#5116: Status Hadith Kezaliman dan Pembohongan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, sebuah hadith di mana Nabi berlepas diri dari golongan pemimpin yang berbohong dan melakukan zalim, yang berlegar dalam media sosial?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan dua hadith:

  • Daripada al-Nu’man bin Basyir R.A, katanya:

 خَرَجَ علينا رسولُ اللهِ ﷺ، ونحن في المسجدِ بعدَ صَلاةِ العِشاءِ، رَفَعَ بَصرَه إلى السَّماءِ، ثُمَّ خَفَضَ، حتى ظَنَنّا أنَّه قد حَدَثَ في السَّماءِ شيءٌ، فقال: ألا إنَّه سيَكونُ بعدي أُمَراءُ يَكذِبونَ ويَظلِمونَ، فمَن صَدَّقَهم بكَذِبِهم، ومالَأَهم على ظُلمِه؛ فليس منِّي، ولا أنا منه، ومَن لم يُصدِّقْهم بكَذِبِهم، ولم يُمالِئْهم على ظُلمِهم؛ فهو منِّي، وأنا منه، ألا وإنَّ دَمَ المُسلمِ كفّارتُه، ألا وإنَّ سُبحانَ اللهِ، والحَمدُ للهِ، ولا إلهَ إلّا اللهُ، واللهُ أكبرُ هنَّ الباقياتُ الصّالحاتُ.

Maksudnya: Rasulullah SAW keluar menemui kami ketikamana kami di dalam masjid selepas solat Isyak. Kemudian Baginda mengangkat pandangannya ke langit kemudian tunduk, sehingga kami menyangka bahawa sesuatu telah berlaku di langit. Lantas Baginda SAW bersabda: Akan datang selepasku pemimpin-pemimpin yang berdusta dan zalim. Maka sesiapa yang membenarkannya dengan pendustaan mereka dan mengiyakan mereka dan menyokong atas kezalimannya, maka orang itu bukan dari kalanganku dan aku berlepas diri daripadanya. Dan siapa yang tidak membenarkan mereka dengan pendustaan mereka serta tidak cenderung atas kezaliman mereka, maka dia daripadaku dan aku sebahagian daripadanya. Ketahuilah sesungguhnya darah orang islam mempunyai kifaratnya. Ketahuilah bahawa sesungguhnya zikir Subhanallah (سُبحانَ اللهِ), Alhamdulillah (الحَمدُ للهِ), La ilaha illah Allah (لا إلهَ إلّا اللهُ ) dan Allahu akbar (اللهُ أكبرُ) semuanya termasuk dalam al-baqiyat al-salihat.

Riwayat Ahmad (18353). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini Sahih li Ghairihi dalam takhrij al-Musnad.

  • Daripada Huzaifah bin al-Yaman, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّها ستكونُ أُمراءُ يَكذِبونَ ويَظلِمونَ، فمَن صَدَّقَهم بكَذِبِهم، وأعانَهم على ظُلمِهم؛ فليس مِنِّي ولستُ منه، ولا يَرِدُ علَيَّ الحَوضَ، ومَن لم يُصدِّقْهم بكَذِبِهم، ولم يُعِنْهم على ظُلمِهم؛ فهو مِنِّي وأنا منه، وسيَرِدُ علَيَّ الحَوضَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya akan wujud pemimpin-pemimpin yang dusta dan zalim. Maka siapa yang membenarkan mereka dengan pendustaan mereka dan menolong mereka atas kezaliman mereka, maka dia bukan dari kalanganku dan aku bukan dari kalangannya. Dia tidak berhak melalui kolamku. Dan siapa yang tidak membenarkan mereka dengan pendustaan mereka serta tidak menolong atas kezaliman mereka, maka ia daripadaku dan aku sebahagian daripadanya. Dan dialah yang berhak melalui kolamku di akhirat kelak.”

Riwayat Ahmad (23260), al-Bazzar (2832) dan al-Tabarani (3020). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih mengikut syarat al-Syaikhain.

Jelas menunjukkan, memang kita diharamkan menolong apa-apa yang berasaskan kezaliman sebagaimana firman Allah SWT:

 وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

(Surah Hud: 113)

Dalam Islam, menjadi kewajiban kepada kita menolong orang yang zalim dan orang yang kena zalim. Tetapi maksudnya berbeza dan cara pertolongannya juga berbeza. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW: Daripada Anas R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا، أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ؟ قَالَ: تَحْجُزُهُ، أَوْ تَمْنَعُهُ، مِنَ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ.

Maksudnya: “Tolonglah saudaramu sama ada yang zalim atau yang dizalimi.” Lalu seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika dia seorang yang dizalimi, namun apakah pandanganmu jika dia seorang yang zalim, bagaimanakah aku menolongnya? Baginda bersabda: “Engkau melarangnya atau mencegahnya daripada perbuatan zalim, sesungguhnya itulah cara menolongnya.” 

Riwayat al-Bukhari (6952)

Ibn Battal menyebut: Rasulullah SAW telah menafsirkan atau menjelaskan makna hadith ini di atas dengan menolong orang yang melakukan kezaliman di sini adalah dengan cara mencegahnya daripada perbuatan yang zalim. Ini kerana, jika dibiarkan begitu saja, ia akan terus melakukan kezaliman tersebut. (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari li Ibn Battal, 6/572)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami – disebabkan dosa-dosa kami – orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.” (Lihat al Mustadrak ‘ala Majmu’ Fatawa, 3/108)