Soalan
Adakah dibolehkan menjual barangan melebihi harga modal?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Al-bai’ (jual beli) dari segi bahasa ialah pertukaran sesuatu dengan sesuatu, sama ada kedua-duanya dalam bentuk harta atau pun tidak. Al-Bai’ dan al-Syira’ dalam bahasa Arab boleh digunakan untuk makna jual dan juga beli. Maksudnya, kedua-dua istilah ini boleh digunakan untuk merujuk kepada makna yang sama.
Menurut istilah fuqaha’: Jual beli ialah akad yang merujuk kepada pertukaran sesuatu harta dengan harta yang lain bagi tujuan pemilikan yang kekal.[1] Maksudnya, dalam akad tersebut mestilah wujud pertukaran harta untuk tujuan pemilikan.
Jual beli juga mesti membabitkan sesuatu yang syara’ menilainya sebagai harta. Jual beli ini juga perlu membabitkan pemilikan dan penyerahan hak dan tidak boleh ditetapkan untuk tempoh tertentu sahaja. Semua perkara ini akan dibincangkan secara terperinci dalam perbincangan seterusnya.
Firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
(Surah al-Baqarah (275)
Al-Baidhawi di dalam tafsirnya menyebutkan: Ayat ini menjadi dalil kepada keharusan berjual beli dan larangan melakukan riba. Beliau juga mengatakan bahawa ayat ini juga mengingkari perbuatan menyamakan jual beli bersama riba. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 1/162])
Pada dasarnya, jual beli adalah harus juga berdasarkan kepada kaedah fiqh dalam muamalat iaitu:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut). (Lihat al-Asybah wa al-Nazhoir, hlm.60)
Syariah Islam meraikan keperluan umat untuk berekonomi dalam muamalat mereka sehari-hari. Membeli barang modal dengan harga yang lebih murah daripada harga jualan untuk mendapatkan untung bukanlah satu bentuk kezaliman bahkan itulah takrif bagi bagi tijarah atau jual beli:
عِبَارَة عَن شَرَاءِ شَيْء لبَيع بِالربح
Maksudnya: Suatu ibarat berkenaan membeli sesuatu dengan tujuan menjualnya (semula) untuk mendapatkan keuntungan. ( Lihat al-Ta`rifat (1/56) oleh Imam al-Jurjani)
Jual beli ini diharuskan tanpa kemakruhan. Dalilnya firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.
( Surah al-Nisa: 29)
Imam al-Qurtubi menjelaskan perkataan (الْبَاطِل) batil juga boleh memberi maksud “Memakan atau mengambil sesuatu harta tanpa bayaran atau pampasan atau bukan atas jalan hibah dan hadiah. Batil juga boleh dimaksudkan kepada sesuatu yang bukan hak.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 5/150)
Berdasarkan persoalan di atas, adalah dibolehkan menjual barang melebihi harga modal. Hal ini kerana ia merupakan tujuan jualan itu dilakukan, iaitu untuk mendapatkan keuntunganan. Ini dikuatkan dengan dua fakta daripada perbuatan daripada sahabat Rasulullah SAW:
- Daripada `Urwah Ibn al-Ja`d al-Bariqi RA, bahawa beliau pernah diberi satu dinar oleh Rasulullah SAW untuk membeli seekor kambing. `Urwah kemudiannya berjaya membeli dua ekor kambing, dan menjual salah satunya dengan satu dinar, menjadikan keuntungan yang diperolehi adalah 100%! Apabila diserahkan, Baginda gembira dan mendoakan beliau dengan keberkatan. Berkat doa itu, beliau apabila berniaga di pasar, boleh menjana keuntungan sehingga 40,000 dinar. (Lihat Sahih al-Bukhari, hadith no. 3642)
- Al-Zubair bin al-`Awwam RA pernah membeli sebidang tanah di hutan dengan harga 170,000 dirham, kemudian anaknya Abdullah RA menjualnya selepas kematian al-Zubair dengan harga 1,600,000 dirham. Jumlah itu adalah 9 kali ganda. (Lihat Sahih al-Bukhari, hadith no. 3129)
Justeru, jelaslah, untung daripada usaha itu, jika datang daripada sumber yang halal dan tatacara yang halal, maka inshaAllah akan menjadi rezeki halal, diberkati dan diredhai.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa diharuskan untuk menjual barang modal dengan harga yang lebih tinggi untuk mendapatkan keuntungan. Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 17 Februari 2022 bersamaan 15 Rejab 1443H
[1] Dinyatakan di sini beberapa pendapat ulama’ tentang definisi jual beli:
- Mazhab Hanafi mendefinisikan: Jual beli ialah pertukaran suatu harta dengan harta mengikut cara yang tertentu.
- Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ mendefinisikan: Jual beli (al-Bai’) sebagai menukar harta dengan harta untuk memberi milik.
- Ibn Qudamah dalam al-Mughni mendefinisikan: Jual beli sebagai menukarkan harta dengan harta atas dasar memberi milik dan menerima milik.