#5156: Solat Asar Lagi Sekali Meskipun Sudah Dijamakkan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya sudah solat jamak dan qasar untuk Zuhur dan Asar dalam waktu Zuhur. Bolehkan saya solat berjemaah untuk solat Asar sedangkan saya sudah jamak solat asar tadi dalam waktu zuhur? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat secara jamak mahupun secara qasar termasuk dalam bentuk rukhsah atau kemudahan yang diberikan kepada orang yang bermusafir ketika bersolat. Justeru, dia boleh melakukan solat yang 4 rakaat, iaitu Zuhur, Asar dan Isyak dengan 2 rakaat sahaja. Begitu juga dia boleh menghimpunkan (secara jamak) dua solat ketika menunaikannya iaitu antara solat Zuhur dan Asar dan antara solat Maghrib dan Isyak. Di antara dalil disyariatkan qasar ialah firman Allah SWT:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya:Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.

(Surah al-Nisa’: 101)

Manakala di antara dalil disyariatkan jamak pula adalah berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.

Riwayat al-Bukhari (1107)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa dibolehkan bagi seseorang yang sudah mendirikan solat fardhu Asar secara jamak dalam waktu Zuhur, untuk mendirikan sekali lagi solat Asar secara berjemaah dalam waktunya. Solatnya yang pertama menjadi wajib, manakala solatnya yang kedua dianggap sunat.

Perkara ini termasuk di bawah perbincangan berkaitan mengulangi solat fardhu yang telah didirikan. Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, pengulangan solat fardhu bagi mendapat pahala berjemaah atau membantu orang lain mendapatkan pahala solat berjemaah, hukumnya adalah sunat. Begitu juga perbuatan ‘iadah (mengulangi) solat merujuk kepada perbuatan seseorang yang melaksanakan satu solat daripada solat-solat fardhu, kemudian dia merasakan bahawa terdapatnya kekurangan atau kecacatan di dalam solat tersebut dari sudut adab-adab atau pelengkap solat (yakni bukan pada perkara yang membatalkan solat), kemudian dia mengulanginya semula dalam bentuk yang tidak terdapatnya kekurangan atau kecacatan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/110).

Tidak dapat dinafikan bahawa pada asalnya, seseorang itu tidak boleh menunaikan solat fardhu sebanyak dua kali bagi satu waktu tanpa sebarang keperluan dan ia dihukumkan sebagai makruh. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

لَا تُصَلُّوا صَلَاةً فِي يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ

Maksudnya: “Janganlah kamu solat fardhu sebanyak dua kali dalam sehari.

Riwayat Abu Daud (579) dan al-Nasa’i (860)

Penjelasan berkenaan hukum makruh mengulangi solat fardhu tanpa sebarang sebab ini juga telah diterangkan oleh Imam Ahmad, Ishaq bin Rahawaih dan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Sebaliknya, jika seseorang berhasrat untuk meraih ganjaran pahala jemaah, maka disunatkan baginya untuk mengulangi semula solat tersebut bersama jemaah yang didapatinya. Hal ini juga merupakan pendapat dalam mazhab Maliki dan Syafi‘i. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 2/202; al-Fatawa al-Kubra, 2/283; al-Mudawwanah al-Kubra, 1/179; Raudhah al-Talibin, 1/343).

Selain itu, al-Mawardi juga ada menyebutkan dalam kitabnya mengenai dua pendapat ulama mazhab Syafi‘i iaitu sesiapa yang telah menunaikan solat fardhu sama ada secara berjemaah atau berseorangan. Kemudian, dia melihat solat fardhu tersebut ada jemaah yang sedang mengerjakannya. Maka, disunatkan ke atasnya untuk solat bersama mereka, walau apa jenis solat (fardhu) pun. Ini merupakan pendapat Ali bin Abu Talib, Huzaifah, Sa‘id bin al-Musayyib dan Sa‘id bin Jubair. Ini juga adalah pendapat yang dipilih oleh al-Mawardi. Manakala sebahagian yang lain membezakan antara solat fardhu yang pertama, telah didirikan secara berseorangan atau berjemaah. Sekiranya telah didirikan secara berjemaah, makruh hukumnya mengulangi solat fardhu Subuh dan Asar. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/195).

