Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, adakah para sukarelawan dan golongan doktor yang membantu di Palestin yang mati dibunuh oleh zionis juga dianggap sebagai mati syahid? Mohon pencerahan. Terima kasih.
adibun98@gmail.com
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَقُولُوا لِمَن يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتٌ ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu ialah orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”
(Surah al-Baqarah: 154)
Ayat di atas merupakan peringatan kepada orang yang beriman agar jangan mengatakan mereka yang telah terbunuh pada jalan Allah — kerana membela agama-Nya — ialah orang-orang yang mati — yakni tiada apa-apa nilai. Bahkan mereka itu ialah orang-orang yang hidup dengan keadaan hidup yang istimewa — yakni secara khusus — di dalam kubur-kubur mereka, yang mana tidak diketahui bagaimana hidupnya itu melainkan oleh Allah SWT. Akan tetapi kamu juga tidak dapat menyedarinya. Ini adalah dalil yang menunjukkan kepada wujudnya nikmat di dalam kubur. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 24).
Begitu juga firman Allah SWT:
وَلَا تَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ قُتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمْوَٰتًۢا ۚ بَلْ أَحْيَآءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ ١٦٩ فَرِحِينَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِ
Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki (169); (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka.”
(Surah Ali ‘Imran: 169-170)
Ibn Kathir berkata, para syuhada’ yang gugur di jalan Allah SWT, mereka ini hidup di sisi-Nya. Dan mereka gembira dengan kenikmatan dan keuntungan yang mereka kecapi, serta menyampaikan khabar gembira kepada saudara-saudara mereka yang gugur di jalan Allah SWT selepas mereka, bahawa mereka ini telah mendahului saudara mereka, tidak takut dengan apa yang dihadapan mereka (musuh), dan tidak bersedih mengenangkan apa yang mereka tinggalkan di belakang mereka (dunia). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/144)
Imam al-Baghawi pula ketika menafsirkan ayat 172 dari Surah Ali Imran ini dalam tafsirnya, Tafsir al-Baghawi (2/135), beliau membawakan sebuah hadith riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
تَكَفَّلَ اللَّهُ لِمَنْ جَاهَدَ فِي سَبِيلِهِ، لاَ يُخْرِجُهُ مِنْ بَيْتِهِ إِلَّا الجِهَادُ فِي سَبِيلِهِ وَتَصْدِيقُ كَلِمَتِهِ، أَنْ يُدْخِلَهُ الجَنَّةَ، أَوْ يَرُدَّهُ إِلَى مَسْكَنِهِ بِمَا نَالَ مِنْ أَجْرٍ أَوْ غَنِيمَةٍ
Maksudnya: “Allah memberi jaminan terhadap orang yang berjihad di jalan-Nya, yang mana tidak ada yang mengeluarkannya daripada rumahnya kecuali jihad di jalan-Nya dan membenarkan kalimat-Nya, bahawa Allah akan memasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya ke tempatnya dengan memperolehi ganjaran (pahala) atau harta rampasan perang.”
Riwayat al-Bukhari (7463) dan Muslim (1876)
Begitu juga tidak ada selain daripada Allah SWT yang lebih menyempurnakan janji-Nya. Benarlah firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”
(Surah al-Taubah: 111)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, di sana terdapat riwayat Sa‘id bin Zaid R.A, katanya: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:
مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia mati syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya, maka dia mati syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya, maka dia mati syahid. Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan dirinya, maka dia mati syahid.”
Riwayat Ahmad (1652); Abu Daud (4772); al-Nasa’i (4095) dan al-Tirmizi (1421). Imam Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih.
Menurut al-Mulla Ali al-Qari, lafaz “دُونَ دِينِهِ” merujuk kepada orang yang terbunuh di hadapan (kerana) agamanya atau ketika memelihara agamanya, maka dia dikira sebagai syahid. Hal ini hanya dapat digambarkan apabila pihak yang berlawanan dengannya terdiri daripada kalangan orang kafir atau ahli bidaah yang memesongkan dalam agamanya atau menghinanya, sedangkan dia ingin mempertahankan agamanya dan membina penghalang antara dirinya dan orang tersebut seperti mana seorang penjaga yang mempertahankan kebenarannya. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 6/2305)
Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa para sukarelawan dan golongan doktor Muslim yang membantu di Palestin yang mati dibunuh oleh zionis juga dianggap sebagai mati syahid berdasarkan kepada nas dan hadith di atas. Begitu juga kerana mereka terbunuh dalam suasana peperangan di sana di mana peperangan tersebut bertujuan menegakkan dan meninggikan kalimah Allah SWT, di samping melawan kezaliman dan genosid (genocide).[1] Sementelahan lagi, tugas mereka sangat penting dalam merawat orang yang susah dan orang yang cedera, menyampaikan bekalan dan bantuan seperti bantuan makanan, ubat-ubatan dan seumpamanya, menyampaikan berita dan maklumat terkini yang tepat lagi sahih, dan lain-lain lagi.
Selain itu juga, kurniaan gelaran syahid kepada mereka ini sebenarnya dianugerahkan sendiri oleh Rasulullah SAW berdasarkan riwayat yang sahih. Namun, hakikatnya hanya Allah SWT jualah yang Maha Mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid ataupun sebaliknya. Oleh itu, kita mendoakan dan mengharapkan ganjaran syahid kepada orang yang mati dalam keadaan syahid seperti mana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW tanpa kita menetapkannya secara qat‘i dan kita bersangka baik dengannya. Terdapat riwayat daripada Sahl bin Hunaif bahawa Nabi SAW bersabda:
مَن سَأَلَ اللَّهَ الشَّهادَةَ بصِدْقٍ، بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنازِلَ الشُّهَداءِ، وإنْ ماتَ على فِراشِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang memohon kepada Allah SWT mati syahid dengan sebenar-benar pengharapan, Allah SWT akan mengurniakannya kedudukan para syuhada’ sekalipun dia mati di atas katilnya (tempat tidur).”
Riwayat Muslim (1909)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Nota kaki:
[1] Genosid ialah pembunuhan (penghapusan) secara sengaja sesuatu bangsa atau kaum. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=genosid. Diakses pada 14 Disember 2023).