Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah status hadis yang menyatakan bahawa terdapat satu zikir yang siapa membacanya dia telah memenatkan 70 malaikat untuk mencatat amalannya selama 1000 pagi. Adakah kita boleh beramal dengan hadis tersebut mohon penjelasan, terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Imam al-Tabarani meriwayatkan dengan sanadnya: Telah menyampaikan kepada kami Ahmad bin Risydin, katanya: Telah menyampaikan kepada kami Hani’ bin al-Mutawakkil, katanya: Telah menyampaikan kepada kami Mu’awiyah bin Soleh, daripada Ja’far bin Muhammad, daripada Ikrimah, daripada Ibn Abbas, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَالَ: جَزَى اللَّهُ عَنَّا مُحَمَّدًا بِمَا هُوَ أَهْلُهُ، أَتْعَبَ سَبْعِينَ كَاتِبًا أَلْفَ صَبَاحٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang mengucapkan: ‘Semoga Allah memberi ganjaran kepada kami dan Muhammad dengan ganjaran yang selayaknya’, maka dia telah memenatkan 70 malaikat selama seribu pagi.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (235):
Hadith ini turut diriwayatkan oleh al-Tabarani juga dalam al-Mu’jam al-Kabir (11509), Ibn Syahin dalam al-Targhib fi al-Fadhail (15), Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (3938) dan dalam Akhbar Asbahan (1589, 1819), al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (4441), kesemuanya daripada jalur Hani’ bin al-Mutawakkil, daripada Muawiyah bin Soleh, daripada Ja’far bin Muhammad daripada ‘Ikrimah daripada Ibn ‘Abbas.
Imam al-Tabarani selepas meriwayatkan hadith ini menyatakan:
لَمْ يَرْوِ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ عِكْرِمَةَ إِلَّا جَعْفَرُ بْنُ مُحَمَّدٍ، وَلَا عَنْ جَعْفَرِ إِلَّا مُعَاوِيَةُ بْنُ صَالِحٍ، تَفَرَّدَ بِهِ: هَانِئُ بْنُ الْمُتَوَكِّلِ
Maksudnya: Hadith ini tidak diriwayatkan melalui Ikrimah kecuali oleh Ja’far bin Muhammad, dan tidak pula melalui Ja’far kecuali oleh Mu’awiyah bin Soleh. Hani’ bin al-Mutawakkil adalah satu-satunya yang meriwayatkannya secara bersendiri. (Lihat al-Mu’jam al-Ausat, 1/82)
Abu Nu’aim pula menyatakan:
هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ مِنْ حَدِيثِ عِكْرِمَةَ وَجَعْفَرٍ وَمُعَاوِيَةَ، تَفَرَّدَ بِهِ هَانِي بْنُ الْمُتَوَكِّلِ الْإِسْكَنْدَرَانِيُّ
Maksudnya: Hadith ini gharib daripada hadith ‘Ikrimah, Ja’far dan Muawiyah. Hani’ bin al-Mutawakkil al-Iskandarani telah bersendirian dalam meriwayatkannya. (Lihat Hilyah al-Auliya’ wa Tabaqat al-Asfiya’, 3/206)
Justeru, madar hadith ini berpusat pada Hani’ bin al-Mutawakkil. Pandangan Ulama’ Jarh wa Ta’dil terhadapnya:
- Abu Hatim al-Razi berkata: “Aku bertemu dengannya (iaitu Hani’) tetapi aku tidak mendengar hadith daripadanya. (Lihat al-Jarh wa al-Ta’dil oleh Ibn Abi Hatim, 9/102)
- Ibn Hajar menukilkan Abu Hatim berkata: Aku bertemu dengannya tetapi tidak menulis hadis daripadanya.
- Ibn Hibban menyatakan bahawa dia banyak meriwayatkan riwayat munkar, dan tidak boleh berhujah dengannya. (Lihat Lisan al-Mizan, 6/186)
Syeikh Nasiruddin al-Albani menyebutkan hadith ini dalam al-Silsilah al-Dha’ifah (5109) dan menyatakan bahawa ia adalah hadith ini adalah munkar.
Hadith ini juga diriwayatkan daripada Jalur lain sebagaimana yang diriwayatkan, Muhammad bin Khalaf Waqi’ dalam Akhbar al-Qudah (3/273), dan Qawam al-Sunnah dalam al-Targhib wa al-Tarhib (2/331) melalui Ja’far bin ‘Isa al-Hasani al-Qadi, yang mengatakan: “Rasyid bin Sa’id telah menceritakan kepada kami daripada Mu’awiyah bin Soleh dengan sanadnya.
Namun begitu, sanad hadith ini juga mempunyai sanadnya yang sangat lemah (واه), Ja’far bin Isa dinilai oleh Abu Hatim sebagai Jahmi yang dhaif. Abu Zur’ah pula menganggapnya sebagai Saduq (صدوق). (Lihat Mizan al-I’tidal, 1/413)
Imam al-Zahabi juga menyebutnya sebagai dhaif dalam kitabnya al-Dhu’afa’ (1/133)
Rasyid bin Sa’id dikatakan oleh Ibn Ma’in: “Hadithnya tidak memiliki apa-apa” (lihat Tarikh Yahya bin Ma’in, riwayat Ibn Muhriz, 1/51)
Justeru, hadith ini sanadnya sangat lemah dalam kedua jalurnya dan tidak dapat diterima sebagai hadith daripada perkataan Nabi Muhammad SAW.
Kesimpulan
Hadith ini disebut oleh Syeikh Masyhur bin Hasan al-Salman dalam kitab himpunan hadith-hadith lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah Mujarradah ‘an al-Takhrij (hlm. 1515, hadith no. 7709) yang mana hadith ini dinilai sebagai munkar.
Justeru, hadith ini adalah dhaif jiddan kerana Hani’ seorang tersangat lemah dan bersendirian pula meriwayatkan hadith ini. Hadith ini juga tidak boleh dijadikan sebagai fadhail al-A’mal kerana ia terlalu lemah, dan bukannya dhaif yang ringan.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”