#5152: Zakat Untuk Muallaf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Salah seorang yang layak menerima zakat adalah muallaf. Tetapi sekiranya mualaf itu seorang yang berharta, adakah dia layak menerima zakat atas alasan dia seorang muallaf?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱلْعَـٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَـٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةًۭ مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dilunakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Taubah: 60)

Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ (orang-orang yang dilunakkan hatinya) antaranya adalah mereka yang diberikan zakat kepada mereka agar hati mereka menjadi lunak dan memeluk agama Islam. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/146)

Ini seperti mana yang diriwayatkan daripada Safwan bin Umayyah R.A katanya:

أَعْطَانِي رَسُولُ اللهِ ﷺ يَوْمَ حُنَيْنَ، وَإِنَّهُ لَأَبْغَضُ النَّاسِ إِلَيَّ، فَمَا زَالَ يُعْطِينِي حَتَّى صَارَ وَإِنَّهُ لَأَحَبُّ النَّاسِ إِلَيَّ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah memberikanku (zakat) selepas perang Hunain, dan ketika itu Baginda adalah orang yang paling aku benci. Baginda terus-menerus memberikanku sehinggalah Baginda menjadi orang yang paling aku cintai.”

Riwayat Muslim (2313), al-Tirmizi (666) dan Ahmad (27638)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyatakan, (ٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ) ialah mereka yang baru memeluk agama Islam. Diharap dengan pemberian zakat, akan menguatkan pegangan mereka kepada agama Islam. Begitu juga orang Islam yang terkenal dan berkedudukan tinggi di kalangan kaum mereka. Mudah-mudahan zakat yang diberikan, dapat menarik minat golongan mereka kepada Islam.

Seterusnya, orang Islam yang berada di tempat yang berbahaya untuk melindungi orang lain daripada serangan orang kafir dan keganasan puak pelampau atau yang bertugas memungut zakat daripada penduduk yang tidak dapat dihantarkan amil kepada mereka. Mereka semua diberikan bahagian zakat sekiranya orang Islam memerlukan mereka. Jika tidak, mereka tidak perlu diberikan apa-apa pun.  (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/61)

Rasulullah SAW juga pernah memberikan sebahagian dari harta rampasan peperangan Hunain kepada muallaf Quraisy yang memeluk Islam pada hari pembukaan Kota Makkah. Kisah ini diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A, katanya:

لَمَّا أَفَاءَ اللهُ عَلَى رَسُولِهِ ﷺ يَوْمَ حُنَيْنٍ، قَسَمَ فِي النَّاسِ فِي المُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ

Maksudnya: “Ketika Allah memberikan rasul-Nya harta rampasan perang dalam peperangan Hunain. Baginda membahagikan kepada orang yang baru memeluk Islam.”

Riwayat al-Bukhari (3150) dan Muslim (1062)

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, (المُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ) dalam hadith ini adalah orang Quraisy yang memeluk Islam pada hari pembukaan Kota Makkah, tetapi keislaman mereka lemah. Dikatakan juga, di antara mereka itu terdapat beberapa orang yang belum memeluk agama Islam, seperti Safwan bin Umayyah.

Adapun (المُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ) yang dimaksudkan dalam firman Allah SWT dalam masalah zakat pula terdapat beberapa ta’wilan:

  • Dikatakan, mereka adalah golongan kafir yang diberikan zakat sebagai galakan untuk memeluk agama Islam.
  • Dikatakan juga, mereka adalah orang-orang Islam yang mempunyai pengikut dari kalangan orang bukan Islam, agar hati mereka itu menjadi lunak untuk memeluk Islam.
  • Dan dikatakan, mereka adalah orang yang baru memeluk Islam, diberikan zakat agar keislamannya menjadi lebih kuat. Dan maksud inilah yang dikehendaki dalam hadith di atas. (Lihat Fath al-Bari, 8/48)

Melihat kepada perbahasan ini, kami katakan bahawa meskipun seseorang muallaf itu berharta atau tidak, cukup sekadar statusnya yang masih di awal keislaman sebagai keharusan menerima zakat. Cara untuk mengenal pasti seseorang itu masih berada di awal keislamannya berbeza mengikut Majlis Agama Islam setiap negeri. Sebahagian negeri tidak menetapkan tempoh yang tertentu, sebaliknya mengembalikan masalah ini kepada uruf setempat, seperti Negeri Sembilan, dan inilah kesimpulan yang dibuat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada tahun 2005.[1] Ada juga negeri yang menetapkan tempoh sekadar 3 tahun sahaja, seperti negeri Terengganu.[2] Dan ada negeri yang menetapkan tempoh muallaf selama 5 tahun sahaja, seperti negeri Melaka.[3] Dan ada juga negeri yang menetapkan tempoh selama 10 tahun, seperti negeri Johor.[4]

Adapun selepas tamat tempoh yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa negeri itu, statusnya akan berubah sama seperti orang Islam yang lain. Sekiranya dia seorang yang fakir dan miskin, maka dia kayak menerima zakat kerana sebab yang tersebut.

Ini menggambarkan kepada kita betapa indahnya Islam itu sehingga meraikan saudara baru kita yang baru sahaja mula mengenal agama yang benar ini. Pemberian zakat tersebut bertujuan sebagai galakan untuk mereka lebih terpaut hatinya kepada Islam. Pemberian ini penting kerana kebiasaannya muallaf akan diminta oleh Majlis Agama Islam Negeri untuk menghadiri beberapa program untuk satu tempoh masa yang tertentu sebagai pemantapan agama buat mereka. Ini pastinya memerlukan masa yang banyak, dan terkadang memerlukan mereka untuk menumpukan masa kepada program yang ditetapkan. Maka serba sedikit pemberian zakat ini dapat membantu mereka memenuhi segala ketetapan ini.

Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan kefahaman yang baik kepada kita berkenaan zakat kepada golongan muallaf. Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”

Wallahu a‘lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15572. Diakses pada 14 December 2023.

[2] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/11553. Diakses pada 14 December 2023.

[3] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10956. Diakses pada 14 December 2023.

[4] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15872. Diakses pada 14 December 2023.