#5086: Pembinaan Masjid Nabi SAW dan Pembesarannya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan bagaimana masjid Nabi SAW dibina dan juga apakah bahan binaannya? Seterusnya bagaimana pembesaran dari zaman ke zaman?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا ۚ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

(Surah al-Taubah: 108)

Kami kemukakan terlebih dahulu tentang ketibaan Nabi SAW di Madinah dan bagaimana permulaan dibinannya Masjid Nabi SAW daripada buku kami, Garis Masa Hayat al-Rasul SAW (hlm. 82-83) seperti berikut:

Ketika Rasulullah SAW memasuki Madinah, baginda menunggang unta al-Qaswa’. Nabi SAW turun daripada unta baginda dan membiarkannya berjalan. Baginda SAW bersabda kepada penduduk Madinah:

دَعُوهَا فَإِنَّهَا مَأْمُورَةٌ فَإِنَّمَا أَنْزِلُ حَيْثُ أَنْزَلَني الله

Maksudnya: Berikan jalan kepadanya (biarkan berjalan jangan dihalangi) kerana dia telah diperintahkan. Sesungguhnya dia akan berhenti ditempat yang Allah telah pilih. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/243)

Hal ini kerana unta itu berjalan dan berhenti atas arahan Allah SWT. Al-Qaswa pun berhenti berhampiran rumah Abu Ayyub yang merupakan sebahagian daripada kaum Bani al-Najjar. Unta Rasulullah SAW terus berjalan hingga sampai ke lokasi Masjid Nabawi lalu ia menderum di situ. Namun Rasulullah tidak terus turun sehingga unta itu bangun semula dan berjalan perlahan-lahan. Kemudian unta itu berpaling ke belakang, berpatah balik dan menderum di tempat tadi. Maka, barulah Rasulullah SAW turun dari untanya.

Unta Nabi berhenti dan merebahkan badannya di satu kawasan tanah yang digunakan untuk mengeringkan tamar. Tanah tersebut milik Suhail dan Sahl, dua orang yatim dari Bani Najjar yang dijaga oleh As’ad bin Zurarah . (Lihat Lu’lu’ al-Maknun fi Sirah al-Nabiy al-Ma’mun, 2/159)

Tempat itu ialah kampung Bani al-Najjar (keluarga pihak bapa-bapa saudara sebelah ibu Rasulullah SAW). Berhentinya unta Rasulullah SAW di situ dengan petunjuk Allah kerana Rasulullah SAW sendiri suka untuk berhenti dalam kalangan bapa-bapa saudara sebelah ibunya demi memuliakan mereka. Sementara itu, orang ramai memujuk Rasulullah SAW supaya singgah di rumah mereka. Lalu Abu Ayyub al-Ansari segera membawa kenderaan Rasulullah SAW dan membawa Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya. Rasulullah SAW berkata, “Seseorang itu bersama kenderaannya.” Kemudian datang As’ad bin Zurarah dan memegang tali kenderaan Rasulullah SAW, lalu kenderaannya berada di sisinya. (Lihat Zad al-Ma’ad, 2/106; al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 136)

Dalam riwayat Anas, di sisi al-Bukhari menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Manakah rumah keluarga kami yang terdekat?” Lalu Abu Ayyub berkata, “Saya wahai Rasulullah. Dan inilah rumah saya dan ini pintunya.” Lalu Rasulullah SAW berkata, “Kalau begitu, marilah pergi, dan sediakan tempat berteduh untuk kami.” Abu Ayyub menjawab, “Silakan dengan keberkatan Allah.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/556)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya: Kemudian Rasulullah SAW menyuruh supaya dibinakan masjid. Baginda menghantar utusannya kepada pembesar-pembesar Bani al-Najjar. Kata Baginda SAW: “Wahai Bani al-Najjar, tetapkan harga kebun kamu ini untuk aku beli.” Mereka berkata: “Tidak, demi Allah kami tidak meminta harganya kecuali kepada Allah.” Anas berkata: “Di dalam kebun itu, sebagaimana aku katakan kepada kamu semua, terdapat kubur-kubur orang musyrik, runtuhan-runtuhan bangunan dan juga pohon tamar.” Lalu Nabi SAW  memerintahkan supaya kubur orang-orang musyrik itu dibongkar, runtuhan-runtuhan diratakan, serta pokok-pokok tamarnya ditebang. Setelah itu, para sahabat menyusun batang-batang pokok tamar di sebelah qiblat masjid, dan batu bata sebagai dindingnya. Mereka mengangkut batu-batu besar dan mereka melaungkan, bersama-sama Nabi SAW: “Ya Allah, tiada kebaikan sejati kecuali kebaikan akhirat. Maka ampunilah golongan Ansar dan Muhajirin.” [Riwayat al-Bukhari (428) dan Muslim (524)]

