#5124: Mengimarahkan Surau di Tempat Tinggal atau ke Masjid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya tinggal di sebuah pangsapuri yang kecil sekitar 120 unit. Penduduknya berbilang kaum dan jumlah orang Muslim adalah sangat rendah. Di pangsapuri tersebut ada sebuah surau yang diselenggara oleh JMB (badan pengurusan bersama) tetapi jarang digunakan oleh penduduk di situ dan masjid yang terdekat adalah kira-kira 10 minit dengan menaiki kereta. Soalan saya, apakah keutamaan saya sebagai penduduk di situ, sama ada saya perlu mengimarahkan surau pangsapuri tersebut dengan solat Isyak atau ke masjid sahaja? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.”

(Surah al-Taubah: 18)

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. (Lihat Aisar al-Tafasir, 2/66). Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9).

Selain itu, terdapat kelebihan-kelebihan besar yang tertentu buat mereka yang solat secara berjemaah. Nabi SAW bersabda:

صَلاةُ الجَماعَةِ تَفْضُلُ صَلاةَ الفَذِّ بسَبْعٍ وعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah itu lebih baik (afdhal) daripada solat secara bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda.”

Riwayat al-Bukhari (645)

Bahkan Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff telah menyenaraikan beberapa faedah solat berjemaah, di antaranya:

  • Bebas dan selamat daripada api neraka
  • Selamat daripada sifat orang Munafik.
  • Solat diterima.
  • Mendapat keampunan daripada dosa.
  • Ganjaran pahala yang besar.
  • Menghilangkan penyakit waswas dan dipelihara daripada syaitan. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 289-290).

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa mengimarahkan dan menghidupkan surau terutamanya di kawasan tempat tinggal kita dengan solat berjemaah, majlis-majlis zikir, pengajian dan kuliah-kuliah agama serta sebagainya adalah amat penting kerana ia termasuk dalam syiar agama kita, di samping menjadi dakwah. Dalilnya adalah sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.”

(Surah al-Taubah: 18)

Lebih-lebih lagi, kami melihat keperluan untuk menghidupkan surau di kawasan tempat tinggal (pangsapuri) itu adalah lebih utama dan perlu diberi penekanan disebabkan oleh  jumlah penduduk Muslim di situ adalah sangat rendah. Atas dasar itu, maka tidak syak lagi akan keutamaan menghidupkan surau di kawasan tempat tinggal berbanding pergi ke masjid yang kebiasaannya jemaahnya sudah ramai dengan program-program masjid yang pelbagai. Ini adalah lebih baik.

Hal ini adalah jelas sebagaimana disebutkan oleh Ibn Qudamah berkenaan keperluan untuk menghidupkan masjid atau surau yang lebih memerlukan. Beliau menyebutkan, sekiranya sekitar tempatnya atau di tempat yang lain terdapat masjid yang tidak mempunyai jamaah melainkan dengan kehadirannya maka hadirnya ke tempat itu lebih utama. Ini bertujuan mengimarahkan dan mendirikan jamaah di dalamnya. (Lihat al-Mughni, 2/132).

Kami juga mencadangkan, di antara langkah awal yang boleh diambil bagi menghidupkan dan mengimarahkan surau kawasan tempat tinggal adalah dengan menubuhkan ahli jawatankuasa surau. Langkah awal mungkin saudara yang bertanya boleh mengajak sahabat-sahabat yang lain untuk sama-sama mengimarahkan dan menghidupkan surau itu. Lalu berusahalah semampu mungkin untuk menghidupkan surau kerana ia adalah syiar agama kita dan sebagai dakwah sebagaimana yang kami telah nyatakan sebelum ini. Pada masa yang sama, saudara yang bertanya dan beberapa rakan boleh berbincang dengan pihak atau wakil JMB mengenai kerjasama yang dapat dilakukan bagi merancakkan lagi pengimarahan surau tersebut.

Kemudian, setelah surau itu hidup dan sudah ramai orang hadir, maka bolehkah jika sebahagian jemaah hendak pergi ke masjid dan sebahagian lagi solat di surau berkenaan. Apa yang penting, kita mahupun surau itu hidup dan terus diimarahkan. Inilah yang lebih baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”