Seterusnya, terdapat beberapa nas yang boleh dijadikan sandaran berkenaan isu ini. Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan oleh Yazid bin al-Aswad R.A, beliau berkata:

شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلاَةَ الْفَجْرِ فِي مَسْجِدِ الْخَيْفِ فَلَمَّا قَضَى صَلاَتَهُ إِذَا هُوَ بِرَجُلَيْنِ فِي آخِرِ الْقَوْمِ لَمْ يُصَلِّيَا مَعَهُ قَالَ: عَلَىَّ بِهِمَا ‏فَأُتِيَ بِهِمَا تُرْعَدُ فَرَائِصُهُمَا فَقَالَ: مَا مَنَعَكُمَا أَنْ تُصَلِّيَا مَعَنَا؟ ‏قَالاَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا قَدْ صَلَّيْنَا فِي رِحَالِنَا قَالَ: فَلاَ تَفْعَلاَ إِذَا صَلَّيْتُمَا فِي رِحَالِكُمَا ثُمَّ أَتَيْتُمَا مَسْجِدَ جَمَاعَةٍ فَصَلِّيَا مَعَهُمْ فَإِنَّهَا لَكُمَا نَافِلَةٌ

Maksudnya: “Aku menghadiri solat Subuh bersama Rasulullah SAW di Masjid al-Khaif. Apabila baginda selesai mendirikan solat maka baginda mendapati ada dua orang lelaki di hujung jemaah yang tidak turut serta bersolat bersama Baginda. Baginda bersabda: ‘Bawakan mereka berdua kepadaku.’ Lalu dibawakan mereka berdua dalam keadaan mereka ketakutan. Kemudian Baginda bersabda: ‘Apa yang menghalang kamu berdua untuk ikut solat bersama kami?’ Mereka berdua menjawab: ‘Wahai Rasulullah, kami telah solat di tempat permusafiran kami.’ Baginda bersabda: ‘Janganlah kamu berdua buat begitu. Apabila kamu berdua telah melaksanakan solat di rumah kamu, kemudian kamu berdua datang ke masjid yang ada didirikan solat secara berjemaah, maka solatlah kamu berdua bersama mereka kerana ia adalah dianggap sebagai solat sunat buat kamu berdua.’

Riwayat al-Nasa’i (858)

Di samping itu, terdapat juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَبْصَرَ رَجُلا يُصَلِّي وَحْدَهُ فَقَالَ: أَلاَ رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ ‏‏

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melihat seorang lelaki solat secara bersendirian lalu Baginda bersabda: ‘Tidak adakah seseorang lelaki yang ingin bersedekah kepada si fulan ini lalu dia solat bersamanya?’

Riwayat Abu Daud (574)

Maka, dapat difahami daripada hadith di atas bahawa sekiranya seseorang itu masuk ke dalam masjid dan orang ramai telah selesai mendirikan solat, maka disunatkan sebahagian yang berada di situ untuk menunaikan solat bersama lelaki tersebut agar dia juga dapat memperoleh pahala solat berjemaah.

Selain itu, berdasarkan kepada beberapa riwayat itu juga, dapat difahami bahawa solah mu‘adah (الصَّلَاة الْمُعَادَة) atau mengulangi solat fardhu hendaklah dilakukan secara berjemaah. Bahkan sebahagian ulama berpendapat bahawa solat fardhu yang diulangi ini sama seperti solat Jumaat dari sudut tidak sah dilakukan secara bersendirian. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini bahawa sesungguhnya solat yang diulangi adalah sama seperti solat Jumaat dari sudut tidak sah dilakukan secara bersendirian, sebaliknya mesti adanya niat imam pada solat yang diulang — iaitu berjemaah. (Lihat al-Iqna‘, 1/165).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)