#513 Adab Semasa Dan Selepas Nikah

Soalan

Apakah adab dan sunnah semasa dan selepas akad nikah?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan. [1]

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah Al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Ia juga dapat dilihat pada sabda Nabi Muhammad SAW:

يا مَعْشَرَ الشَّبابِ، مَنِ اسْتَطاعَ مِنكُمُ الباءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فإنَّه أغَضُّ لِلْبَصَرِ وأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، ومَن لَمْ يَسْتَطِعْ فَعليه بالصَّوْمِ فإنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ.

Maksudnya: “…Wahai para pemuda, barangsiapa diantara kalian yang mampu untuk berkeluarga, maka berkahwinlah, kerana sesungguhnya ia dapat menahan pandangan (dari melihat sesuatu yang terlarang) dan memelihara kemaluan dan barang siapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu menjadi penawar baginya.

 Riwayat al-Bukhari (5066) Muslim (1400)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Akad nikah merupakan ikatan syarie antara pasangan suami dan isteri. Dengan hanya akad dan kalimah yang ringkas ini, telah mengubah berbagai macam hukum antara pasangan tersebut. Allah SWT menyebutnya sebagai “ ميثاقاً غليظاً” yang bermaksud ikatan yang kuat sebagaimana firman-Nya:

وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا

Maksudnya: “Mereka (para wanita itu) telah mengambil perjanjian yang kuat dari kamu.”

(Surah al-Nisa’: 21)

Dengan akad nikah, pasangan ini telah mengikat sebuah perjanjian, persepakatan untuk membina rumah tangga. Antara adab dan sunnah semasa dan selepas akad nikah:

  1. Hindari perkara yang membolehkan tidak sahnya akad nikah, iaitu dengan memastikan kedua pasangan saling meredhai dan tidak ada unsur paksaan. Selain itu, perlu dipastikan bahawa akad nikah tersebut cukup rukun nikahnya seperti adanya wali pihak wanita, dan saksi dua orang yang amanah. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa beliau berkata:

لَا نِكَاحَ إِلَّا بِشَاهِدَيْ عَدْلٍ وَوَلِيٍّ مُرْشِدٍ

Maksudnya: Tidak sah nikah melainkan ada dua orang saksi yang adil dan wali mursyid (adil).

Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra, (7/126)

  1. Dianjurkan untuk menyebutkan mahar ketika akad nikah.

Anjuran ini bertujuan agar menghindari perselisihan dan masalah selanjutnya. Dan lebih baik lagi, mahar diserahkan ketika majlis akad. Meskipun ulama sepakat, akad nikah tanpa menyebut mahar, maka statusnya adalah sah.

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah  (39/151), dinayatakan bahawa:

أَنَّ ذِكْرَ الْمَهْرِ فِي الْعَقْدِ لَيْسَ شَرْطًا لِصِحَّةِ النِّكَاحِ فَيَجُوزُ إِخْلاَءُ النِّكَاحِ عَنْ تَسْمِيَتِهِ بِاتِّفَاقِ الْفُقَهَاءِ

Maksudnya: Menyebutkan mahar ketika akad bukanlah syarat sah nikah. Justeru, dibolehkan nikah tanpa menyebut mahar dengan sepakat ulama.

Namun sekiranya, menyebut jumlah mahar dalam akad nikah akan memberikan kejelasan dan makluman kepada kedua belah pihak, terutama kaum keluarga, maka perkara itu dibenarkan.

  1. Doa selepas akad nikah.

Disunnahkan bagi siapapun yang hadir bertemu pengantin, untuk mendoakan pengantin. Di antara lafaz doa yang dianjurkan adalah

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الْخَيْرِ

Maksudnya: Semoga Allah memberkahimu di waktu senang dan memberkahimu di waktu susah, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan.”

