Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekiranya seorang lelaki (belum berkahwin) melakukan zina dengan pasangannya, namun dalam masa yang sama, dia melakukan perbuatan tersebut kepada wanita lain. Adakah lelaki itu perlu bertanggungjawab ke atas kedua-dua wanita tersebut? Dan sekiranya lelaki tersebut hanya bertanggungjawab ke atas pasangannya namun tidak pada wanita lain itu, adakah dikira menganiaya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Isra’: 32)
Ibn Kathir berkata, Allah SWT melarang para hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/72)
Perzinaan merupakan suatu yang sangat keji, kerana ia adalah punca-punca, nasab (keturunan) menjadi kacau-bilau dan manusia saling bunuh-membunuh, sembelih-menyembelih, kerana mempertahankan kehormatan. Perzinaan juga merupakan cara yang buruk jika ditinjau dari segi menyamakan antara manusia dan binatang, iaitu tidak menjodohkan antara yang betina dengan yang jantan secara khusus. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3941-3942)
Kami nyatakan di sini beberapa mudarat zina dan ancamannya. Syeikh al-Maraghi berkata: Sesungguhnya berzina itu nyata keburukannya, bahkan mengandungi pelbagai kerosakan. Antara yang terpenting ialah:
- Percampuran dan keturunan yang porak-peranda. Apabila seseorang lelaki berasa ragu-ragu mengenai anak yang dilahirkan oleh seorang pelacur perempuan, apakah bayi itu anaknya atau anak orang lain, maka lelaki tidak akan mendidiknya, bahkan seterusnya tidak mahu mengurusnya. Hal itu akan menyebabkan keturunan manusia menjadi sia-sia dan dunia akan hancur.
- Perzinaan sebenarnya membuka pintu huru-hara dan kegoncangan dalam kalangan sesama manusia kerana manusia tetap mempertahankan kehormatan. Berapa banyak peristiwa pembunuhan yang timbul kerana keinginan berzina, sehingga sewaktu kita mendengar sesuatu peristiwa pembunuhan, maka orang akan terus mengatakan, “Periksalah dahulu latar belakang perempuan yang terlibat!”
- Wanita yang sudah terkenal dan masyhur sebagai pelacur akan dipandang kotor oleh setiap lelaki yang waras sehingga tidak akan berlaku kemesraan antara perempuan seperti itu dengan suaminya. Dengan demikian, ketenteraman dan keserasian yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai kasih dan sayang antara sesama manusia tidak akan tercapai.
- Tujuan kaum perempuan dicipta bukan sekadar pelampias syahwat semata-mata. Akan tetapi, ia dijadikan sebagai sekutu bagi kaum lelaki dalam mengatur urusan rumah tangga dan mempersiapkan tugas-tugasnya seperti makanan, minuman dan pakaian. Kaum perempuan juga menjadi penjaga dan pengurus anak-anak dan sekaligus menjadi pembantu suami. Tugas ini tidak akan dilaksanakan dengan sempurna kecuali apabila wanita itu menjadi rakan (pasangan) yang khusus bagi seorang lelaki sahaja, bukan untuk lelaki-lelaki yang lain.
Dalam erti kala yang lain, perzinaan merupakan suatu yang sangat keji, kerana ia adalah punca-punca, nasab (keturunan) menjadi kacau-bilau dan manusia saling bunuh-membunuh, sembelih-menyembelih, kerana mempertahankan kehormatan. Perzinaan juga merupakan cara yang buruk jika ditinjau dari segi menyamakan antara manusia dan binatang, iaitu tidak menjodohkan antara yang betina dengan yang jantan secara khusus (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3941-3942).
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan zina merupakan salah satu dosa besar. Maka, menjadi tanggungjawab lelaki tersebut untuk bertanggungjawab ke atas kedua-dua wanita tersebut. Kami juga nasihatkan agar perkara ini di bawa berbincang bersama meskipun pahit, kerana ia melibatkan maruah yang telah tergadai. Bak kata pepatah, “Nasi telah menjadi bubur.”
Justeru, sebagai lelaki yang bermaruah dan bertanggungjawab, sewajarnya untuknya bertanggungjawab ke atas kedua wanita tersebut.
Antara perkara yang utama dan penting adalah, hendaklah dia bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha kerana dosa zina termasuk dalam dosa-dosa besar yang wajib dijauhi. Gantikan amalan buruk dengan amalan soleh dengan sebanyak-banyaknya seperti solat dan solat sunat, zikrullah, sedekah dan pelbagai amalan yang baik yang lain.
Sebagai renungan bersama, bagaimana Rasulullah SAW telah menasihatkan seorang pemuda, kami mengambil sebuah hadith Nabi SAW, seperti riwayat Abu Umamah al-Bahili, katanya:
إنَّ فَتًى شابًّا أتى النَّبيَّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ فقال: يا رسولَ اللهِ، ائْذَنْ لي بالزِّنا، فأقبَلَ القَومُ عليه فزَجَروه وقالوا: مَهْ، مَهْ! فقال: ادْنُهْ، فدَنا منه قَريبًا، قال: فجَلَسَ، قال: أتُحِبُّه لأُمِّكَ؟ قال: لا واللهِ، جَعَلَني اللهُ فِداءَكَ، قال: ولا النّاسُ يُحِبُّونَه لأُمَّهاتِهم، قال: أفتُحِبُّه لابنتِكَ؟ قال: لا واللهِ، يا رسولَ اللهِ، جَعَلَني اللهُ فِداءَكَ، قال: ولا النّاسُ يُحِبُّونَه لبَناتِهم
Maksudnya: Sesungguhnya seorang pemuda telah datang menemui Nabi SAW seraya berkata: Ya Rasulullah, izinkan bagiku berzina. Maka orang ramai pergi ke arahnya dan mencelanya seraya berkata: Cukup! Cukup! Lantas sabda Rasulullah SAW: Dekatkanlah dia kepadaku. Apabila dia datang mendekati Rasulullah SAW seraya berkata duduk. Rasulullah SAW berkata: “Adakah kamu menyukai berzina dengan ibumu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, sudah tentu aku tidak merelakannya.” Nabi SAW bersabda: “Orang-orang juga tidak menyukai kamu berzina dengan ibu-ibu mereka.” Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu menyukai berzina dengan anak perempuanmu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, sudah tentu aku tidak merelakannya.” Nabi SAW bersabda: “Orang-orang juga tidak menyukai kamu berzina dengan anak perempuan mereka.”
Riwayat Tabarani (7679)
Justeru, dapat kita fahami setiap orang sudah pasti menyayangi keluarganya. Oleh itu, bagaimana kita menjaga dan menyayangi keluarga kita, begitu juga orang lain yang menyayangi keluarga mereka.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen. Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”
Wallahu a‘lam