#5090: Menyilangkan Jari Jemari dalam Masjid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita menyilangkan jari jemari di dalam masjid, dan apakah hukumnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/90)

Menjawab persoalan di atas, Imam al-Bukhari telah meletakkan satu bab dalam kitab Sahihnya dengan tajuk:

بَابُ تَشْبِيكِ الأَصَابِعِ فِي المَسْجِدِ وَغَيْرِهِ

Bab: Menyilangkan Jari-Jemari di dalam Masjid dan Tempat Lain

Daripada Ibn Umar atau Ibn ‘Amr, katanya:

شَبَكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَصَابِعَهُ.

Maksudnya: “Nabi SAW menyilangkan jari-jemarinya.”

Riwayat al-Bukhari (478) (479)

Daripada Abdullah bin ‘Amr, katanya: Rasulullah SAW bersabda: “

يَا عَبْدَ اللهِ بْنَ عَمْرٍو كَيْفَ بِكَ إِذَا بَقِيتَ فِي حُثَالَةٍ مِنَ النَّاسِ بِهَذَا.

Maksudnya: Wahai Abdullah bin ‘Amr, bagaimanakah keadaan engkau nanti, apabila engkau tinggal bersama golongan yang rendah budi pekertinya (orang yang tidak berguna) daripada kalangan manusia seperti ini.”

Riwayat al-Bukhari (480)

Daripada Abu Musa, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ المُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا.  وَشَبَّكَ أَصَابِعَهُ.

Maksudnya: “Sesungguhnya (bandingan) seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, sebahagiannya saling menguatkan satu sama lain.” Dan Baginda SAW pun menyilangkan jari-jemarinya.

Riwayat al-Bukhari (481)

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa hukumnya adalah harus.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”