#5097: Doa Memohon Keredhaan dan Syurga

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah terdapat doa memohon keredhaan dan syurga serta bagaimana hadisnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.

(Surah Ali Imran: 133)

Imam al-Baghawi Rahimahullah apabila mensyarahkan ayat ini beliau berkata: ‘’Iaitu bersegera dan berlumbalah kamu menuju ke arah amalan-amalan yang menyebabkan kepada keampunan’’. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 2/104).

Syeikh al-Sabuni berkata: Hendaklah kamu berlumba-lumba kepada perkara yang mewajibkan keampunan melalui ketaatan kepada Allah dan mengikut segala titah perintah-Nya. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/210)

Berkenaan dengan persoalan di atas, kami katakan pernah dibaca doa seperti berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ رِضَاكَ والْجَنَّة وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ سَخَطِكَ وَالنَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keredhaan-Mu dan syurga, dan aku berlindung kepada-Mu daripada kemurkaan-Mu dan neraka.”

Doa seperti di atas sebagaimana yang kami cari masih lagi belum menjumpainya. Tetapi doa yang hampir sama, tanpa menyebut kalimah redha dan murka. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

 قال النَّبيُّ ﷺ لِرَجُلٍ: كيف تَقولُ في الصَّلاةِ؟ قال: أتَشهَّدُ وأقولُ: اللَّهمَّ إنِّي أسألُكَ الجَنَّةَ وأعوذُ بكَ مِنَ النارِ، أما إنِّي لا أُحسِنُ دَندَنَتَكَ ولا دَندَنةَ مُعاذٍ. فقال النَّبيُّ ﷺ: حَولَها نُدَندِنُ.

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda kepada seorang lelaki: Bagaimana kamu kata semasa solat? Katanya: Aku bersyahadah dan berkata:

 اللَّهمَّ إنِّي أسألُكَ الجَنَّةَ وأعوذُ بكَ مِنَ النارِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepada-Mu syurga dan aku berlindung kepada-Mu neraka.”

Adapun aku sebenarnya tidak baik dalam mengalunkan doa sepertimu dan juga seperti alunan Mu’az dari segi bahasa yang tinggi. Maka sabda Nabi SAW: Seumpamalah kami mengalunkannya.”

Riwayat Abu Daud (792), Ahmad (15898) dan Ibn Majah (910). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij al-Musnad.

Berkenaan dengan doa di atas, kalimah redha disebut di sini yang merupakan puncak kurniaan Allah apabila mendapat keredhaan-Nya. Dengan sebab itu, banyak hadith memohon kepada-Nya untuk memperolehi keredhaan dan diredhai.

Daripada Umar bin al-Khattab R.A, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أُنْزِلَ عَلَيْهِ الوَحْيُ سُمِعَ عِنْدَ وَجْهِهِ كَدَوِيِّ النَّحْل ،ِ فَأُنْزِلَ عَلَيْهِ يَوْمًا فَمَكَثْنَا سَاعَةً ، فَسُرِّيَ عَنْهُ فَاسْتَقْبَلَ القِبْلَةَ وَرَفَعَ يَدَيْهِ وَقَالَ : اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلاَ تَنْقُصْنَا ، وَأَكْرِمْنَا وَلاَ تُهِنَّا ، وَأَعْطِنَا وَلاَ تَحْرِمْنَا ، وَآثِرْنَا وَلاَ تُؤْثِرْ عَلَيْنَا ، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا ، ثُمَّ قَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أُنْزِلَ عَلَيَّ عَشْرُ آيَاتٍ ، مَنْ أَقَامَهُنَّ دَخَلَ الجَنَّةَ ، ثُمَّ قَرَأَ :  قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ  حَتَّى خَتَمَ عَشْرَ آيَاتٍ

Maksudnya: Apabila diturunkan wahyu kepada Nabi SAW, maka terdengar suara seperti suara dengungan lebah di wajah Baginda. Pada suatu hari, diturunkan wahyu kepada Baginda, lalu kami diam sejenak. Kemudian, Baginda kelihatan gembira lalu menghadap kiblat dan berdoa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَأرْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

(“Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah kebaikan buat kami, jangan cegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”)

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

Dengan sebab itulah, Syeikh Abdul Wahid bin Zaid Rahimahullah berkata:

الرِّضَا بَابُ اللهِ الْأَعْظَم

Maksudnya: “Redha adalah pintu Allah yang teragung.”

Justeru, tidak hairanlah para sahabat sentiasa mendapat kelebihan, kerana mereka bukan sahaja redha kepada Allah, tetapi jauh lebih hebat daripada itu, Allah redha kepada mereka. Firman Allah SWT:

 رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ

Maksudnya: Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia.

(Surah al-Ma’idah: 119)

Al-Syaukani berkata: ‘رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ’ Kerana perbuatan mereka berupa ketaatan yang ikhlas  untuk-Nya. ‘وَرَضُوا عَنْهُ’ Kerana balasan yang diberikan kepada mereka, berupa apa yang belum pernah terlintas dalam fikiran mereka dan belum pernah terbayang dalam akal mereka, yang mana tidak ada permintaan dan keinginan mereka yang tidak terpenuhi. (Lihat Fath al-Qadir, 3/442)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَأرْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah kebaikan buat kami, jangan cegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”