#5111: Darah di Bibir Terkena Pakaian Sebelum Solat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sebelum mengerjakan sembahyang, saya tidak perasan bahawa bibir saya luka, sebelum sembahyang saya rasa gatal dibibir dan menggaru bahagian tersebut dengan lengan saya. Kemudian saya sedar ada kesan darah yang sedikit pada lengan baju saya, lalu saya basahkan tangan dan menggosok kawasan tersebut dengan tangan saya yang basah itu, sehingga kesan darah itu hilang. Soalan saya adakan darah yang sedikit di baju saya itu, najis yang dimaafkan dan adakah dengan cara saya basuh kesan darah itu, tidak menyucikan najis itu dan keseluruhan kawasan lengan baju saya itu yang terkena basuhan air itu tadi dikira najis? Disebabkan najis darah itu berpindah? Adakah baju yang saya pakai itu boleh dibawa sembahyang? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”

(Surah al-Baqarah: 238)

Merujuk kepada dalil di atas, al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/212)

Syarat-syarat sah solat memberi maksud sesuatu yang perlu ada sebelum solat dan berkekalan semasa dalam solat sehingga selesai solat. Itulah secara umum maksudnya.

Terdapat lapan syarat sah solat:

  1. Bersih daripada kedua hadas.
  2. Bersih daripada najis pakaian, badan dan tempat solat.
  3. Menutup aurat.
  4. Menghadap kiblat.
  5. Masuk waktu solat.
  6. Mengetahui kefarduannya.
  7. Tidak menyakini yang fardhu di dalam kefardhuan solat adalah sunat.
  8. Menjauhi perkara yang membatalkan solat seperti berkata-kata dengan sengaja,terbuka aurat walaupun sedikit, makan dan minum, berhadas sebelum salam pertama dan sebagainya. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 30)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan darah merupakan suatu yang dihukum sebagai najis mutawassitah (sederhana). Cara membersihkannya adalah dengan menghilang ain najis dan sifat-sifatnya (warna, rasa dan bau). Oleh itu, dalam isu ini, anda telah membasuh pakaian anda sehingga diyakini bersih. Maka, tidaklah najis tersebut tersebar ke seluruh lengan baju kerana sudah hilang ketiga-tiga sifat tersebut. Maka, tidak menjadi masalah menggunakan pakaian tersebut untuk solat.

Justeru, darah yang sedikit yang terkena pada pakaian, tidak kira ia darah manusia mahupun darah haiwan, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Menurut Imam Nawawi, apabila seseorang itu membunuh nyamuk dan kutu dan darahnya terkena pada pakaian atau melekat pada celah-celah jari, hukumnya adalah najis jika ia dalam jumlah yang banyak. Adapun jika sedikit, maka terdapat perselisihan ulama mengenainya, dan pendapat yang paling sahih, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan. (Lihat  al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/135).

Begitu juga al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara contoh darah yang dimaafkan dan termasuk di bawah kategori ‘umum al-balwa yang sukar disucikan adalah seperti darah nyamuk, lalat, kutu dan lain-lain darah yang tidak mampu dilihat oleh mata. (Lihat al-Iqna‘ fi Halli Alfaz Abi Syuja‘, 1/90). Malah al-Kasani juga ada menyatakan, najis yang sedikit tidak mungkin atau teramat sukar untuk dielakkan dan dibuang. Jika najis yang sedikit itu tidak dimaafkan, manusia akan ditimpa dengan kesulitan dan kesukaran. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 1/79-80).

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.