#5057: Suami Mengabaikan Keseluruhan Nafkah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Soalan ini bagi pihak kawan saya. Dia seorang perempuan, suaminya mengabaikan keseluruhan nafkah. Setelah 2 tahun, dia ditegur oleh anaknya sendiri tentang apa yang berlaku, dan kawan saya mula rasa tidak redha dengan suaminya. Apakah yang perlu dilakukan? Bagaimana dia ingin mengakhiri perkahwinan ini kerana Allah SWT melarang perbuatan meminta cerai?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍۢ مِّن سَعَتِهِۦ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُۥ فَلْيُنفِقْ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَا ۚ سَيَجْعَلُ ٱللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍۢ يُسْرًۭا

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

(Surah al-Talaq: 7)

Imam al-Qurtubi menyebutkan, terdapat beberapa faedah yang diperoleh dari ayat ini, antaranya adalah; nafkah seorang suami kepada isteri serta anak-anaknya yang masih kecil adalah berdasarkan kemampuannya. Sekiranya dia seorang yang memang berkemampuan lebih, maka diberikan lebih. Dan sekiranya dia seorang yang fakir, maka diberikan kepada mereka mengikut kadar kemampuannya sahaja. Dan kadar nafkah ini ditentukan berdasarkan kepada keadaan orang yang memberikan nafkah itu dan hajat keperluan orang yang menerima nafkah itu, melalui ijtihad atas adat kebiasaan dalam kehidupan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 18/170)

Kewajiban nafkah ini juga thabit sebagaimana dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah Wahb bin ‘Abdullah al-Siwa’i, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِأهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu, dan jiwamu mempunyai hak ke atasmu, dan isterimu mempunyai hak ke atasmu, maka berilah setiap hak kepada mereka yang berhak.”

Riwayat al-Bukhari (2139)

Apakah nafkah ini? Nafkah menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ialah  wang atau makanan dan lain-lain yang diperlukan untuk hidup dan sara hidup dan juga perbelanjaan dan lain-lain yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya.

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili mengatakan, nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syara‘ ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/274 )

Nafkah ini ada dua:

  • Nafkah Zahir: Iaitu apa sahaja nafkah yang boleh disediakan dalam bentuk material kepada anak dan isteri.
  • Nafkah Batin: Nafkah yang berkait rapat dengan emosi serta keperluan fitrah pasangan suami isteri.

Berbalik kepada masalah utama yang diajukan oleh saudara, iaitu penyelesaian dari masalah pengabaian nafkah oleh si suami yang tidak berkesudahan ini, kami sebenarnya pernah menyentuh tentang isu ini pada artikel kami yang bertajuk: “Memohon Fasakh Disebabkan Suami Sering Mengabaikan Tanggung Jawab Nafkah.” Natijah dari artikel ini, kami katakan bahawa seorang isteri berhak menuntut hak yang diabaikan oleh suaminya selama tempoh pengabaian tersebut. Hal ini kerana pengabaian nafkah itu boleh mendatangkan kemudharatan dalam hidup si isteri. Sedangkan syara‘ telah melarang perbuatan ini, sebagaimana dalam riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudharatan.”

Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)

Si suami dikira berdosa atas perbuatannya itu, berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-As R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ

Maksudnya: “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.”

Riwayat Abu Daud (1692)

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi memberikan jalan penyelesaian dalam isu ini, katanya, apabila seorang lelaki tidak memberikan nafkah kepada isterinya, disebabkan kesukaran dan ketidakupayaannya untuk menafkahinya, maka wanita mempunyai pilihan antara bersabar dalam situasi tersebut atau memohon dibubarkan perkahwinan. (Lihat al-Mughni, 11/361). Sekiranya si isteri diberikan pilihan untuk memohon agar dibubarkan perkahwinannya hanya kerana suaminya tidak mampu untuk memberikan nafkah, maka terlebih utama pilihan tersebut diberikan kepada isteri sekiranya si suami dengan sengaja mengabaikan nafkah wajib sepanjang perkahwinan.

Bahkan, sekiranya si suami memang dengan sengaja tidak memberikan nafkah buat isterinya, hakim di mahkamah berhak untuk membubarkan perkahwinan mereka meskipun tanpa diminta oleh si isteri. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 66/41)

Seterusnya, perbuatan meminta cerai dari suami itu sememangnya dilarang dalam agama. Rasulullah SAW telah mengancam isteri-isteri yang meminta diceraikan tanpa alasan yang munasabah. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Thauban R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلاَقًا فِي غَيْرِ مَا بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang meminta suami mereka menceraikannya tanpa sebarang alasan, maka haram ke atasnya bau syurga.”

Riwayat Abu Daud (2226), al-Tirmizi (1187) dan Ibn Majah (2055)

Akan tetapi, perbuatan si isteri untuk ke arah pembubaran perkahwinan tidaklah termasuk di dalam larangan yang disebutkan oleh syara‘, kerana hak utama si isteri tersebut telah diabaikan sepanjang perkahwinan tersebut.

Kesimpulan

Kami katakan, si isteri perlu mengangkat masalah yang dihadapinya ini ke muka pengadilan agar dapat diputuskan langkah seterusnya oleh hakim syar‘i. Adapun berdasarkan pemerhatian kami, tindakan suami yang mengabaikan hak nafkah isteri ini sebaiknya di susuli dengan kaunseling keluarga terlebih dahulu. Sekiranya si suami masih berdegil, dan ianya berterusan mendatangkan mudharat kepada si isteri, akhirilah perkahwinan tersebut dengan cara yang baik dan harmoni.

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan serta balasan yang melimpah ruah kepada si isteri atas kesabaran beliau. Dan kami berdoa agar Allah SWT membuka pintu hati si suami untuk bertaubat atas kesilapan yang dilakukannya, dan kemudian mengembalikan hak yang sepatutnya kepada si isteri. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam