#5062: Makanan yang Mengandungi “Pork Powder”

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini tular popiah di sebuah kedai. Pekerjanya rata-rata bertudung dan begitu juga orang yang datang makan juga kebanyakannya ialah orang Islam. Namun, masalah yang timbul, secara terang-terangan di dalam menunya disebutkan di antara perisa popiahnya adalah early-flavored pork sausage powder atau serbuk sosej babi. Apakah pendapat ustaz mengenai perkara ini dan bolehkah makanan yang mengandungi pork powder atau serbuk babi itu dimakan oleh Muslim?  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa pertamanya, secara umumnya, hukum asal bagi makanan termasuklah popiah adalah diharuskan. Ini kerana hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Keduanya, sebagaimana yang kita sudah sedia maklum, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302).

Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan perkataan al-Alusi bahawa dikhususkan dengan menyebut dagingnya, sedangkan baki bahagiannya yang lain juga adalah dihukumkan sebagai najis, berbeza dengan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Zahiri kerana ia merupakan kebanyakan bahagian daripada haiwan yang dimakan. Manakala baki bahagian-bahagiannya yang lain pula adalah mengikuti hukumnya — yakni hukum daging itu. Menurutnya, pengkhususan dengan menyebut dagingnya itu adalah bertujuan bagi menzahirkan keharaman apa yang dianggap baik dan disukai pada seluruh daging serta membesarkan lagi tanda pengharamannya itu.

Selain daripada itu, dhamir pada ayat “أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ”, dalam kaedah bahasa Arab ia akan kembali yang terdekat disebutkan iaitu perkataan ‘babi’ itu sendiri. Maka, sahihlah dengan al-Quran bahawa babi itu zatnya adalah kotor dan najis. Sesuatu yang kotor dan najis adalah haram dan wajib dijauhi. Justeru, babi itu keseluruhannya adalah haram dan tidak terkeluar daripada hukum haram itu sama ada bulunya mahupun selainnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/140-141).

Selain itu, Allah SWT apabila mengharamkan sesuatu, Dia turut mengharamkan hasil jualannya, perniagaan yang mengandunginya dan membantu hal-hal yang melibatkannya. Maka, Allah SWT telah mengharamkan daging babi, maka diharamkan juga berjual beli dengannya, menghidangkannya dan membantu untuk memakannya.  Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ۚ ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ ۗ

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.

(Surah al-Ma’idah: 3)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawasanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika berada di Makkah pada tahun pembukaan kota Makkah:

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: لاَ، هُوَ حَرَامٌ. ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ.

Maksudnya:Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala. Ditanyakan (oleh seseorang): ‘Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu dengan lemak bangkai, sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, meminyakkan kulit dan dijadikan lampu oleh orang ramai?’ Nabi SAW bersabda: ‘Tidak boleh, itu adalah haram.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda saat itu juga: ‘Semoga Allah memerangi (melaknat) orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya, kemudian menjualnya, lalu memakan daripada hasil jualannya.’

Riwayat al-Bukhari (2236)

Sesungguhnya Allah SWT tidak mengharamkan sesuatu melainkan Dia mencukupkan (manusia) dengan penggantinya daripada jenisnya yang diharuskan. Maka Dia mengharamkan zina tetapi mengharuskan nikah, mengharamkan daging babi tetapi mengharuskan daging unta, mengharamkan sutera (untuk lelaki) tetapi mengharuskan bulu biri-biri dan kapas, mengharamkan rampasan dan rompakan tetapi menghalalkan ghanimah (harta rampasan perang), mengharamkan pencerobohan dan penindasan tetapi mengharuskan jihad dan begitulah seterusnya. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/390).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa popiah yang mengandungi pork powder atau serbuk babi tidak syak lagi adalah najis dan haram untuk dimakan. Ini kerana babi dalam apa jua bentuknya adalah najis dan haram dimakan sebagaimana yang kami telah jelaskan di atas. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

أَنَّ الْأَشْيَاءَ الْمُحَرَّمَةَ إِذَا خَالَطَتْ الْحَلَالَ حَرُمَ الْحَلَالُ

Maksudnya: “Sesuatu yang diharamkan apabila bercampur dengan sesuatu yang halal, maka sesuatu yang halal itu menjadi haram.

Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyebutkan:

إِذَا تَعَارَضَ حَاظِرٌ وَمُبِيحٌ قُدِّمَ الحَاظِرُ احْتِيَاطًا

Maksudnya: “Sekiranya bertembung antara hukum haram dan harus, maka hukum haram didahulukan sebagai langkah berhati-hati.” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah al-Mustakhrajah min Kitab I‘lam al-Muwaqqi‘in, hlm. 400).

Pada kesempatan ini juga, kami ingin menasihatkan agar berhati-hati dalam memilih suatu makanan atau minuman kerana memilih makanan yang halal lagi baik juga merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda:

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya:Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.

Riwayat Muslim (1015)

Demikianlah jika timbul keraguan terhadap suatu makanan atau minuman yakni tidak pasti halal ataupun tidak, serta tidak ada bukti-bukti sokongan lain yang menunjukkan ia adalah halal, maka meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih selamat, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”