#5093: Kisah Saidina Ali R.A Lawan dengan Pahlawan Yahudi, Marhab

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami, bagaimana Saidina Ali R.A dapat menewaskan pahlawan Yahudi, Marhab yang terkenal dengan ketangkasan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kisah ini berlaku dalam peperangan Khaibar. Dalam peperangan tersebut, Rasulullah SAW telah memilih kawasan yang selamat daripada jangkauan pemanah mengikut nasihat salah seorang sahabat RA, lalu mendirikan khemah.

‘Ali RA telah diberikan peranan yang penting dalam peperangan ini mengikut riwayat hadis yang sahih. Rasulullah SAW bersabda:

 لأُعْطِيَنَّ هَذِهِ الرَّايَةَ رَجُلاً يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يَفْتَحُ اللَّهُ عَلَى يَدَيْهِ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ مَا أَحْبَبْتُ الإِمَارَةَ إِلاَّ يَوْمَئِذٍ – قَالَ – فَتَسَاوَرْتُ لَهَا رَجَاءَ أَنْ أُدْعَى لَهَا – قَالَ – فَدَعَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ فَأَعْطَاهُ إِيَّاهَا وَقَالَ ‏”‏ امْشِ وَلاَ تَلْتَفِتْ حَتَّى يَفْتَحَ اللَّهُ عَلَيْكَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ فَسَارَ عَلِيٌّ شَيْئًا ثُمَّ وَقَفَ وَلَمْ يَلْتَفِتْ فَصَرَخَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَى مَاذَا أُقَاتِلُ النَّاسَ قَالَ ‏”‏ قَاتِلْهُمْ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ فَقَدْ مَنَعُوا مِنْكَ دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّهَا وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ ‏”‏ ‏

Maksudnya: “(Esok) aku benar-benar akan menyerahkan bendera ini kepada seseorang yang mengasihi Allah dan Rasul-Nya. Allah akan mengurniakan (mengepalai) kemenangan kepadanya.” ‘Umar RA berkata: “Sungguh aku tidak pernah menginginkan diriku menjadi ketua (pemimpin) melainkan pada hari itu sahaja. Beliau berkata lagi: Lalu, aku menampilkan diri ke hadapan, dengan harapan akulah orang yang dipanggil untuk menerima panji itu.” Selanjutnya Rasulullah SAW memanggil ‘Ali bin Abi Talib dan Baginda memberikan panji itu kepadanya. Lantas Baginda SAW bersabda: “Berangkatlah dan janganlah kamu menoleh ke belakang hingga Allah memenangkanmu!” Kemudian ‘Ali berangkat pergi, lalu berhenti dengan tidak menoleh ke belakang dan berkata dengan mengangkat nada suaranya: Wahal Rasulullah! Atas dasar apa aku memerangi manusia?” Rasulullah SAW menjawab: “Perangilah mereka hingga mereka mahu bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan bahawa Muhammad ialah utusan Allah. Jika mereka telah melaksanakan hal itu, maka bererti mereka telah mencegahmu daripada menumpahkan darah dan mengambil harta mereka kecuali yang menjadi haknya (Islam). sedang hisab (perhitungan) mereka terserah kepada Allah.”

Riwayat Muslim (2405)

Mengikut riwayat yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:

لأُعْطِيَنَّ هَذِهِ الرَّايَةَ رَجُلاً يَفْتَحُ اللَّهُ عَلَى يَدَيْهِ يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيُحِبُّهُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ فَبَاتَ النَّاسُ يَدُوكُونَ لَيْلَتَهُمْ أَيُّهُمْ يُعْطَاهَا – قَالَ – فَلَمَّا أَصْبَحَ النَّاسُ غَدَوْا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كُلُّهُمْ يَرْجُونَ أَنْ يُعْطَاهَا فَقَالَ ‏”‏ أَيْنَ عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ ‏”‏ ‏.‏ فَقَالُوا هُوَ يَا رَسُولَ اللَّهِ يَشْتَكِي عَيْنَيْهِ – قَالَ – فَأَرْسَلُوا إِلَيْهِ فَأُتِيَ بِهِ فَبَصَقَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي عَيْنَيْهِ وَدَعَا لَهُ فَبَرَأَ حَتَّى كَأَنْ لَمْ يَكُنْ بِهِ وَجَعٌ فَأَعْطَاهُ الرَّايَةَ فَقَالَ عَلِيٌّ يَا رَسُولَ اللَّهِ أُقَاتِلُهُمْ حَتَّى يَكُونُوا مِثْلَنَا ‏.‏ فَقَالَ ‏”‏ انْفُذْ عَلَى رِسْلِكَ حَتَّى تَنْزِلَ بِسَاحَتِهِمْ ثُمَّ ادْعُهُمْ إِلَى الإِسْلاَمِ وَأَخْبِرْهُمْ بِمَا يَجِبُ عَلَيْهِمْ مِنْ حَقِّ اللَّهِ فِيهِ فَوَاللَّهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ ‏”‏ ‏.‏

