Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum orang yang tidak sembahyang memberi sedekah, adakah sedekahnya diterima oleh Allah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Usaha seseorang melakukan amalan kebaikan seperti bersedekah merupakan sikap yang terpuji, namun begitu perkara yang lebih utama dalam Islam ini adalah solat. Hal ini kerana solat merupakan salah satu rukun islam dan ia juga merupakan tiang agama. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
بُنِيَ الإسْلاَمُ عَلى خَمْسٍ: شَهادَةِ أنْ لاَ إلَهَ إلّا اللَّهُ وأنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وإقامِ الصَّلاَةِ، وإيتاءِ الزَّكاةِ، والحَجِّ، وصَوْمِ رَمَضانَ
Maksudnya: “Islam itu terbina atas lima perkara: ‘Penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji, dan berpuasa Ramadhan.”
Riwayat al-Bukhari (8) dan Muslim (16)
Terdapat banyak ancaman terhadap mereka yang meninggalkan solat fardhu dengan sengaja. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang syirik dan kafir, iaitu meninggalkan solat.”
Riwayat Muslim (82)
Imam al-Nawawi menyatakan: Meninggalkan solat sama ada dengan sengaja atau tidak merupakan satu dosa yang sangat besar dan diberi amaran dengan ancaman yang berat di sisi syarak. Bagi orang yang meninggalkan solat dan mengingkarinya sebagai kewajiban, dia dianggap kafir menurut ijma’ umat Islam, dan keluar dari agama Islam. Namun, sekiranya seseorang itu meninggalkannya kerana malas tetapi tidak mengingkari kewajipannya, maka para ulama berbeza pandangan berkenaan dengannya. Menurut mazhab Maliki dan al-Syafi’i serta jumhur para salaf dan khalaf berpandangan tidak dihukum kafir akan tetapi dia dihukum fasiq dan wajib bertaubat. Sekiranya dia enggan bertaubat setelah diberi peluang maka hendaklah dijatuhkan hukuman bunuh seperti hukuman hudud bagi penzina tetapi dia dibunuh dengan pedang. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/70)
Imam al-Nawawi juga ada membahaskan permasalahan hukum mereka yang meninggalkan solat. Beliau memperincikan masalah ini, maka kami simpulkannya dan membahagikannya kepada keadaan:
- Jika seseorang tersebut meninggalkan solat kerana mengingkari kewajipannya, atau dia menunaikan solat tetapi mengingkari kewajipannya, dia dihukumkan murtad dan jatuh kafir berdasarkan persepakatan ulama’. Hal ini sekiranya dia telah lama memeluk islam dan tinggal di dalam komuniti orang islam.
- Jika dia baru saja memeluk islam atau tinggal berjauhan dari komuniti orang islam (yang mampu mengajarnya hukum agama), maka dia tidaklah dihukumkan sebagai murtad sekiranya dia menafikan kewajipan solat. Akan tetapi wajib diajarkan kepadanya bahawa solat fardhu itu wajib ditunaikan. (Lihat al-Majmu‘, 3/14)
Dalam riwayat yang lain, terdapat hadith menceritakan tentang perkara ini yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنَ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ
Maksudnya: Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab seseorang hamba pada hari kiamat adalah daripada amalan solatnya. Jika baik solatnya maka berbahagia dan berjayalah ia. Jika buruk solatnya maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya solat fardunya tidak sempurna, maka tuhan ‘Azza wa Jalla berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku ini menunaikan solat-solat sunat untuk menampung kekurangan solat fardunya itu. Kemudian dihitung seperti ini jua pada amalan-amalan yang lain.
Riwayat al-Tirmizi (413), al-Nasaie (465), Ibn Majah (1425) dan Ahmad (7902). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan dalam Takhrij Riyadh al-Solehin (1081) bahawa hadith ini sahih.
