Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah maksud kelebihan disebalik bilangan rakaat di dalam setiap waktu solat. Contohnya kita disuruh solat maghrib 3 rakaat dan bukannya 4 rakaat atau 2 rakaat. Diharap jawapanya dapat membantu lagi kita khyusuk di dalam solat. Terima kasih
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
(Surah al-Baqarah: 238)
Merujuk kepada dalil di atas, al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/212)
Solat merupakan rukun yang penting yang perlu dijaga. solat menjadi suatu kewajipan ke atas semua umat Islam tanpa mengira jantina, bangsa mahupun pangkat. Ini termasuk juga ke atas mereka yang tidak sihat ataupun mengalami kekurangan upaya dari segi fizikal. Firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
(Surah al-Baqarah: 43)
Dan firman Allah SWT lagi:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(Surah al-Nisa’: 103)
Kedua-dua ayat di atas merupakan antara dalil-dalil pensyariatan solat ke atas setiap orang Islam di atas muka bumi ini. Menunaikan solat merupakan kewajipan dan juga fardhu ‘ain ke atas semua orang Islam yang mukallaf iaitu individu muslim yang baligh berakal dan suci bersih. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/3)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan ibadat ini pada asalnya tawaquf sebagaimana kaedah menyebut:
الأَصْلُ فِي الْعِبَادَاتِ الْحَظَرُ أَوِ التَّوَقُّفُ
Maksudnya: “Asal pada ibadat adalah haram atau tawaqquf.” (Lihat Bidayah al-Qasid ila Ilm al-Maqasid, hlm. 118)
Maksud tawaqquf adalah terhenti kepada dalil. Maka, solat utamanya adalah apa yang diperintahkan syariat dan diriwayatkan daripada Malik bin al-Huwairith RA bahawa Nabi SAW bersabda:
وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: “Dan solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat.”
Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)
Imam al-Nawawi berkata: Hadith ini mengisyaratkan tuntutan agar mengerjakan ibadah mengikut cara bagaimana Rasulullah SAW ajarkan dan juga praktikkan. (Lihat al-Majmu‘, 4/521)
Imam al-Nawawi juga berkata: Ibadah semuanya sudah tentu mempunyai banyak makna. Ini kerana Syara’ tidak perintahkan sesuatu dengan main-main atau secara gurauan. Makna ibadat kadang-kadang difahami oleh mukallaf dan kadang-kadang tidak difahami. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 341)
Daripada Aisyah R.Anha, isteri Nabi SAW bahawa beliau berkata:
فُرِضَتِ الصَّلاَةُ رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ فِي الْحَضَرِ وَالسَّفَرِ فَأُقِرَّتْ صَلاَةُ السَّفَرِ وَزِيدَ فِي صَلاَةِ الْحَضَرِ
Maksudnya: “Difardhukan solat pada peringkat awalnya, dua rakaat-dua rakaat pada masa bermukim atau bermusafir. Kemudian, diiqrarkan dan dipersetujukan solat musafir dengan dua rakaat dan ditambah pada solat mukim.”
Riwayat al-Bukhari (350) dan Muslim (685)
Hal ini kerana kefardhuan solat oleh Allah kepada Rasul-Nya dengan lima solat pada malam Isra’ di mana Jibril datang turun menemui Nabi SAW berhampiran Ka’bah. Ketika itu, solat hanya dua rakaat-dua rakaat. Justeru ditambah solat ketika mukim dengan dua rakaat akan dua rakaat lagi, yang dikehendaki dengan maksud solat yang mempunyai empat rakaat secara khusus. (Lihat Fath al-Bari, 2/327)
Justeru, dalam isu ini kami katakan adakalanya kita dapat memahami hikmah disebalik syariat dan ada yang kita tidak dapat memahami melainkan Allah SWT. Ada pandangan ulama yang mengatakan bilangan solat ini kerana mengikut solat nabi-nabi terdahulu, namun itu hanya sekadar pandangan. Apa yang paling penting adalah kita dengar dan taat dengan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya.
Ini kerana, ia bersifat perkara tauqifiyyah dan ta’abbudiyyah yang tidak mungkin bagi akal dan mantiq untuk memahami dengan sebenarnya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)