#5088: Hukum Meninggikan Suara di dalam Masjid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah seseeroang bercakap dengan kuat dan bertempik di dalam masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Terdapat dua aspek dalam isu mengimarahkan masjid, iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Menurut Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya, bahawa terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/90)

Kami kemukakan terlebih dahulu berkenaan definisi masjid.

Masjid (مَسْجِد) pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf, masjid ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27)

Al-Zajjaj berkata: “Setiap tempat diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid seperti hadis di atas.” (Lihat Taj al-‘Arus, 8/174)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, meninggikan suara di dalam masjid adalah tidak dibenarkan.

Daripada al-Sa’ib bin Yazid, katanya:

كُنْتُ قَائِمًا فِي المَسْجِدِ فَحَصَبَنِي رَجُلٌ، فَنَظَرْتُ فَإِذَا عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ، فَقَالَ: اذْهَبْ فَأْتِنِي بِهَذَيْنِ، فَجِئْتُهُ بِهِمَا، قَالَ: مَنْ أَنْتُمَا؟ – أَوْ مِنْ أَيْنَ أَنْتُمَا؟ – قَالاَ: مِنْ أَهْلِ الطَّائِفِ، قَالَ: لَوْ كُنْتُمَا مِنْ أَهْلِ البَلَدِ لَأَوْجَعْتُكُمَا، تَرْفَعَانِ أَصْوَاتَكُمَا فِي مَسْجِدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Maksudnya: Suatu ketika aku berdiri di dalam masjid. Tiba-tiba ada seorang lelaki melempariku dengan batu kerikil. Lalu aku melihat (ke arah itu), ternyata dia Umar bin al-Khattab. Lalu beliau berkata: “Pergi dan bawa kepadaku dua orang ini.” Maka aku datang kepadanya dengan membawa dua orang yang dimaksudkan. Umar bertanya: “Siapa kamu berdua? – atau dari manakah kamu berdua?” – Mereka berdua menjawab: “Kami berasal dari Ta’if.” Beliau (Umar) berkata: “Sekiranya kamu berdua berasal dari penduduk negeri ini, nescaya aku akan pukul kamu berdua, kerana meninggikan suara di dalam Masjid Rasulullah SAW.”

Riwayat al-Bukhari (470)

Adapun kerana berkhutbah pada hari Jumaat atau hari-hari yang lain, begitu juga majlis pengajaran untuk istifadah umum, maka ia dibenarkan untuk meninggikan suara. Hal ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW, daripada Jabir bin Abdillah R.A ketika menggambar dan mensifatkan khutbah Rasulullah SAW seraya berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ إِذَا خَطَبَ احْمَرَّتْ عَيْنَاهُ وَعَلاَ صَوْتُهُ وَاشْتَدَّ غَضَبُهُ حَتَّى كَأَنَّهُ مُنْذِرُ جَيْشٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW ketika berkhutbah merah kedua matanya, tinggi suaranya, keras marahnya, seakan baginda sedang memberi amaran tentang bahaya kedatangan tentera musuh.”

Riwayat Muslim (867), al-Nasa’ie (1578) dan Ahmad (14984)

Marilah sama-sama kita menghormati adab ketikamana kita berada di dalam masjid. Antara adab di dalam masjid itu ialah:

Antara adab-adabnya adalah sebagaimana berikut:

  • Melakukan ibadat-ibadat sunat seperti berwuduk, berniat iktikaf dan menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid dua rakaat sebelum duduk.
  • Memelihara adab berpakaian seperti memakai pakaian yang suci dan bersih dan menutup aurat.
  • Memelihara adab berhias dan berdandan dengan tidak berlebihan dan keterlaluan dalam berhias.
  • Menjaga larangan-larangan seperti larangan memasuki masjid lelaki dan wanita yang berhadas besar, termasuk bagi wanita yang sedang dalam haid.
  • Menjaga suara tanpa meninggikannya seperti menengking, bertempik, meraung dan lain-lain lagi.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”