#5092: Kisah Perlawanan Saidina Ali R.A dan Amr ibn Abd Wudd

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan kisah perlawanan antara Saidina Ali R.A dengan Amr ibn Abd Wudd dalam peperangan Ahzab?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nama sebenar beliau ialah Amru bin Abd bin Abi Qis bin Abd Wud bin Nasr bin Malik bin Hasal bin Amir bin Lu’ai bin Ghalib. Dikatakan beliau adalah panglima yang paling handal dalam kalangan orang Arab pada zaman Jahiliyyah. Beliau dikenali sebagai panglima di waktu malam. Ini kerana dalam salah satu perjalanan beliau bersama rakan-rakannya, tiba-tiba sepuluh orang musuh berkuda datang menyerang di lembah. Kesemua rakan-rakannya bertempiaran lari. Hanya beliau seorang yang tidak berganjak dan tetap melawan mereka semua yang merupakan penyamun jalanan. Akhirnya, beliau berjaya menewaskan mereka dan menang dalam pertempuran tersebut. Disebabkan peristiwa tersebutlah beliau diberi julukan sebagai panglima waktu malam. Beliau amat terkenal di semenanjung tanah Arab disebabkan kekuatannya. Orang Arab begitu gerun kepadanya lantaran kehebatannya. Beliau salah seorang yang memimpin tentera Musyrikin dalam perang Khandaq atau al-Ahzab sehingga terbunuh apabila bertempur dengan Saidina Ali RA.

Peperangan al-Ahzab yang dikenali juga dengan Peperangan Khandaq tersebut berlangsung pada bulan Syawal, tahun ke-5 hijrah. Ia tercetus apabila beberapa orang ketua Bani Nadhir –selepas peristiwa pengusiran mereka – telah datang ke Mekah untuk mengajak dan mengapi-apikan Quraisy untuk memerangi Rasulullah SAW. Ajakan tersebut telah disahut oleh Kaum Quraisy. Seterusnya para pemimpin Yahudi pergi pula ke Ghatfan. Di sana, Bani Fazzarah, Bani Murrah dan Asyja’ telah menerima ajakan mereka dan berangkat menuju ke Madinah. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah Durus wa ‘Ibar oleh Dr. Mustafa al-Siba’ie, hlm. 52-53)

Apabila Baginda SAW mendengar kedatangan angkatan mereka, Baginda bermesyuarat dengan para sahabat. Salman R.A telah mencadangkan kepada Baginda supaya digali parit di sekeliling kota Madinah. Lalu Baginda SAW memerintahkan agar digali parit. Baginda sendiri turut terlibat menggali parit tersebut. Akhirnya, apabila tentera Quraisy dan sekutu mereka sampai, mereka merasa terpegun dengan parit-parit yang mereka saksikan. Ini kerana bangsa Arab tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam penggalian parit seperti ini. Bilangan tentera bersekutu Quraisy berjumlah 10,000 orang sementara bilangan orang Islam hanya 3,000 orang. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah Durus wa ‘Ibar, hlm. 52-53)

Peperangan bermula apabila beberapa pahlawan berkuda Musyrikin berjaya melepasi parit tersebut di salah satu bahagiannya yang sempit. Orang Islam lalu bertempur dengan mereka. Dalam pertempuran inilah berlakunya pertarungan di antara Saidina Ali R.A yang akhirnya berjaya menewaskan panglima Quraisy, Amr ibn Abd Wud.

Syeikh al-Mubarakfuri dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum (hlm. 457-45) ketika menceritakan peristiwa tersebut menyebut: Pasukan Musyrikin hanya boleh lalu lalang di hadapan parit itu dengan perasaan marah. Mereka terus mencari jalan lemah untuk dapat dijadikan jalan masuk. Sebaliknya pasukan Muslimin terus mengamati pergerakan pasukan Musyrikin serta menghujani mereka dengan anak panah sehingga mereka tidak berani mendekati parit itu dan tidak mampu merempuhnya. Mereka juga tidak dapat menimbunkan tanah padanya untuk dijadikan sebagai jalan penyeberangan.