Syeikh Mustafa al-Siba’ie menyebut: Apabila sampai di sana, tindakan pertama yang dilakukan ialah memilih tempat unta Baginda berhenti duduk, untuk dijadikan sebagai masjid. Tempat tersebut adalah milik dua orang kanak-kanak Ansar yang yatim. Baginda tawar menawar harga tanah tersebut dengan mereka berdua. Kedua-dua kanak-kanak itu berkata: “Kami berikannya kepada kamu, wahai Rasulullah.” Namun Baginda berkeras untuk membelinya dengan harga 10 dinar emas yang dibayar menggunakan harta Abu Bakar. Kemudian Baginda melakukan kempen agar orang Islam turut serta membina masjid. Mereka segera melakukannya. Rasulullah SAW turut terlibat bersama mereka memindahkan batu bata, sehinggalah sempurna pembinaan masjid tersebut. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, hlm. 40)

Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Zahir hadith ini mereka tidak mengambil apa-apa bayaran dari Nabi. Ibn Sa’ad dalam kitab Tabaqatnya berkata, Nabi SAW membeli tanah tersebut dengan harga 10 dinar yang dibayar oleh Abu Bakar al-Siddiq.  (Lihat Fath al-Bari, 7/683) Ibn Hajar berkata lagi: “Terdapat riwayat yang pertama menyebut tanah itu adalah kawasan untuk mengeringkan tamar. Barangkali, pada awalnya tanah tersebut adalah sebuah kebun tamar yang ada pagar, lalu diruntuhkan dan dijadikan tempat itu untuk bercucuk tanam, dan akhirnya dijadikan tempat itu untuk mengeringkan tamar. (Lihat Fath al-Bari, 2/91; al-Tabaqat al-Kubra li Ibn Sa’ad, 1/115)

Kawasan tempat pengeringan tamar itu terdapat kubur orang musyrik, kesan tanah yang disediakan untuk bercucuk tanam dan pohon-pohon tamar. Maka, Nabi menyuruh agar menggalikan kubur, meratakan tanah dan menebang pohon-pohon di situ.

Pada awal pembinaan, tiang mihrab dibina dari susunan batu-batu dan temboknya dari bata-bata dan tanah. Manakala bumbung masjid adalah daripada pelepah tamar. Tiang daripada batang tamar dan lantainya diratakan dengan anak-anak batu dan pasir dengan tiga pintu masuk. Ukuran panjang tidak termasuk mihrab adalah seratus hasta dengan lebar yang lebih kurang sama dengan panjangnya. Di tepi masjid, dibina ruang-ruang rumah. Biliknya dibina dari batu-bata dan atapnya daripada pelepah dan batang tamar. Ruang-ruang ini adalah bilik isteri-isteri Rasulullah SAW. Setelah selesai pembinaan bilik tersebut, barulah Baginda berpindah dari rumah Abu Ayyub. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 137)

Adapun binaan pada zaman Rasulullah SAW dan selepasnya adalah seperti berikut: Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ المَسْجِدَ كَانَ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَبْنِيًّا بِاللَّبِنِ، وَسَقْفُهُ الجَرِيدُ، وَعُمُدُهُ خَشَبُ النَّخْلِ، فَلَمْ يَزِدْ فِيهِ أَبُو بَكْرٍ شَيْئًا، وَزَادَ فِيهِ عُمَرُ: وَبَنَاهُ عَلَى بُنْيَانِهِ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِاللَّبِنِ وَالجَرِيدِ وَأَعَادَ عُمُدَهُ خَشَبًا، ثُمَّ غَيَّرَهُ عُثْمَانُ فَزَادَ فِيهِ زِيَادَةً كَثِيرَةً: وَبَنَى جِدَارَهُ بِالحِجَارَةِ المَنْقُوشَةِ، وَالقَصَّةِ وَجَعَلَ عُمُدَهُ مِنْ حِجَارَةٍ مَنْقُوشَةٍ وَسَقَّفَهُ بِالسَّاجِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya masjid ini (masjid Nabi SAW) di zaman Rasulullah SAW terbina daripada batu-bata, bumbungnya daripada pelepah tamar dan tiang-tiangnya ialah kayu pokok tamar. Abu Bakar tidak menambahkan binaan baru, manakala Umar telah menambah. Beliau membinanya mengikut seperti di zaman Rasulullah SAW, juga dengan batu-bata dan pelepah tamar. Beliau  cuma menukar tiang-tiangnya dengan kayu yang lain. Kemudian Uthman mengubah masjid itu dengan membuat banyak sekali penambahan. Dinding masjid dibina dengan batu-batu berukir dan berkapur. Tiang-tiangnya juga daripada batu batu berukir membuat bumbungnya daripada kayu jati.”

