#5147: Baca Teks Khutbah Di Telefon Semasa Khatib Menyampaikan Khutbah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan berkenaan hukum seseorang jemaah membaca teks khutbah Jumaat melalui telefon sambil mendengar khatib membaca khutbah tersebut. Adakah perkara itu disamakan dengan perbuatan mensia-siakan atau dibolehkan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),

(Surah al-Jumu’ah: 9)

Menurut Syeikh al-Sa’di, ayat ini mengajar kita bahawa Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya yang beriman supaya bersegera hadir ke masjid untuk solat Jumaat sejurus azan dikumandangkan, dan menjadikan solat Jumaat itu sebagai keutamaan dan urusan yang paling utama. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/863)

Fuqaha’ telah menggariskan beberapa adab yang sepatutnya dijaga oleh para jemaah semasa khatib sedang menyampaikan khutbah, agar pahala Jumaat tidak menjadi sia-sia. Antara adab-adab tersebut adalah:

  • Tidak Bercakap-cakap

Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadith, riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: Diam dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).”

Riwayat al-Bukhari (934)

  • Tidak Bermain dengan Perkara yang Melalaikan

Kebanyakan masjid di Malaysia sudah mula memberikan pesanan ini kepada para jemaah, agar tidak bermain dengan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan. Nasihat ini hakikatnya menyerupai dengan nasihat yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang memegang (bermain) batu maka sesungguhnya dia telah lagha.”

Riwayat Muslim (857)

Dan di dalam riwayat lain daripada ‘Ali R.A, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ لَغَا فَلَيْسَ لَهُ فِي جُمُعَتِهِ تِلْكَ شَيْءٌ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang lagha maka dia tidak mendapat bahagiannya daripada Jumaatnya itu.”

Riwayat Abu Daud (1051)

  • Mendengar Pengisian yang Disampaikan

Antara pengisian khutbah yang disampaikan oleh khatib pasti terkandung selitan ayat al-Quran sebagai hujjah dan dalil untuk maklumat yang disampaikan khatib. Maka hendaklah jemaah diam dan dengar pengisian tersebut, sekurang-kurangnya sebagai suatu bentuk penghormatan terhadap ayat Allah SWT yang dibacakan dan agar memperoleh rahmat-Nya.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-A‘raf: 204)

  • Menghadap Khatib yang Menyampaikan Khutbah

Disunnatkan juga bagi jemaah untuk menghadap khatib yang sedang menyampaikan khutbahnya. Syeikh Zakariyya al-Ansari mengatakan, disunatkan bagi orang yang mendengar khutbah dan selain mereka untuk menghadap wajah-wajah mereka ke arah khatib kerana ia merupakan adab, dalam masa yang sama mereka akan menghadap kiblat. (Lihat Asna al-Matalib, 1/258)

Apabila meneliti adab-adab yang dinyatakan ini, kami ingin menekankan pada noktah kedua yang melarang kita dari bermain dengan perkara yang melalaikan. Dalam hadith Saidina ‘Ali R.A di atas, Rasulullah SAW bukanlah mengkhususkan batu semata-mata, bahkan larangan Baginda itu bersifat umum pada hakikatnya, iaitu larangan memgang (bermain) dengan batu dan selainnya dari apa sahaja yang perkara yang melalaikan ketika khutbah. Dan dalam hadith ini juga terdapat isyarat agar dihadirkan hati dan juga anggota tubuh (memberikan sepenuh perhatian) kepada khutbah yang disampaikan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/147)

Imam al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan, larangan bermain dengan batu ini kerana ia boleh menyibukkan seseorang itu, menyebabkan dia berbuat lagha dan hilangnya tumpuan dari mendengar khutbah pada setiap isi yang disampaikan. (Lihat Ikmal al-Mu‘lim, 3/253)

Telefon bimbit juga termasuk dalam salah satu objek yang boleh melalaikan hati serta anggota tubuh kita dari terus fokus kepada khutbah yang sedang disampaikan. Hal yang demikian kerana, teknologi moden pada masa kini tidak hanya menghadkan penggunaan telefon bimbit untuk membaca semata-mata, bahkan terdapat perkara lain seperti WhatsApp, Instagram, dan lain-lain yang boleh mengalihkan perhatian seseorang dari teks khutbah tersebut.

Kami katakan, sebaiknya saudara tidak menyibukkan diri dengan membaca teks khutbah semasa khutbah sedang disampaikan oleh khatib yang bertugas, kerana membaca teks tersebut merupakan tugasan yang telah ditaklifkan kepada khatib. Adapun peranan makmum adalah mendengar dengan tekun serta menghayati isi khutbah yang cuba disampaikan, mengambil manfaat dari konten khutbah tersebut, seterusnya memanfaatkan dan mengaplikasikannya setelah selesai solat Jumaat.

Mungkin sebahagian pihak akan menjustifikasikan tindakan membaca teks di dalam telefon semasa khutbah sedang disampaikan ini, dengan alasan bahawa mereka khuatir akan terlepas isi-isi penting yang cuba disampaikan. Maka dengan itu, kami mencadangkan agar teks tersebut dibaca semula di rumah, dan dikongsikan manfaat yang didapati bersama ahli keluarga yang mungkin tidak turut sama hadir dalam solat Jumaat. Hal ini lebih baik berbanding mengalihkan tumpuan semasa khutbah sedang disampaikan.

Kami menasihatkan kepada masyarakat muslim, terutamanya kaum lelaki, agar memberikan tumpuan dalam khutbah yang disampaikan oleh khatib yang bertugas dan tidak memberikan sebarang alasan untuk menyibukkan diri dengan perkara lain. Hal ini bagi memastikan ganjaran pahala kita di hari Jumaat yang mulia tidak menjadi sia-sia. Alangkah ruginya jika kita terlanjur berbuat perkara lagha di hari Jumaat, sedangkan Allah SWT menjanjikan pahala yang melimpah ruah pada hari tersebut.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam