Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah disunatkan mendirikan solat ketika berlakunya ribut atau bencana-bencana yang lain ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُلْ مَن يُنَجِّيكُم مِّن ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ تَدْعُونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً لَّئِنْ أَنجَانَا مِنْ هَٰذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ ﴿٦٣﴾ قُلِ اللَّهُ يُنَجِّيكُم مِّنْهَا وَمِن كُلِّ كَرْبٍ ثُمَّ أَنتُمْ تُشْرِكُونَ
Maksudnya: Katakanlah: “Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut? (Ketika) kamu berdoa merayu kepadaNya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata): “Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur”. Katakanlah: “Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain)”.
(Surah al-’An’am)
Abu Bakar al-Jazairi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa : Jika seseorang di antara kamu sesat dalam perjalanan di padang pasir dan malam telah menyelimutinya dengan kegelapan, atau dia berlayar di lautan lalu ditutupi oleh awan yang gelap, malam, dan lautan yang bergelora sehingga jiwanya tergoncang oleh ketakutan, maka kepada siapakah dia akan berdoa? Dia akan berdoa kepada Allah semata-mata, kerana dia mengetahui bahawa tidak ada yang menyelamatkannya melainkan Dia. Dia berdoa dan merayu kepada-Nya dengan jelas atau secara sembunyi, dengan berkata, ‘Demi keagunggan-Mu, jika Engkau menyelamatkan kami dari kebinasaan yang menimpa kami, pasti kami akan menjadi orang-orang yang bersyukur kepada-Mu.’ Kemudian apabila Allah menyelamatkan kamu sebagai jawapan kepada doamu dan kamu telah merasa aman dari ketakutan tersebut, tiba-tiba kamu kembali kepada syirik dengan berdoa kepada selain-Nya.
Dalam ayat kedua , Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya untuk memberi jawapan kepada pertanyaan, ‘Siapakah yang akan menyelamatkan kamu?’ (Allah akan menyelamatkan kamu daripadanya) iaitu daripada keadaan yang menggoncangkan jiwa kamu yang ditakuti kebinasaan dan Dia juga akan menyelamatkan kamu dari segala kesusahan. Namun, betapa hairannya, kamu tetap menyekutukan-Nya dengan menyembah berhala-berhala kamu. (Lihat Aisar al-Tafasir, 2/73 )
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan tidak ada keraguan bahawa apabila manusia menghadapi situasi yang menakutkan atau menimbulkan kegelisahan pada hatinya, tempat perlindungan dan tempat berlindung sebenarnya adalah Allah, Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi sepertimana yang telah dinyatakan dalam nas di atas.
Dalam isu ini kami katakan disunatkan untuk mendirikan solat ketika berlakunya bala bencana atau apa-apa keadaan yang menakutkan atau menggelisahkan jiwa. Ia dilakukan bagi memohon perlindungan dan doa kepada Allah SWT agar diberi keamanan dari segala perkara tersebut. Ini juga merupakan pandangan dari fuqaha-fuqaha mazhab.
Syeikh Zakariya al-Ansari dalam kitabnya “Asna al-Matalib (1/288) menyatakan bahawa: pada masa berlakunya gempa bumi atau kejadian seumpamanya seperti petir atau angin kencang, adalah disyorkan untuk setiap individu memanjatkan doa dan mendirikan solat di dalam rumahnya secara bersendirian supaya tidak lalai dari mengingati Allah. Rasulullah SAW apabila berlakunya angin kencang Baginda akan mengucapkan doa:
اللَّهُمَّ إنِّي أَسْأَلُك خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا فِيهَا وَخَيْرَ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ، وَأَعُوذُ بِك مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا فِيهَا وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ
Maksudnya: Rasulullah SAW biasanya berdoa dengan mengucapkan, “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan pada angin ini, segala kebaikan yang ada padanya, dan kebaikan yang dibawanya. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan pada angin ini, segala kejahatan yang ada padanya, dan kejahatan yang dibawanya.”
Riwayat Muslim(899)
Al-Kasani ada menyebutkan : Disunatkan untuk mendirikan solat pada setiap keadaan yang menakutkan, seperti angin kencang, gempa bumi, kegelapan, hujan yang berpanjangan, kerana ia merupakan perkara yang menakutkan dan menimbulkan keresahan jiwa. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma bahawa beliau melakukan solat ketika terjadinya gempa bumi di Basrah. (Lihat Bada’i al-Sana’i, 1/288)
Begitu juga Dar al-Ifta al-Misriyyah menyatakan: Para ahli fiqh dari pelbagai mazhab sepakat tentang disunatkan memohon perlindungan kepada Allah SWT dengan melakukan solat ketika berlakunya gempa bumi. Mereka telah menyatakan bahawa menunaikan solat merupakan salah satu cara untuk memohon kepada Allah, Tuhan semesta alam, ketika berlakunya fenomena seperti ini. Beberapa di antara mereka berpendapat bahawa solat tersebut adalah solat yang tidak terikat waktu atau bentuk tertentu, yang bermaksud seseorang boleh solat dua rakaat atau lebih seperti solat hajat. Ada juga yang menganggap solat tersebut seumpama dengan solat ketika terjadinya gerhana matahari atau gerhana bulan.[1]
Justeru kami katakan di antara amalan yang disunatkan ketika berlakunya ribut atau gempa bumi adalah menunaikan solat serta merayu kepada Allah SWT agar dijauhkan dari segala malapetaka yang melanda dan diberikan perlindungan. Ini juga penting bagi mengelakkan dari hati yang lalai dalam mengingati Allah SWT semasa berlakunya kejadian seperti ini.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”
Wallahua’lam
Nota kaki:
[1] Lihat : https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/18473/%D9%85% -Diakases pada 11 Disember 2023