#5117: Suka Berdebat, Kurang Beramal

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Kadang-kadang kami lihat, terlalu ramai yang suka berdebat dan mengulas isu-isu yang terkait dengan agama khasnya, tetapi malangnya dari segi amalan adalah amat berkurangan. Apa nasihat Dato’ Seri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ ‎

Maksudnya: Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

(Surah al-Taubah: 65)

Ayat ini turun kepada sebahagian orang munafik ini sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya, katanya: “Abdullah ibn Wahab berkata: Hisyam bin Sa‘d mengkhabarkan kepadaku, daripada Zaid bin Aslam, daripada Abdullah bin Umar, katanya: “Seorang lelaki berkata ketika perang Tabuk dalam satu majlis, ‘Aku dapati para qurra’ kita (orang yang mahir membaca al-Quran dalam kalangan kita), adalah orang yang paling menjaga perut, paling pembohong dan paling pengecut apabila bertempur dengan musuh.’ Seorang lelaki yang berada di masjid ketika itu berkata, ‘Engkau pembohong, dan engkau adalah munafik! Aku pasti akan memberitahu Rasulullah SAW tentang hal ini.’ Lalu berita tersebut sampai kepada Rasulullah SAW, lalu ayat di atas diturunkan.” Abdullah bin Umar berkata: “Aku melihat lelaki itu bergantung pada tali kekang unta Rasulullah SAW dan batu terkenanya, sambil dia berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami hanya bergurau dan bermain.’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Adakah dengan Allah dan Rasul-Nya kamu mempersendakan? Janganlah kamu memohon kemaafan, kerana kamu telah kufur selepas keimanan kamu.’” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/171)

Berkenaan dengan berdebat, selayaknya adalah dengan sebaik mungkin bagi mencari kebenaran sebagaimana firman Allah SWT:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Serulah ke jalan Allah dengan penuh  hikmah dan kebijaksanaan iaitu dengan al-quran dan nasihat pengajaran yang baik dari al-Quran. Dikatakan juga nasihat pengajaran yang baik itu adalah menyeru kepada Allah dengan memberi galakan dan ancaman. Pandangan lain juga menyatakan: Perkataan yang lembut dan tidak kasar dalam menyampaikan dakwah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/52)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, Rasulullah SAW memperingatkan kita agar meninggalkan berbantah-bantahan atau perdebatan. Daripada  Abu  Hurairah,  Abd al-Rahman  bin  Sakhr  R.A,  beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ واخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ

Maksudnya: “Apa yang aku larang hendaklah kamu jauhinya dan apa yang  aku  perintahkan  maka  hendaklah  kamu  laksanakan  sedaya  upaya  kamu. Sesungguhnya kehancuran orang-orang sebelum  kamu adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka (yang tidak berfaedah) dan penentangan mereka terhadap Nabi-nabi mereka.”

Riwayat al-Bukhari (6777) dan Muslim (1337)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Maksudnya ialah kamu jangan banyak bertanya sehingga menimbulkan jawapan yang bermacam-macam, menyerupai peristiwa yang terjadi kepada bani Israil. Tatkala mereka diperintahkan menyembelih seekor lembu yang seandainya mereka mengikuti perintah itu dan segera menyembelih lembu seadanya, nescaya mereka dikatakan telah mentaatinya. Akan tetapi kerana mereka banyak bertanya dan menyusahkan diri mereka sendiri maka akhirnya mereka disusahkan dan dicela. Rasulullah SAW khuatir perkara sebegini terjadi kepada umatnya.” (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 115)

Imam Taj al-Din al-Subki ketika menegur sebahagian ahli ilmu yang meremehkan ibadah-ibadah sunat, sedangkan suka kepada ilmu dan munazarah, beliau berkata:

وإذا قامت لصلاةِ الفريضةِ قامتْ أربعًا لا تذكرُ اللهَ فيهَا إلا قليلا ، مزجت صلاتها بالفكر في بابِ الحَيضِ ودقائق الجنايات

Maksudnya: “Kumpulan ini apabila mereka mendirikan solat fardu, mereka melakukan [solat] empat rakaat dalam keadaan tidak mengingati Allah padanya kecuali sedikit. Solatnya bercampur dengan memikirkan tentang bab haid serta perincian permasalahan jenayah. Apabila ditanyakan kepada kumpulan ini: “Adakah kamu khusyuk di dalam solat?” Dia akan jawab : “Khusyuk tidak termasuk dalam syarat sah solat.” Apabila ditanyakan kepada kumpulan ini : “Adakah kamu sudah solat sunat zuhur atau belum?” Dia akan jawab: Al-Syafi’e berkata : “Menuntut ilmu lebih afdal berbanding solat sunat.”

Kemudian Imam al-Subki menukilkan riwayat daripada Abu ‘Ali Al-Daqqāq yang berkata :

من استهان بأدب من آدابِ الإسلامِ عوقِبَ بحرْمَانِ السنَّةِ ، ومن ترك سُنَّة عوقب بحرْمان الفريضة ، ومن استهان بالفرائض قيض اللهُ له مبتدعا يوقع عنده باطلا فيوقع في قلبه شبهة

Maksudnya: Sesiapa yang meremehkan satu adab daripada adab-adab Islam, dia akan dihukum dengan terhalangnya dari melakukan perkara sunat. Sesiapa yang meninggalkan perkara sunat, dia akan terhalang dari melakukan ibadah fardhu. Sesiapa yang meremehkan perkara fardhu, Allah akan datangkan kepadanya seorang ahli bid’ah yang melakukan perkara batil di sisinya, lalu orang itu akan memasukkan syubhat ke dalam jantung hatinya. (Lihat Mu’id al-Ni’am wa Mubid al-Niqam, hlm. 69)

Bagi menutup perbincangan ini, kami mengemukakan sebuah hadith: Daripada Abu Umamah al-Bahili R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَنا زَعِيمٌ ببَيتٍ في ربَضِ الجنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ المِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا

Maksudnya: “Aku menjamin sebuah mahligai di taman syurga bagi orang yang meninggalkan debat meskipun dia benar.

Riwayat Abu Daud (4800), al-Tirmizi (1993), al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (8017) dan al-Tabarani (8/117). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai kuat.

Semoga pesanan di atas memberi kesan yang baik kepada kita dalam memperbanyakkan ibadat dan meninggalkan perkara yang kurang berfaedah. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”