#5114: Kisah Abu Ayyub al-Ansari R.A

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami, siapakah dia Abu Ayyub al-Ansari dan sejarah hidupnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Ketika peristiwa hijrah Nabi SAW, dalam riwayat Anas, di sisi al-Bukhari menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Manakah rumah keluarga kami yang terdekat?” Lalu Abu Ayyub berkata, “Saya wahai Rasulullah. Dan inilah rumah saya dan ini pintunya.” Lalu Rasulullah SAW berkata, “Kalau begitu, marilah pergi, dan sediakan tempat berteduh untuk kami.” Abu Ayyub menjawab, “Silakan dengan keberkatan Allah.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/556)

Dikatakan bahawa rumah milik Abu Ayyub al-Ansari itu memiliki sejarahnya sejak zaman sebelum kelahiran Rasulullah SAW lagi. Itulah ketika Taba‘ (gelaran kepada seorang penguasa) datang dari Yaman dan menakluki Madinah dalam perjalanannya untuk menakluki Afrika. Dia telah melantik anaknya raja (atau gabenor) di tempat itu (Madinah).

Pada suatu hari, anak lelaki ini telah pergi dan memanjat pokok kurma untuk menuai hasil daripadanya. Kemudian pemiliknya datang dan menetaknya dengan sabit lalu membunuhnya. Pemilik pohon kurma itu berkata: “Sesungguhnya buah itu adalah untuk orang-orang yang mendebungakannya.”

Apabila Raja Taba‘ kembali, didapati anaknya telah terbunuh, maka dia ingin membalas dendam buat anaknya itu dengan memerangi penduduk Madinah. Akan tetapi dia tidak berjaya untuk mengalahkan mereka, sebaliknya hanya dapat mengepung mereka sahaja. Pengepungan itu berlangsung dalam tempoh yang sangat lama, sehingga bekalan raja dan tenteranya habis.

Penduduk Madinah berkata sesama mereka: “Demi Allah, kita tidak bersikap adil kepada musuh kita. Kita memerangi mereka sehinggalah apabila tiba waktu malam, kita kembali ke rumah kita, isteri-isteri kita, makanan kita dan tempat tidur kita, sedangkan musuh kita pula bermalam dalam kelaparan, seolah-olah kita telah membunuhnya. Justeru, bawalah makanan mereka kepada tentera (raja itu).” Maka raja itu berkata: “Menghairankan sungguh penduduk kampung ini, kita memerangi mereka pada siang hari, sedangkan pada malamnya mereka membalas kita (dengan membawa makanan).”

Oleh itu, sikap baik penduduk Madinah ini adalah sifat asli mereka sejak dahulu kala sebelum hijrah lagi, dan ia berterusan sehinggalah ketibaan Rasulullah SAW ke Madinah. Justeru, terdapat ayat al-Quran yang menjelaskan mengenai mereka sebagaimana firman-Nya:

 وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ‎

Maksudnya: Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

(Surah al-Hasyr: 9)

Raja itu berkata lagi: “Sesungguhnya apa yang berlaku di kampung ini menakjubkan.” Kemudian, dua orang pendeta datang bertemu dengannya, lalu bertanya: “Apakah yang kamu inginkan, wahai raja, daripada kampung ini?” Dia menjawab: “Aku ingin menghancurkannya.” Dua pendeta itu berkata: “Kamu tidak akan mampu melakukannya kerana ia adalah tempat di mana Nabi akhir nanti akan berhijrah kepadanya.” Raja itu bertanya: “Justeru, apakah yang kamu berdua ingin aku lakukan?” Mereka berkata: “Kamu binalah untuknya sebuah rumah, yang nanti akan dia tinggal (apabila tiba kelak).” Maka, raja itu membina sebuah rumah dan menulis sepucuk surat, lalu diserahkan kepada salah seorang anak daripada dua orang pendeta itu. Abu Ayyub al-Ansari pula adalah salah seorang daripada keturunan dua orang pendeta tersebut. Oleh itu, Nabi SAW telah tiba di Madinah dan tinggal di dalam rumah yang dibina oleh raja tersebut untuknya apabila datang ke Madinah kelak. (Lihat Durus al-Hijrah oleh ‘Atiyah Salim, 3/10) (Lihat juga Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 80-81)

Biografi Abu Ayyub al-Ansari

Abu Ayyub al-Ansari merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang terkenal dari kalangan Ansar. Namanya ialah Khalid bin Zaid bin Kulaib bin Tsa’labah bin Abdi Amr bin ‘Auf bin Ghanm bin Malik bin al-Najjar bin Tsa’labah bin al-Khazraj. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 3/354)

Beliau adalah generasi awal yang memeluk Islam dari kalangan sahabat. Sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah, Abu Ayyub mengikuti Bai’ah al-Aqabah yang kedua. Ini sepertimana dinyatakan oleh Ibn Ishaq. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 3/356)

Abu Ayyub meriwayatkan hadis langsung daripada Nabi SAW. Antara sahabat yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah al-Barra bin Azib, Zaid bin Khalid, Abdullah bin Abbas, Anas bin Malik dan lain-lain. Ramai tabi’in turut meriwayatkan hadis daripada beliau.

Semasa peristiwa penghijrahan Nabi SAW, rumah beliau telah dipilih oleh Nabi SAW sebagai tempat tinggal sementara di perkampungan Bani Najjar sehinggalah pembangunan Masjid Nabawi selesai. Apabila proses pembinaan masjid tersebut dan bilik isteri Nabi selesai, barulah Baginda SAW berpindah dari rumah Abu Ayub.

Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri menceritakan: Hari tersebut adalah hari bersejarah dan gemilang. Orang-orang Ansar bukanlah golongan yang memiliki harta yang banyak, namun setiap dari mereka bercita-cita semoga Rasulullah SAW singgah ke rumah mereka. Rasulullah hanya menjawab kepada mereka, “Biarlah kuda ini bergerak mengikut arahnya.” Kuda Baginda terus bergerak sehingga tiba di tapak masjid al-Nabawi yang ada sekarang ini. Sampai di situ, kuda Rasulullah pun berhenti. Namun Rasulullah tidak terus turun. Tiba-tiba kuda Baginda bangun semula dan berjalan lagi ke hadapan. Kemudian berpatah balik semula ke belakang ke tempat pertama tadi.

Ketika itu barulah Rasulullah turun darinya. Tempat itu adalah kawasan kediaman Bani al-Najjar, keluarga bapa saudara Rasulullah sebelah ibunya. Semua yang hadir di situ lalu mempersilakan Rasulullah untuk tinggal di rumah mereka. Namun, Abu Ayub al-Ansari terlebih dahulu segera menuju ke binatang tunggangan Baginda lalu menuntunnya masuk ke dalam kawasan rumahnya.

Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bertanya:

أَيُّ بُيُوتِ أَهْلِنَا أَقْرَبُ ، فَقَالَ أَبُو أَيُّوبَ: أَنَا يَا نَبِيَّ اللَّهِ، هَذِهِ دَارِي وَهَذَا بَابِي، قَالَ : فَانْطَلِقْ فَهَيِّئْ لَنَا مَقِيلًا، قَالَ: قُومَا عَلَى بَرَكَةِ اللَّهِ

Maksudnya: “Manakah rumah keluarga kami yang terdekat?” Lalu Abu Ayyub berkata: “Saya wahai Rasulullah. Inilah rumah saya dan ini pintunya.” Lalu Nabi berkata: “Kalau begitu, marilah pergi dan sediakan tempat berteduh untuk kami.” Abu Ayyub menjawab: “Silakan dengan keberkatan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (3911)

Baginda SAW menetap di rumah Abu Ayyub sehinggalah proses pembinaan Masjid Nabawi dan ruang-ruang sebagai bilik isteri-isteri Rasulullah SAW selesai. Setelah siapnya pembinaan bilik tersebut, barulah Baginda berpindah dari rumah Abu Ayyub. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, 117-118)

Abu Ayyub al-Ansari merupakan salah seorang sahabat yang turut serta dalam peperangan Badar, Uhud, Khandaq dan perang-perang seterusnya. Dikatakan, tidak ada satu perang pun di zaman Rasulullah yang beliau tidak ikuti. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/30)

Setelah Rasulullah SAW wafat, beliau tetap terlibat dalam jihad. Perang terakhir yang diikuti oleh beliau adalah pada zaman pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan.

Abu Ayyub meninggal dunia di tanah Rom (Konstantinopel) ketika zaman pemerintahan Khalifah Muawiyah. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Kathir, 2/209)

Kewafatannya adalah ketika menyertai pasukan yang dipersiapkan oleh Muawiyah dalam usaha menakluki Konstantinopel di bawah pimpinan anaknya, Yazid. Ketika itu, usia beliau mencecah 80 tahun. Namun, beliau tetap bersemangat dalam meraih pahala jihad.

Namun, sebaik pasukan Islam hampir tiba di sana, beliau telah jatuh sakit yang membawa kepada kematian beliau. Yazid sempat datang menziarahinya dan bertanya: “Adakah padamu ada apa-apa keinginan?” Lalu beliau menjawab: “Sampaikan salamku kepada pasukan kaum Muslimin. Katakan pada mereka, tempuhilah wilayah musuh sejauh mungkin dan bawalah jasadku bersama kamu semua.”

Apabila beliau meninggal, mereka pun lalu membawa jasadnya bersama. Kemudian mereka menguburkannya berhampiran dengan Konstantinopel. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/65 dan Siyar A’lam al-Nubala’, 3/356)

Dikatakan bahawa pada pagi hari pengebumian Abu Ayyub, orang-orang Rom berkata:  “Wahai orang-orang Arab, (kami melihat) berlaku sesuatu pada kamu semalam.” Mereka menjawab, “Telah wafat salah seorang sahabat yang agung dari Nabi kami, yang terlebih dahulu memeluk Islam.” (Lihat Usd al-Ghabah oleh Ibn al-Athir, 3/142)

Al-Waqidi menyatakan:  “Abu Ayyub meninggal dunia pada tahun di mana Yazid memimpin pasukan yang dihantar oleh ayahnya ke Konstantinopel. Sungguh telah sampai khabar kepadaku bahawa orang-orang Rom mencari makamnya. Kemudian mereka meminta hujan dengan perantaranya.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 3/356)

Begitulah kisah seorang tokoh yang begitu bersemangat dalam menyahut seruan Nabi SAW serta berkorban dalam mengembangkan syiar Islam sehingga ke penghujung usia. Mudah-mudahan semangat Abu Ayyub memberi satu inspirasi kepada kita semua dalam menyebarkan dakwah Islam.

Semoga Allah SWT merahmati Abu Ayyub al-Ansari. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)