Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah dibolehkan jika kita menyertai program yang diadakan oleh syarikat seperti secret santa? Kita perlu memberi hadiah kepada orang lain, tanpa mendedahkan nama kita. Niat kita hanyalah sekadar untuk memberi hadiah, bukan kepada merayakan sambutan perayaan tersebut. Mohon pencerahan, terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Secret santa ialah tradisi Krismas Barat atau tradisi Saint Nicholas, di mana ahli kumpulan atau komuniti ditetapkan secara rawak untuk memberi hadiah kepada seseorang. Identiti pemberi hadiah hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan.[1]
Ia merupakan sebuah tradisi keagamaan yang diamalkan oleh penganut Kristian, yang mana pada asalnya meraikan hari kematian seorang tokoh paderi Ortodoks Yunani bernama Nicholas. Dia dikatakan lahir pada abad ke-3 di perkampungan Patara di Asia Minor. Dia mempunyai ibu bapa yang kaya, yang membesarkannya sebagai seorang yang amat kuat beragama Kristian, dengan memegang kuat satu kata-kata Jesus: “Juallah apa yang menjadi milikmu dan berikan wang tersebut kepada orang miskin.” Dengan itu, setelah pemergian ibu bapanya akibat epidemik yang melanda, Nicholas telah menjual kesemua harta pusaka yang ditinggalkan untuk membantu mereka yang memerlukan, mereka yang sakit dan menderita. Dia mengabdikan hidup sepenuhnya untuk tuhannya, sehingga diangkat menjadi seorang paderi berpangkat Biskop pada usia yang sangat muda pada abad ke-4 di kota Myra, Lycia Yunani (sekarang kota Demre di provinsi Antalya, Turki).
Semasa di bawah pemerintahan Rom yang diketuai Kaisar Diocletian, yang dengan kejam menganiaya orang Kristian, Biskop Nicholas dipenjara di dalam tempat tahanan yang sememangnya dipenuhi dengan Biskop, Paderi, dan juga Diakon. Dia mati pada 6 December tahun 343 Masihi, di kota Myra. Tarikh ini kemudiannya dijadikan sebagai hari sambutan Saint Nicholas Day yang disambut oleh mereka yang beragama Kristian.[2]
Apabila jelas kepada kita tentang hakikat sambutan ini, yang mana ianya berunsurkan keimanan terhadap seorang Biskop Kristian, maka hukum asal menyertai sambutan ini pastinya haram dan dilarang oleh Islam. Seorang Muslim tidak boleh sama sekali atas nama Fiqh Ta‘ayush (fiqh hidup bersama) melibatkan diri apatah lagi mengiktiraf apa-apa perkara yang melibatkan akidah agama lain. Ini berdasarkan prinsip yang telah dinyatakan oleh Allah SWT:
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ
Maksudnya: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”
(Surah al-Kafirun: 6)
Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti menyebutkan di dalam tafsirnya, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW untuk menzahirkan bahawa Baginda berlepas diri daripada amal perbuatan buruk yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam, hal ini sebagai tanda pengingkaran terhadap perkara tersebut. Ini juga bagi menzahirkan kewajiban untuk menjauhi perbuatan mereka itu, sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam ayat di atas. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/157)
Bahkan tidak ada yang diredhai oleh Allah SWT melainkan agama Islam, sebagaimana yang jelas dalam firman-Nya:
ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَـٰمَ دِينًۭا ۚ
Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 3)
Imam Ibn Kathir berkata, ini merupakan nikmat terbesar dari Allah SWT kepada umat ini, di mana Dia menyempurnakan buat mereka agama mereka, maka mereka tidak perlu lagi kepada agama yang lain, dan tidak juga kepada nabi selain dari nabi mereka. Selawat dan salam dari Allah SWT buat Nabi, yang mana dijadikan khatim al-anbiya’ dan diutuskan kepada sekalian manusia serta jin. Tidak ada yang halal melainkan apa yang telah dihalalkan, dan tidak ada yang haram melainkan apa yang diharamkan, dan tidak ada agama melainkan apa yang disyari‘atkan-Nya, dan setiap apa yang dikhabarkan adalah hak serta benar, tidak ada pendustaan padanya dan tidak ada juga pertikaian. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/22)
Ini juga dikuatkan lagi dengan ayat-ayat yang lain, sepertimana dalam firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَـٰمُ ۗ
Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah adalah Islam.”
(Surah Ali ‘Imran: 19)
Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa, Allah SWT mengkhabarkan bahawa tiada agama yang diterima disisi-Nya daripada seseorang kecuali agama Islam. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/25)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam.