Para penunggang kuda Quraisy tidak suka berhenti di hadapan parit itu tanpa ada strategi kerana menunggu seperti itu bukanlah kebiasaan bagi mereka. Maka beberapa orang daripada mereka, antaranya ialah Amru ibn Abd Wud, Ikrimah ibn Abu Jahal, Dhirar ibn Khattab serta yang lainnya bergerak menuju ke bahagian parit yang paling sempit lalu merempuh masuk hingga kuda mereka dapat sampai di tasik masin yang terletak di antara parit dengan Gunung Sal’. Ali bin Abi Talib terus bergerak bersama beberapa orang Islam sehingga dapat menghalang para perempuh itu di bahagian yang mereka lalui. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 457)

Syeikh Muhammad al-Ghazali berkata bahawa tatkala mereka melihat di tempat yang sempit di Khandaq, lantas mereka berkata: Demi Allah ini merupakan tipu daya dan strategi yang orang Arab tidak pernah melakukannya. Lantas mereka menuju ke tempat yang sempit untuk merempuh pertahanan umat Islam. Ketika itulah umat Islam merasa bahaya yang mendatang, lantas dengan cepat mereka menutup ruang tersebut yang diketuai oleh Ali bin Abi Talib. (Lihat Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali, hlm. 301)

Ketika itu Amru ibn Abd Wud mengajak untuk beradu tenaga sehingga Ali bin Abi Talib menyetujuinya. Malah Ali bin Abi Talib telah mengucapkan kata-kata yang membuatkan Amru marah. Dia lantas melompat turun dari kudanya, kemudian dia melukai kudanya dan menampar wajahnya sendiri. Selepas itu dia menghampiri Ali, lalu keduanya saling berpusing dan saling menyerang sehinggalah akhirnya Ali dapat membunuhnya. Para perempuh yang masih berbaki lantas mundur ke belakang sehingga mereka lari keluar melalui parit. Mereka benar-benar ketakutan hingga Ikrimah ibn Abu Jahal meninggalkan tombaknya dan tidak mempedulikan jasad Amru bin Abd Wud. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 457)

Dikatakan Amru bin Abd Wud pada mulanya mencabar orang Islam, siapa yang sanggup bertarung dengannya. Lantas Saidina Ali tampil untuk bertarung dengannya. Kemudian Ali berkata: “Wahai Amru, Sesungguhnya kamu telah berjanji dengan Allah supaya tidak menyeru kepada kamu atau mengajak oleh seorang lelaki daripada Quraisy kepada salah satu daripada dua tempat yang sempit ini melainkan aku akan berlawan dengannya.” Lantas dia berkata: “Ya.” Makanya Saidina Ali berkata kepadanya: “Sesungguhnya aku menyeru kamu kepada Allah, Rasul-Nya dan kepada Islam.” Jawab Amru: “Aku tidak perlu itu.” Kata Saidina Ali: “Aku seru kepada kamu untuk sama-sama turun bertarung.” Jawabnya: “Kenapa wahai anak saudaraku. Demi Allah, aku tidak suka untuk membunuhmu.” Lantas kata Ali: “Akan tetapi demi Allah aku suka untuk membunuhmu.” Maka Amr amat marah dan berlakulah pertarungan antaranya dengan Ali dalam satu tempoh masa. (Lihat Sirah Ibn Hisyam, 4/184. Lihat juga al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/121)

Pada episod akhir perlawanan yang mengambil masa begitu lama dan debu telah melindungi kedua-duanya seperti kata Jabir bin Abdillah al-Ansari, akhirnya pedang Amru bin Abd Wud terpacak atas topi besi Ali. Ketika itulah Ali melibas dan membunuhnya. Kemudian mereka mendengar takbir, maka fahamlah orang Islam bahawa Ali telah membunuhnya. Rasulullah SAW amat gembira apabila mendengar berita kematiannya seraya bertakbir dan melakukan sujud syukur.

Kata Syeikh Munir Ghadban: Begitulah kami dapati bahawa kesungguhan seseorang itu dalam memberi peranan yang terbaik ketika berperang. Orang Islam tidak akan bakhil dengan ruh, darah dan jiwa mereka sehingga Allah kurniakan kepada mereka kemenangannya. (Lihat al-Manhaj al-Haraki li al-Sirah al-Nabawiyyah, 2/382)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”