#5054: Rukun Solat Jenazah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah rukun bagi solat jenazah? Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat jenazah mengandungi empat takbir dan tidak boleh kurang daripada itu. Hal ini kerana tidak ada khilaf dalam kalangan fuqaha bahawa takbir dalam solat jenazah adalah rukun, dan tidak sah solat jenazah melainkan dengannya.

Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي اليَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ خَرَجَ إِلَى المُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengumumkan kematian al-Najasyi pada hari kematiannya. Kemudian Baginda keluar menuju ke tempat solat lalu Baginda menyusun saf bersama mereka, dan bertakbir sebanyak empat kali.

Riwayat al-Bukhari (1245) dan Muslim (951)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat tujuh rukun solat jenazah:

  1. Niat.
  2. Empat kali takbir (empat takbir ini termasuk takbiratul ihram).
  3. Berdiri bagi yang mampu.
  4. Membaca al-Fatihah.
  5. Selawat ke atas Nabi selepas takbir kedua.
  6. Doa ke atas si mati selepas takbir ketiga.
  7. Salam. (Lihat Safinah al-Naja, hlm. 52)

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Wallahua`lam.