Maksudnya: “Sungguh aku akan menyerahkan bendera ini kepada seseorang yang dikurniakan kemenangan dalam kepimpinannya, dia mencintai Allah dan Rasul-Nya, serta dia juga dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya.” Pada malam harinya, mereka membicarakan berkenaan siapakah antara mereka yang akan diserahkan bendera tersebut. Keesokan paginya, mereka bersegera menemui Rasulullah SAW dan semua berharap agar diserahkan bendera itu. Tiba tiba Rasulullah SAW bertanya: “Di manakah ‘Ali bin Abi Talib?” Mereka semua menjawab: “Beliau sedang mengalami sakit mata, wahai Rasulullah!” Maka Rasulullah SAW meminta: “Bawakanlah ‘Ali ke sini.” Maka, orang-orang yang menjemput ‘Ali dan membawanya ke hadapan Rasulullah SAW. Kemudian, Rasulullah SAW meludah ke dalam dua mata ‘Ali dan mendoakan kesembuhan kepada ‘Ali, seakan-akan ‘Ali tidak pernah merasa sakit sebelumnya. Lalu Rasulullah SAW menyerahkan bendera kepadanya. Seterusnya ‘Ali RA bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah aku akan memerangi mereka sehingga mereka menjadi seorang Muslim sepertimana kita semua?” Maka Rasulullah SAW menjawab: “Berangkatlah dengan tenang hingga kamu tiba di kawasan mereka (jangan gopoh) Apabila tiba di halaman mereka, serta ajaklah mereka memeluk Islam dan beritahukan kepada mereka hak Allah yang wajib mereka tunaikan.” “Demi Allah! Sesungguhnya, kejayaanmu menjadikan seseorang itu mendapat hidayah lebih berharga daripada unta berwarna merah (kenderaan yang paling mahal harganya ketika itu).”

Riwayat Muslim (2406)

Apabila ‘Ali RA tiba di medan pertempuran, panglima besar Yahudi bernama Marhab tampil ke hadapan bagi mencabar satu lawan satu sambil bersyair:

قَدْ عَلِمَتْ خَيْبَرُ أَنِّي مَرْحَبُ                شَاكِي السِّلاحِ بَطَلٌ مُجَرَّبُ

“Khaibar mengenaliku bernama Marhab sebagai seorang pahlawan terbilang.

                   Menghunus senjata, akulah pahlawan yang teruji kehandalannya.”

أَطْعَنْ أَحْيَانًا وَحِينًا أَضْرِبْ                   إِذَا الُّليُوثُ أَقْبَلَتْ تَحَرَّبْ.

“Kadang-kadang, aku menikam dan aku memukul.

                   Jika singa-singa menyerang pun, pasti kalah bertempiaran.

(Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, oleh Ibn Hisyam, 2/333)

Adapun Saidina ‘Ali R.A juga bersajak:

أَنَا الذِي سَمَّتْنِي أُمِّي حَيْدَرَه                كَلَيْثِ غَابَاتٍ كَرِيهِ المَنْظَرَهْ

“Akulah orang yang ibuku namakan dengan singa.

                 Bagaikan singa belantara yang amat menyeramkan.”

أُكِيلُهُمْ بِالصَّاعِ كَيْلَ المَنْدَرَهْ

“Akan aku sukat kamu (hancurkan kamu) dengan pedangku laksana menyukat buah bidara.”

(Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 2/85)

Maka, berlakulah perlawanan sengit dan akhirnya, ‘Ali RA berjaya menewaskan dan membunuh Marhab, pahlawan Yahudi itu.

Semoga Allah SWT merahmati Saidina Ali R.A atas jasanya yang besar untuk Islam. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”