#5087: Membina Masjid Secara Gotong-Royong

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah pembinaan masjid secara gotong royong telah dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/90)

Firman Allah SWT:

مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَن يَعْمُرُوا مَسَاجِدَ اللَّهِ شَاهِدِينَ عَلَىٰ أَنفُسِهِم بِالْكُفْرِ ۚ أُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ وَفِي النَّارِ هُمْ خَالِدُونَ

Maksudnya: “Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka.”

(Surah al-Taubah: 17)

Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Yakni tidak semestinya dan tidak layak “orang-orang musyrikin itu memakmurkan masjid-masjid Allah,” dengan ibadah, solat dan ketaatan-ketaatan yang lain, sementara mereka bersaksi dan mengakui bahawa diri mereka adalah kafir, dengan kesaksian keadaan dan fitrah mereka, serta pengetahuan banyak kalangan dari mereka, bahawa mereka di atas kekufuran dan kebatilan. Jika mereka “mengakui bahawa mereka sendiri kafir,” tidak memiliki iman yang merupakan syarat diterimanya amalan, bagaimana mereka mendakwa bahawa diri mereka adalah orang-orang yang memakmurkan masjid Allah, sedangkan mereka tidak mempunyai dasar dan amalan mereka adalah batal. Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman: “Itulah orang-orang yang sia-sia pekerjaannya,” yakni batal dan sia-sia. “Dan mereka kekal di dalam neraka.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 332)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa ia adalah benar.

Daripada ‘Ikrimah, katanya: Ibn Abbas berkata kepadaku dan kepada anaknya; Ali: “Pergilah kamu kepada Abu Sa‘id dan dengarlah hadithnya.” Kami pun pergi dan mendapati dia berada di dalam kebun dan sedang mengurusnya. Setelah itu, dia mengambil kain selendangnya, beliau duduk berpaut lutut. Kemudian dia mula menyampaikan hadith kepada kami sehinggalah apabila tiba cerita tentang pembinaan masjid, beliau berkata:

كُنَّا نَحْمِلُ لَبِنَةً لَبِنَةً وَعَمَّارٌ لَبِنَتَيْنِ لَبِنَتَيْنِ، فَرَآهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَنْفُضُ التُّرَابَ عَنْهُ، وَيَقُولُ: «وَيْحَ عَمَّارٍ، تَقْتُلُهُ الفِئَةُ البَاغِيَةُ، يَدْعُوهُمْ إِلَى الجَنَّةِ، وَيَدْعُونَهُ إِلَى النَّارِ». قَالَ: يَقُولُ عَمَّارٌ: أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الفِتَنِ.

Maksudnya: “Kami pikul seketul demi seketul batu. ‘Ammar pula memikul dua ketul demi dua ketul batu. Apabila Nabi SAW ternampak dia (yakni ‘Ammar), Baginda lalu mengebas debu tanah daripada tubuhnya dan bersabda: “Aduhai ‘Ammar, dia akan dibunuh oleh sekumpulan pemberontak. ‘Ammar menyeru mereka kepada syurga. Mereka pula menyerunya kepada neraka.” Abu Sa’id berkata: ‘Ammar selalu berdoa: “Aku berlindung dengan Allah daripada berbagai malapetaka.”

Riwayat al-Bukhari (447)

Sesungguhnya, membina masjid secara bergotong-royong termasuk dalam bertolong-tolongan dalam perkara ketakwaan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”