Al-Munawi berkata: Hadith ini menunjukkan Jika baik solatnya dan memenuhi syarat dan rukun, serta diterima, maka semua pekerjaannya dianggap baik untuknya, iaitu semua perbuatannya kebaikannya diterima dan tidak ada yang menjadi kesulitan baginya dalam hal apa pun, selain daripada kesinambungan solat yang merupakan ilmu agama. Namun, jika solatnya rosak dan tidak memenuhi syarat dan rukun atau tidak diterima, maka seluruh pekerjaan amalannya dianggap rosak, yang bermaksud ada kesulitan dan kesempitan baginya disebabkan rosak solatnya. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/87)
Ibn al-Qayyim berkata: Sesiapa yang meninggalkan solat sepenuhnya, maka amalan kebaikannya yang lain tidak dapat diterima, sama seperti kesyirikan yang tidak dapat diterima amalan kebaikannya. Hal ini kerana solat adalah tiang agama Islam seperti riwayat yang sahih daripada Nabi SAW dan seluruh hukum-hukum seperti hukum-hukum yang bersifat mengikat dan menguatkan. Dan jika tidak ada tiang yang kukuh, maka tidak akan ada manfaat daripada sebahagian juzuk daripadanya. Penerimaan seluruh amalan kebaikan bergantung kepada penerimaan solat. Jika solat diterima, maka seluruh amalan kebaikannya juga akan diterima. Jika solat ditolak, maka seluruh amalan juga akan ditolak. (Lihat Kitab al-Solah, hlm. 64)
Berkenaan dengan sedekah pula, ia termasuk dalam amalan kebajikan yang digalakkan dan dianjurkan di dalam Islam. Sedekah pada bahasa bermaksud maksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala pada istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian yang semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. Sedekah bermaksud pemberian yang padanya dicari pahala dari Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, 1/132)
Firman Allah SWT:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.
(Surah al-Baqarah: 261)
Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredhaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526)
Justeru, ganjaran bagi mereka yang bersedekah ini sangatlah besar ganjarannya seperti mana yang disebut dalam ayat al-Quran ini yang mana Allah SWT akan melipatgandakan pahalanya kerana bersedekah itu.
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, sesungguhnya meninggalkan solat merupakan perkara yang sangat berat hukumannya dalam Islam. Hal ini kerana solat merupakan salah satu rukun Islam dan juga merupakan kewajipan bagi setiap orang Islam. Sekiranya seseorang itu meninggalkan solat, ia akan mengundang kemurkaan dan azab daripada Allah SWT.
Justeru, bagi sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja kerana malas dan tidak mengingkari akan kewajipannya, dia tergolong dalam golongan yang fasiq dan wajib bertaubat atas dosanya itu. Namun begitu, sekiranya dia bersedekah, Allah SWT akan mengambil kira amalan tersebut walaupun sebesar mana sekali pun. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُۥ (٧) وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍۢ شَرًّا يَرَهُۥ
Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan kebaikan walaupun seberat zarah, maka dia akan melihatnya. Sesiapa yang melakukan kejahatan walaupun seberat zarah, maka dia akan melihatnya.”
(Surah al-Zalzalah: 7-8)
Syeikh Abd al-Rahman Nasir al-Sa’di berkata: Yakni, barangsiapa yang mengerjakan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya juga.” Hal ini bersifat umum untuk seluruh kebaikan dan kejahatan, kerana apabila manusia dapat melihat amalan seberat biji zarrah yang merupakan sesuatu yang terkecil dan diberi balasannya, maka yang lebih besar, tentu dapat dilihat. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 932)
Namun begitu, terdapat juga sebahagian ulama yang menyatakan bahawa orang meninggalkan seluruh solat fardu dengan sengaja, maka amalan-amalan soleh yang lain tidak diterima oleh Allah SWT. Hal ini juga perlu dititik beratkan dalam hal ini. Kami juga ingin menasihatkan supaya mengutamakan solat fardhu dalam kehidupan kita ini. Apa gunanya bersedekah dan melakukan amalan kebaikan yang lain, tetapi perkara yang paling penting seperti solat pun tidak dapat dijaga.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita sentiasa menjaga solat kita di samping mengamalkan amalan kebaikan lain seperti bersedekah. Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak semua untuk berdoa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.