Dinyatakan dalam hadith dari Abu Hurairah RA:

 أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَفَّأَ الإِنْسَانَ إِذَا تَزَوَّجَ، قَالَ: بَارَكَ اللَّهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الخَيْرِ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW apabila hendak memberikan ucapan selamat kepada orang yang menikah, baginda mendoakan: Semoga Allah memberkatimu dan menetapkan berkat atasmu, serta mengumpulkan engkau berdua dalam kebaikan.

Riwayat Abu Dawud (2130), dan al-Tirmidzi (1091)

Daripada Aisyah R.anha, katanya:

تَزَوَّجَنِي النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم   فَأَتَتْنِي أُمِّي فَأَدْخَلَتْنِي الدَّارَ فَإِذَا نِسْوَةٌ مِنَ الْأَنْصَارِ فِي الْبَيْتِ فَقُلْنَ عَلَى الْخَيْرِ وَالْبَرَكَةِ وَعَلَى خَيْرِ طَائِرٍ

Maksudnya: Nabi SAW menikahiku, kemudian ibuku mendatangiku dan mengajakku masuk ke dalam rumah. Di dalamnya terdapat ramai wanita Ansar. Mereka semua mendoakan kebaikan, keberkatan “Semoga kamu makmur dan berkat serta mendapat pertanda baik.

Riwayat al-Bukhari (5156)

  1. Sunat hukumnya mendoakan isteri  yang baru dinikahi dengan doa sambil meletakkan tangan di atas ubun-ubun isteri:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْ

Maksudnya: Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu kebaikan isteriku ini yang Engkau telah ciptakan atasnya, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang Engkau telah ciptakan atasnya.

Riwayat Abu Dawud (2160), Ibn Majah (2252,1918)

  1. Solat sunat pengantin juga digalakkan melakukannya berdasarkan amalan para sahabat.

Seorang lelaki datang bertemu Abdullah bin Mas’ud R.Anhuma  dan berkata: Sesungguhnya aku telah berkahwin dengan seorang perempuan dara tetapi aku amat takut kalau-kalau dia membenci aku. Maka Abdullah bin Mas’ud berkata: Sesungguhnya kemesraan itu datangnya daripada Allah, dan kebencian itu datang daripada Syaitan, kerana Syaitan itu akan mendatangkan benci pada apa yang Allah halalkan, maka ketika kamu mendatangi isteri kamu, arahkan dia untuk bersolat di belakang kamu (yakni jadi makmum) sebanyak dua rakaat.

Abdullah Ibn Mas`ud juga mengajarkan doa:

اللَّهُمَّ، بَارِكْ لِي فِي أَهْلِي، وَبَارِكْ لَهُمْ فِيَّ، اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي مِنْهُمْ، وَارْزُقْهُمْ مِنِّي، اللَّهُمَّ، اجْمَعْ بَيْنَنَا مَا جَمَعْتَ إِلَى خَيْرٍ، وَفَرِّقْ بَيْنَنَا إِذَا فَرَّقْتَ إِلَى خَيْرٍ

Maksudnya: Ya Allah! Berkatilah diriku dengan apa yang ada pada keluargaku, dan berkatilah keluargaku dengan apa yang ada pada diriku. Ya Allah! Rezekikanlah aku daripada apa yang ada pada keluargaku, den rezekikanlah mereka daripada apa yang ada padaku. Ya Allah! Satukanlah antara kami dengan pertemuan ke arah kebaikan, dan, jika engkau takdirkan perpisahan, pisahkanlah kami (juga) ke arah kebaikan.”

Riwayat Abd al-Razzaq di dalam Musannafnya (10460) , al-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (8993).

Ulama juga menyebut  adab solat sunat ini dilaksanakan di tempat tertutup supaya terjaga aurat isteri. Manakala, upacara membatalkan air sembahyang bukanlah tuntutan syarak melainkan hanyalah adat semata-mata.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman dan taufiq untuk terus mengamalkan sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 17 Februari 2022 bersamaan 15 Rejab 1443H

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=nikah