Riwayat al-Bukhari (446)

‘Abdul Muhsin bin Muhammad Al-‘Qasim  menyatakan bahawa Rasulullah SAW membina Masjid Nabawi ketika beliau sampai di Madinah dengan dinding daripada batu bata, tiangnya batang-batang pohon tamar, atapnya pelepah pohon tamar, dan keluasan ketika itu = 32.5 × 28m persegi.

Seterusnya Masjid Nabawi berlaku pembesaran seperti mana berikut :

  • Rasulullah telah membesarkannya pada tahun 7H selepas peperangan Khaibar. Ia menjadikan keluasan masjid = 46 x 46m persegi.
  • Pembesaran oleh Saidina Umar Al-Khattab R.A pada tahun 17H di belah barat dan utara masjid, menjadikan keluasan masjid = 65 x 55.5m persegi.
  • Saidina Uthman bin ‘Affan R.A telah membesarkan pada tahun 29H di belah selatan (arah kiblat), utara dan barat. Menjadikan keluasan masjid = 74 x 79.5m persegi.
  • Pada zaman Khalifah Al-Walid bin ‘Abdil Malik iaitu tahun 88H, beliau telah melakukan penambahan di belah timur, barat dan utara. Serta memasukkan rumah-rumah Umm Al-Mukminin ke dalam masjid menjadikan keluasannya = 93 x 93m persegi.
  • Zaman Khalifah Al-Mahdi bin al-Mansur tahun 162H. Dibesarkan pada belah utara sebanyak 245m persegi.
  • Zaman pemerintahan Qaitbay al-Mamluki pada tahun 888H. Beliau membesarkan pada belah timur sebanyak 120m persegi.
  • Zaman Sultan Al-Uthmani ‘Abdul Majid Khan. Pembesaran bermula pada tahun 1265H dan berakhir tahun 1277H. Beliau telah menghancurkan sebahagian binaan masjid lama (kerana usang dan retak) dan membinanya semula. Beliau menambah pembesaran pada belah utara seluas 1293m persegi. Binaan lama pada belah selatan (depan masjid) dengan seni bina zaman itu, masih kekal sehingga sekarang.
  • Pembesaran kelapan bermula zaman Kerajaan Arab Saudi dibawah pemerintahan Raja ‘Abdul Aziz Ali Su’ud pada tarikh 13/3/1372H. Kemudian beliau meninggal dunia pada tahun 1373H dan disempurnakan projek tersebut oleh Raja Su’ud. Pembesaran tersebut pada belah utara dan berakhirnya projek ini pada zaman Raja Su’ud tanggal 5/3/1375H dengan keluasan 6024m persegi. Projek ini dipanggil pembesaran yang pertama oleh kerajaan Arab Saudi.
  • Pada zaman Raja Faisal bin ‘Abdul Aziz Ali Su’ud tahun 1395H, beliau menambah kawasan lapangan sebagai tempat solat seluas 35,000m persegi di belah barat dan meletakan payung. Kemudian, beliau menambah lagi 5,550m persegi beserta payung di kawasan tersebut.
  • Pada zaman Raja Khalid bin Abdul Aziz Ali Su’ud tahun 1397H, beliau menambah 43,000m persegi di belah barat selatan sebagai lapangan untuk solat berserta payung dan sebahagian daripadanya tempat parkir kereta.
  • Pada zaman Khadim Al-Haramain al-Syarifain Raja Fahd bin Abdul Aziz tahun 1405H, beliau menambah belah utara, barat dan timur dengan keluasan 82,000m persegi. Menjadikan masjid 5 kali ganda lebih besar dari sebelumnya. Ini adalah pembesaran terbesar dalam sejarah. Projek ini dikenali dengan nama pembesaran yang kedua oleh kerajaan Arab Saudi.
  • Pada zaman Khadim Al-Haramain al-Sharifain Raja Abdullah bin Abdul Aziz Ali Su’ud tahun 1433H, beliau telah memerintahkan untuk pembesaran masjid dan projek bermula pada tahun yang sama. Kemudian, beliau meninggal dunia tahun 1436H dan Khadim al-Haramain al-Syarifain Raja Salman bin Abdul Aziz Ali Su’ud perintah agar projek ini diteruskan. Ia berjalan sehingga waktu ini (1439H) dan dikenali dengan nama projek pembesaran yang ketiga oleh kerajaan Arab Saudi. (Lihat kitab al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 60-62)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”