#5064: Kelebihan Habbatus Sauda’

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah habbatus Sauda’ memiliki kelebihan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami takrifkan terlebih dahulu makna habbatus sauda’.

Habbatus sauda (terkadang turut dieja habbatussauda; Jawi: ‏الحبة السوداء‎‎), atau jintan hitam (bahasa Inggeris: black caraway atau black cumin) dengan nama ilmiah Nigella sativa ialah sejenis tumbuhan berbunga tahunan yang tumbuh secara aslinya di Asia Selatan dan Asia Barat Daya. Ia mempunyai ketinggian berukuran 20–30 cm (7.9–11.8 in), manakala struktur daunnya halus dan lurus (tetapi tidak berbentuk seperti jarum). Bunganya halus, biasanya berwarna putih dan/atau biru ceraka dengan 5 hingga 10 kelopak.

Kredit Gambar

Buahnya bersaiz besar berbentuk kapsul yang mengandungi tiga hingga tujuh folikel berpadu, setiap satunya mengandungi biji hitam yang digunakan sebagai rempah dan bahan perubatan. Biji habbatus sauda juga diproses atau dikisar sehingga keluar minyaknya dan dimakan untuk tujuan kesihatan atau perubatan tradisional. Ia lebih dikenali sebagai minyak habbatus sauda dan digunakan untuk merawat kencing manis.[1]

Daripada Khalid bin Sa’d, katanya:

خَرَجْنَا وَمَعَنَا غَالِبُ بْنُ أَبْجَرَ فَمَرِضَ فِي الطَّرِيقِ، فَقَدِمْنَا المَدِينَةَ وَهُوَ مَرِيضٌ، فَعَادَهُ ابْنُ أَبِي عَتِيقٍ، فَقَالَ لَنَا: عَلَيْكُمْ بِهَذِهِ الحُبَيْبَةِ السَّوْدَاءِ، فَخُذُوا مِنْهَا خَمْسًا أَوْ سَبْعًا فَاسْحَقُوهَا، ثُمَّ اقْطُرُوهَا فِي أَنْفِهِ بِقَطَرَاتِ زَيْتٍ، فِي هَذَا الجَانِبِ وَفِي هَذَا الجَانِبِ، فَإِنَّ عَائِشَةَ، حَدَّثَتْنِي: أَنَّهَا سَمِعَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِنَّ هَذِهِ الحَبَّةَ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ، إِلَّا مِنَ السَّامِ» قُلْتُ: وَمَا السَّامُ؟ قَالَ: المَوْتُ.

Maksudnya: “Kami keluar dan bersama kami Ghalib bin Abjar, lalu dia jatuh sakit dalam perjalanan. Kami pun datang ke Madinah dalam keadaan dia masih sakit. Lalu Ibn Abi ‘Atiq melawatnya dan berkata kepada kami: “Kamu mesti menggunakan Habbatus Sauda’, ambillah lima atau tujuh biji, kemudian haluskannya, setelah itu titiskan di hidungnya dengan (dicampurkan) beberapa titisan minyak di sini dan di sini (lubang hidung). Sesungguhnya Aisyah R.Anha menyampaikan kepadaku bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Habbatus Sauda’ ini adalah penyembuh bagi segala penyakit kecuali al-Sam.” Aku bertanya: “Apakah al-Sam itu?” Baginda SAW bersabda: “Kematian.”

Riwayat al-Bukhari (5687)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-ʻAsqalani menyebut, bahawa habbatussauda’ dapat mencegah penyakit-penyakit yang disebabkan oleh kesejukan. Antaranya, apabila biji habbatus sauda’ dihancurkan dan dibalutkan dengan kain sehingga mengeluarkan aroma, maka aromanya boleh membantu menyembuhkan orang yang menghidapi selsema akibat cuaca yang sejuk. Selain itu, habbatussauda’ yang telah dimasak bersama cuka dan berkumur dengannya maka ia mampu meredakan sakit gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/144)

Beliau kemudian menukilkan pandangan al-Khattabi yang menyatakan bahawa lafaz ‘شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ’ (“penawar bagi segala penyakit”) adalah lafaz yang bersifat umum tetapi membawa maksud yang khusus. Hal ini kerana menurut Imam al-Khattabi, tidak ada satu pun tumbuhan yang diciptakan oleh Allah SWT di dunia ini yang terkumpul di dalamnya semua manfaat bagi tujuan perubatan. (Lihat Fath al-Bari, 10/145)

Menurut Ibn al-Qayyim pula, bahawa habbatussauda’ sangat bermanfaat untuk merawat penyakit-penyakit yang bersifat sejuk. Selain itu, ia juga boleh merawat penyakit yang bersifat panas lagi kering disebabkan faktor tertentu. Bahkan, tidak mustahil bagi ubat yang bersifat panas untuk digunakan pada penyakit yang juga bersifat panas secara khusus. Kerana telah banyak bukti ubat-ubatan yang bersifat panas mampu mengubati penyakit yang juga bersifat panas. Contohnya, al-Kibriit (belerang) yang bersifat panas mampu merawat penyakit panau ataupun kegatalan. (Lihat al-Tibb al-Nabawi oleh Ibn al-Qayyim, 1/223)

Ibn Battal dan Abu Jamrah pula berpandangan dengan keumuman lafaz hadith tersebut, namun kaedah perawatan menggunakan habbatussauda’ adalah berbeza mengikut kesesuaian penyakit. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 9/397)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

 

Nota kaki:

[1]  https://ms.wikipedia.org/wiki/Habbatus_sauda