#5053: Perlukah Harta Faraid Dizakatkan?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Perlukah harta faraid dizakatkan? Mohon pencerahan Dato’.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ilmu faraidh pada syarak bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/273)

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”        

(Surah al-Nisa’: 7)

Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Berdasarkan nas di atas, disebut kalimah مِّمَّا تَرَكَ iaitu daripada apa yang ditinggalkan oleh si mati, maka ia dianggap pusaka selama mana ia adalah termasuk dalam harta; sama ada wang ringgit, kenderaan, pakaian, rumah, dan lain-lain.

Banyak hadith-hadith Nabi SAW yang membincangkan isu pusaka dan faraid serta bentuk pembagiannya. Antaranya ialah, Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/284-286), antara lain menyebut: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan antara syarat wajibnya zakat adalah seperti berikut:

  • Islam: Justeru, zakat tidak dikenakan kepada orang kafir sekalipun mereka turut diperintahkan untuknya dan diazab kerana meninggalkannya.
  • Memiliki nisab.
  • Cukup haul. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/286).

Berkenaan harta yang diperolehi daripada faraid, sekiranya seseorang itu telah cukup syaratnya serta harta tersebut sudah cukup tempoh haulnya, maka wajib dikeluarkan zakat dari harta tersebut.

Begitu juga, jika si mati belum membayar zakat apabila cukup syaratnya, maka hendaklah dibayar zakatnya terlebih dahulu sebelum diberi pembahagian pusaka.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

  آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.