Muzakarah telah memutuskan beberapa perkara, antaranya:
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam: Yakni, sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau Keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
Contohnya: Menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya. Menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama, meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh, memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam. Tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syara‘: Yakni, sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.
Contohnya: Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama, menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya, mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa, mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 13-14)
Adapun kenyataan yang saudara katakan, bahawa niat sekadar untuk memberikan hadiah dan bukan untuk merayakan perayaan tersebut, ianya tidak boleh dijadikan sebagai justifikasi untuk mengharuskan penyertaan di dalam program syarikat tersebut. Perkara ini dapat difahami berdasarkan kaedah Fiqh:
الْوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَامُ الْمَقَاصِدِ
Maksudnya: “Semua wasilah atau cara, hukumnya adalah seperti hukum maqasid (maksud yang hendak dicapai).”
Kaedah ini telah disebut oleh ramai ulama’ dan fuqaha’ antaranya adalah Imam al-Qarafi dalam kitabnya al-Furuq. Kata beliau, kaedah ini hendaklah difahami, jika ianya haram maka hukumnya haram dan jika wasilahnya wajib, maka hukumnya wajib. Begitulah baki pada hukum-hukum yang lain. (Lihat al-Furuq, 3/111-112)
Menyertai program ini juga umpama menyerupai amalan keagamaan mereka, sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda seperti dalam riwayat Ibn ‘Umar R.A:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai satu kaum maka dia termasuk dari kalangan mereka.”
Riwayat Abu Daud (4031)
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda :
لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا، لَا تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ وَلَا بِالنَّصَارَى
Maksudnya: “Bukan dari kalangan kami orang yang menyerupai selain dari kami. Jangan kalian menyerupai Yahudi dan Nasrani.”
Riwayat al-Tirmizi (2695)
Allah SWT juga melarang kita dari mengambil orang bukan Islam sebagai teman rapat semata-mata ingin menjaga hubungan baik dengan mereka sahaja, dan lebih teruk lagi jika cara kita merapatkan hubungan tersebut adalah dengan menyertai sambutan keagamaan mereka. Firman Allah SWT di dalam al-Tanzil:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ عَدُوِّى وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَآءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِٱلْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا۟ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلْحَقِّ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu.”
(Surah al-Mumtahanah: 1)
Bahkan terdapat larangan yang jelas untuk turut serta dalam perayaan orang bukan Islam, sebagaimana firman Allah SWT:
وَٱلَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ ٱلزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا۟ بِٱللَّغْوِ مَرُّوا۟ كِرَامًۭا
Maksudnya: “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.”
(Surah al-Furqan: 72)
Imam al-Qurtubi mengatakan, yang dimaksudkan dari ayat di atas adalah, janganlah kalian hadiri majlis pendustaan dan kebatilan, dan janganlah menyaksikannya. Kalimah (ٱلزُّورَ) merujuk kepada semua perkara yang batil dan rekaan, dan yang paling dahsyat adalah kesyirikan serta mengagungkan musuh. Beginilah yang ditafsirkan oleh al-Dahhak, Ibn Zaid, dan salah satu riwayat Ibn ‘Abbas R.A. Adapun dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas R.A, yang dimaksudkan di sini adalah perayaan orang-orang Musyrik. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 13/79)
Kesimpulan
Natijah dari perbincangan ini, kami katakan bahawa menyertai program Secret Santa yang dianjurkan oleh syarikat adalah dilarang. Kami sarankan agar saudara yang bertanya berusaha meminta pengecualian dari majikan tempat saudara bekerja atas dasar hormat kepada akidah dan keimanan terhadap agama Islam.
Hal ini kerana, menyertai program tersebut boleh menjerumuskan kita ke dalam kancah tohmahan masyarakat Islam, seakan kita sememangnya berniat untuk menormalisasikan sambutan perayaan agama lain. Kami nasihatkan agar berhati-hati apabila melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan iman kita atau mendorong ke arah kekufuran. Ingatlah bahawa seseorang itu boleh jatuh murtad apabila berbuat syirik, dan syirik merupakan dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT. Ini berdasarkan firman-Nya:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِۦ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَـٰلًۢا بَعِيدًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukum-Nya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”
(Surah al-Nisa’: 116)
Semoga keterlanjuran dan kesilapan yang dilakukan kita kerana perkara yang tidak kita ketahui, diampunkan oleh Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”
Wallahu a‘lam
Nota kaki:
[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Secret_Santa. Diakses pada 18 December 2023.
[2] Lihat https://www.stnicholascenter.org/who-is-st-nicholas. Diakses pada 18 December 2023.