oleh mereka lalu dipenjarakan, kemudian mereka bersepakat untuk membunuhnya. Dia dibawa keluar dari Tanah Haram menuju ke Tanaim. Apabila mereka telah bersedia hendak menyalibnya, Khubayb berkata, “Benarkan aku solat dua rakaat dahulu.” Mereka pun membenarkannya solat. Setelah selesai solat, Khubayb berkata, “Demi Allah, kalaulah mereka tidak mengatakan aku ini takut mati, nescaya akan kutambahkan solatku.” Kemudian dia berdoa: “Ya Allah, hitunglah bilangan mereka, bunuhlah mereka semuanya dan jangan Engkau tinggalkan seorang pun daripada mereka.”

Abu Sufyan kemudian berkata kepada Khubayb, “Sukakah engkau kalau Muhammad ada di sisi kami, lalu kami penggal lehernya dan kami selamatkan engkau kembali kepada keluargamu?” Khubayb menjawab, “Demi Allah, tidak! Aku tidak suka berada bersama keluargaku sedangkan Muhammad berada di tempat kesakitan walaupun kerana tertusuk duri.”

Lalu, mereka menyalibnya dan menghantar orang untuk menjaga mayatnya. Datanglah Amru bin Umaiyyah al-Damriy dan dengan helah dan tipu dayanya, dia berjaya membawa mayat Khubayb keluar pada waktu malam lalu dikebumikannya. Orang yang bertanggungjawab membunuh Khubayb ialah Uqbah bin al-Harith, kerana Khubayb telah membunuh bapanya semasa Perang Badar.

Dalam hadis yang sahih menyebutkan bahawa Khubayb ialah perintis yang melakukan solat dua rakaat sebelum dibunuh. Ketika sedang ditawan beliau dilihat memakan segugus buah anggur sedangkan di Makkah ketika itu tidak terdapat buah anggur. Sementara itu, Zayd bin al-Dathinah pula dibunuh oleh Safwan bin Umayyah sebagai membela kematian bapanya.

Orang Quraisy menghantar utusan untuk pergi memotong sebahagian dari tubuh (jasad) Asim agar mereka benar-benar dapat meyakini bahawa Asim telah mati. Ini berikutan dendam mereka terhadap Asim yang telah membunuh salah seorang pembesar Quraisy semasa Perang Badar, tetapi Allah telah mengutus sekumpulan lebah yang melindungi jasad Asim daripada perlakuan utusan-utusan Quraisy itu sehingga mereka tidak berupaya untuk menghampiri dan menyentuh jasad Asim sedikit pun. Sebelum itu, Asim telah berjanji kepada Allah bahawa dia tidak akan membiarkan dirinya disentuh oleh orang musyrikin atau dia menyentuh orang musyrik. Apabila berita itu sampai kepada Umar r.a, beliau berkata, “Allah menjaga hamba-Nya yang beriman setelah kematiannya sebagaimana dijagai-Nya semasa hidupnya.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 442)

 

[2] Pada bulan berlakunya Tragedi al-Raji itu, berlaku satu lagi tragedi yang lebih mengerikan dan menyayat perasaan. Tragedi itu dikenali sebagai Tragedi Bir Maunah.

Ringkasan kisahnya bermula apabila Abu Barra Amir bin Malik (yang dipanggil dengan gelaran ‘Pemain Tombak’ datang kepada Rasulullah SAW di Madinah. Rasulullah SAW menyeru Abu Barra supaya memeluk Islam; Abu Barra tidak menerima dan tidak pula menolak, sebaliknya dia berkata, “Wahai Rasulullah, mengapa tidak engkau utuskan sahabat-sahabatmu kepada penduduk Najd dan menyeru mereka kepada agamamu. Kalau engkau berbuat begitu, aku yakin mereka akan menerimanya.” Rasulullah SAW menjawab, “Aku bimbang keselamatan sahabatku daripada penduduk Najd.” Abu Barra berkata, “Aku akan menjamin dan melindungi mereka.”

Lalu, Rasulullah SAW mengutus 40 lelaki (menurut riwayat Ibn Ishaq; di dalam hadis sahih menyebutkan 70 lelaki; ternyata bahawa tepatnya ialah seperti yang terdapat dalam hadis sahih). Rasulullah SAW melantik al-Mundzir bin Amru yang digelar ‘Yang Dibebaskan Untuk Mati’ sebagai ketua utusan ini. Mereka ini terdiri dari kalangan umat Islam terbaik, orang yang terhormat, pemimpin-pemimpin kaum dan ahli yang mahir dalam al- Quran. Mereka berangkat sambil mencari kayu api pada waktu siang untuk dibuat belanja membeli makanan dan diberikan kepada ahli suffah.

Mereka sampai ke Bi’ru Ma’unah iaitu sebuah tempat antara perkampungan Bani Amir dan Bani Sulaim; mereka pun singgah di situ. Mereka mengutuskan saudara Ummu Sulam iaitu Haram bin Milhan untuk pergi berjumpa dengan seteru Allah iaitu Amir bin Tufail bagi menyampaikan surat daripada Rasulullah SAW. Malangnya, Amir langsung tidak memandang surat tersebut, malah menyuruh seorang lelaki menikam Haram dari belakang dengan tombak. Setelah tombak itu tertusuk ke tubuhnya dan dilihatnya darah memercik keluar, Haram pun menjerit, “Allah akbar! Aku menang demi Tuhan Kaabah!”

