#5159: Melihat dan Menjilat Kemaluan Isteri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. apakah hukum melihat dan menjilat kemaluan isteri. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Melihat Kemaluan Pasangan Suami Isteri

Kami nukilkan di sini kesimpulan pandangan ulama empat mazhab berdasarkan kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (32/89):

“Hanafiyyah, Malikiyyah, Hanabilah berpendapat bahawa dibenarkan untuk setiap pasangan melihat alat sulit pasangannya secara mutlak, berdasarkan hadis Bahz bin Hakim daripada ayahynya daripada datuknya bahawa dia berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah! Aurat kami, apa yang boleh kami tunjuk dan apa yang kami perlu hindari? Sabda baginda:

احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلاَّ مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مِمَّا مَلَكَتْ يَمِينُكَ

Maksudnya: “Jagalah aurat kamu melainkan kepada pasangan kamu atau hamba yang kamu miliki.”

Riwayat Abu Dawud (4017), al-Tirmizi (2769), Ibn Majah (1920) dan Ahmad (20046). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya hasan dalam takrij al-Musnad.

Ini kerana faraj itu tempat berseronok secara seksual, maka diharuskan melihat kepadanya seperti badan.

Akan tetapi di sisi Hanafiyyah dan Hanabilah bahawa lebih utama secara adab untuk meninggalkan melihat kepada faraj, kerana sabda Nabi SAW:

إِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ أَهْلَهُ فَلْيَسْتَتِرْ وَلاَ يَتَجَرَّدْ تَجَرُّدَ الْعَيْرَيْنِ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu mendatangi isterinya hendaklah menutup badannya dan jangan bertelanjang seperti telanjangnya dua ekor keldai.”

Riwayat Ibn Majah (1921), al-Bazzar (1701), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (7/193). Hadith ini dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if Ibn Majah (376)

Dan berdasarkan hadith Aisyah RA:

مَا نَظَرْتُ – أَوْ مَا رَأَيْتُ – فَرْجَ رَسُولِ اللَّهِ ـ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ـ قَطُّ

Maksudnya: “Aku tidak pernah langsung melihat alat sulit Rasulullah SAW.”

Riwayat Ibn Majah (662), Ahmad (24344) dan al-Tirmizi dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah (360) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (13539). Hadith ini dinyatakan sebagai dha’if dalam Dha’if Ibn Majah (128).

Dalam lafaz lain:

مَا رَأَيْتُ مِنْهُ وَلاَ رَأَى مِنِّي

Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat alat sulit Rasulullah SAW dan baginda juga tidak pernah melihat alat sulitku.”

Riwayat Abu al-Syaikh al-Asbahani dalam Akhlaq al-Nabi (hlm. 251). Nas ini juga disebut di dalam beberapa kitab mazhab Syafie seperti Mughni al-Muhtaj (4/217). Ibn Hajar al-Asqalani mengomentar hadis ini dalam al-Kafi al-Syaf (2/92): Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Ya`la daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Aisyah RA berkata (dengan lafaz): ‘ما أتى رسول الله صلى الله عليه وسلم ولا رأه مني – نعني الفرج’ dengan sanad yang daif (lemah).

Syafieyyah berpendapat bahawa makruh melihat kepada alat sulit pasanganya dan alat sulit sendiri tanpa hajat, berdasarkan hadis Aisyah, dan bertambah kemakruhan itu pada melihat bahagian dalam faraj. Sebahagian Syafieyyah berpendapat bahawa tidak dimakruhkan semasa jima` tetapi harus.”

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum menjilat kemaluan isteri dan bermain dengan faraj isterinya adalah harus, serta bukan dengan cara-cara yang boleh merosakkan. Perkara ini disebut oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari, murid Imam Ibn Hajar al-Haitami:

يَجُوزُ لِلزَّوْجِ كُلُّ تُمَتَّعُ مِنْهَا بِمَا سِوَى حَلَقَةِ دُبُرِهَا وَلَوْ بِمَصِّ بَظَرِهِ

Maksudnya: “Diharuskan bagi seorang suami itu menikmati secara seksual akan tubuh isterinya, selain daripada lubang dubur (liwat), sekalipun dengan menghisap biji kelentitnya.” (Lihat Fath al-Mu`in, hlm. 482)

Kami juga nasihatkan agar segala aktiviti asmara ini hendaklah dilaksanakan dengan penuh adab dan penghormatan antara satu pasangan dengan yang lain. Keredaan dan keizinan pasangan itu penting untuk mencapai ketenteraman dan kepuasan yang diredhai Allah SWT. Oleh itu, Allah SWT berfirman:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Menurut al-Qurtubi dalam tafsirnya: “Yakni bergaul dengan mereka dengan baik pada apa yang diperintahkan Allah.”(Lihat Tafsir al-Qurtubi, 5/97)

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.