#5071: Menghadap Kiblat atau Membelakang Ketika Qadha Hajat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dalil di sana, tidak membenarkan kita menghadap kiblat atau membelakangkan ketika menghadap kiblat dan apakah maksud?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلامَ دِيناً

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.”

 (Surah al-Ma’idah: 3)

Ibn Kathir berkata: Ini adalah nikmat Allah yang paling besar bagi umat Islam. Allah telah menyempurnakan agama mereka, sehingga mereka tidak memerlukan agama lain. Mereka juga tidak memerlukan nabi lain selain Nabi mereka, semoga rahmat dan kesejahteraan sentiasa terlimpah untuk Baginda. Kerana itu, Allah menjadikan Baginda sebagai penutup para nabi dan mengutusnya kepada umat manusia dan jin. Tidak ada yang halal selain yang sudah dihalalkan-Nya, dan tidak ada yang haram selain yang sudah diharamkan-Nya. Tidak ada agama, kecuali yang sudah disyariatkan-Nya. Semua yang diberikan Nabi SAW adalah benar dan jujur, serta tidak ada kedustaan di dalamnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/495)

Menurut Imam al-Alusi pula, selepas ayat ini tiada lagi ayat yang turun berkenaan hukum halal dan haram, dan inilah maksud mereka yang mengatakan ayat ini ayat yang terakhir yang diturunkan, dalam erti kata ayat terakhir berkenaan hukum halal dan haram. (Lihat Tafsir Ruh al-Ma’ani, 6/60)

Islam mengajar daripada sekecil-kecil perkara sampailah kepada sebesar-besarnya kerana ia adalah agama yang lengkap dan sempurna. Para sahabat berkata, Rasulullah SAW mengajar kami sehingga cara qadha hajat.

Menjawab persoalan di atas,kami katakan ya, larangan daripada menghadap atau membelakangkan kiblat. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Ayyub al-Ansari, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَتَيْتُمُ الغَائِطَ فَلاَ تَسْتَقْبِلُوا القِبْلَةَ، وَلاَ تَسْتَدْبِرُوهَا وَلَكِنْ شَرِّقُوا أَوْ غَرِّبُوا

Maksudnya: “Apabila kamu pergi membuang air besar, maka janganlah kamu menghadap qiblat dan jangan kamu membelakanginya. Tetapi hendaklah kamu menghadap ke arah timur atau barat.”

Riwayat al-Bukhari (394)

Abu Ayyub al-Ansari R.A berkata:

فَقَدِمْنَا الشّامَ فَوَجَدْنَا مَرَاحِيضَ بُنِيَتْ قِبَلَ القِبْلَةِ فَنَنْحَرِفُ، وَنَسْتَغْفِرُ اللهَ تَعَالَى

Maksudnya: “Setelah itu kami pergi ke Syam. Kami dapati tandas-tandasnya dibina menghadap ke arah qiblat. Kami pun berpaling dan beristighfar kepada Allah.”

Riwayat al-Bukhari (394)

Adapun, jika sekiranya di dalam tandas yang sudah berdinding, sebahagian ulama mengharuskannya kerana sudah terhalang. Akan tetapi, dinasihatkan kepada yang membina rumah atau bangunan termasuk masjid, maka seboleh-bolehnya kedudukan tandas di masjid, rumah atau bangunan yang digunakan oleh orang Islam agar tidak menghala atau menghadap ke kiblat atau membelakangkannya. Ini sebagai keluar daripada khilaf dan kaedah menyebut:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dan menjadikan kita sentiasa berusaha untuk mengikut Sunnah dan perintah Rasulullah SAW seupaya mungkin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)