Kemudian musuh Allah itu segera mengerah kaumnya dari Bani Amir untuk membunuh saki-baki teman-teman Haram. Namun, kaumnya enggan menyahut seruan Amir itu disebabkan jaminan perlindungan yang diberikan oleh Abu Barra. Lalu, Amir mengerahkan pula Bani Sulaim dengan arahan yang sama. Ada di antara mereka menyahut arahan Amir ini; mereka termasuklah kabilah Usaiyyah, Ri’l dan Zakwan. Mereka mengepung sahabat Rasulullah SAW lalu bertempur sehingga akhirnya kesemua sahabat Rasulullah SAW itu terbunuh kecuali Ka’ab bin Zaid bin al-Najjar kerana beliau berpura-pura mati dalam kalangan mereka yang terkorban. Disebabkan itu, beliau terselamat dan sempat hidup sehingga akhirnya beliau gugur dalam Perang Khandak.

Ketika kejadian tersebut, Amru bin Umayyah al-Damriy dan al-Munzir bin Utah bin Amir sedang menggembala ternakan orang Islam buike mereka terlihat burung-burung berterbangan di atas mereka, menuju ke tempat berlakunya tragedi itu. Al-Mundhir bertempur dengan orang musyrikin itu sehingga dia juga turut terbunuh bersama sahabat-sahabat yang lain. Amru bin Umayyah al-Damriy pula ditangkap sebagai tawanan. Namun, setelah Amru memberitahu yang dia berasal dari Kabilah Mudar, Amir pun menepuk dahinya dan kemudian membebaskan Amru. Tindakannya itu adalah sebagai melunaskan kewajipan ibunya yang dikenakan membebaskan hamba sahaya.

Amru bin Umayyah al-Damriy pulang bertemu Rasulullah SAW dengan membawa berita yang mendukacitakan itu: 70 orang muslim yang terbaik telah terbunuh. Berita menyayat hati ini mengingatkan pada jumlah korban perang Uhud; bezanya mereka yang terkorban di Uhud memang benar-benar keluar untuk berperang sedangkan mereka ini terbunuh dalam keadaan dikhianati.

Dalam perjalanan pulangnya, ketika sampai di Qarqarah, iaitu di sebuah lorong, Amru singgah berehat di bawah sebatang pokok. Lalu, datanglah dua orang lelaki dari Bani Kilab dan sama-sama singgah di situ. Ketika kedua orang lelaki itu tertidur, Amru telah membunuh mereka. Mengikut perkiraannya, dia telah berjaya membalas dendam terhadap kematian sahabat-sahabatnya. Dia tidak menyedari bahawa dua orang lelaki itu mempunyai perjanjian keamanan dengan Rasulullah SAW. Setelah sampai di Madinah, Amru memberitahu Rasulullah SAW apa yang dilakukannya. Rasulullah SAW berkata, “Kamu telah membunuh dua orang, terpaksalah aku menjelaskan pembayaran diyat mereka berdua.” Kemudian Rasulullah SAW pun berusaha mengumpulkan harta yang dipungut daripada umat Islam dan sekutu-sekutu mereka daripada kalangan orang Yahudi untuk menjelaskan bayaran diyat tersebut. Inilah yang menjadi punca kepada tercetusnya peperangan Bani al-Nadhir seperti yang akan dibincangkan kemudian.

Rasulullah SAW sangat sedih dengan tragedi yang berlaku, di samping Tragedi al-Raji. Kedua-dua tragedi ini berlaku dalam jarak beberapa hari sahaja. Kesedihan dan kebimbangan Rasulullah SAW begitu mencengkam perasan sehingga akhirnya Baginda SAW mendoakan kecelakaan ke atas kaum-kaum dan kabilah-kabilah yang melakukan pengkhianatan itu dan membunuh para sahabat. Dalam Sahih al-Bukhari ada menyebutkan hadis dari Anas yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah mendoakan kecelakaan terhadap mereka yang membunuh para sahabat Baginda SAW di Bi’ru Maunah selama tiga puluh pagi. Rasulullah SAW berdoa dalam solat Subuh memohon kecelakaan terhadap kabilah Ri’l, Zakwan, Lihyan dan Usaiyyah. Dalam doanya Rasulullah SAW menyebut, “Usaiyyah telah derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya.” Kemudian Allah menurunkan kepada Nabi-Nya ayat al-Quran yang suatu ketika dahulu kami pernah membacanya, kemudian dimansuhkan iaitu: ‘Sampaikan kepada kaum kami bahawa kami telah bertemu Tuhan kami, lalu Dia reda kepada kami dan kami pun reda kepada-Nya. Setelah itu barulah Rasulullah SAW berhenti berdoa di dalam qunutnya.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 443)