#5161: Penambahan Lafaz Niat Solat “Menghadap Kiblat.”

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan berkenaan dengan bacaan niat solat yang betul. Saya terbaca di ruangan komen negara seberang tentang niat bacaan solat. Sepengetahuan saya, bacaan yang selalu saya baca dimulai dengan (sebagai contoh) Usolli fardoz zuhri arba’a raka’atin ada’an lillahi taala. Akan tetapi berlainan dengan apa yang saya baca di mana ada bacaan muqtabilal qiblati (menghadap kiblat) di dalam bacaan niat solat. Ini berikutan tentang sebuah video di mana ada dua tiga orang pendaki yang sedang bersolat tetapi menghadap arah kiblat yang berlainan. Soalan saya, adakah ini benar dan wajib dilafazkan dalam niat solat, atau hanya jika kita tidak pasti mana arah kiblat (contoh ketika mendaki, atau di dalam kapal terbang). Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan niat. Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 1021). Manakala menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, niat ialah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. (Lihat Kemus Dewan Edisi Keempat, hlm.  1080).

Dari segi istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan. Antaranya ialah:

  • Al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310).
  • Ibn ‘Abidin pula menyebutkan bahawa niat ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105).

Berdasarkan kepada definisi di atas, kita dapat simpulkan bahawa niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara.

Pada asasnya, para ulama telah menyatakan ijma‘ mengenai kewajipan berniat dalam solat dan solat tidak sah tanpanya. Al-Khiraqi menyebutkan, apabila seseorang ingin mendirikan solat, maka bertakbirlah (yakni ucapkan Allahu Akbar) dan berniat ketika takbiratul ihram itu solat fardhu (yang ingin didirikan). Kami tidak mengetahui adanya perselisihan (khilaf) dalam umat mengenai kewajipan berniat untuk mendirikan solat, dan suatu solat tidak sah tanpanya. (Lihat Mukhtasar al-Khiraqi, hlm. 22).

Dalam erti kata lain, niat merupakan salah satu rukun solat. Niat ialah mengingati tujuan sesuatu perbuatan ketika mula melakukannya. Tempat niat ialah di dalam hati. Untuk menjadikan solat sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul Ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya. Sementara niat untuk bersolat pula tidak disyaratkan melafazkannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/129).

Adapun talaffuz atau melafazkan niat, jumhur fuqaha dalam kalangan ulama mazhab Hanafi, Syafi‘i, Hanbali bahawa perbuatan talaffuz atau melafazkan niat ini adalah digalakkan (sunat). Hal ini adalah untuk mengingatkan lisan hati, lalu menjadilah ia niat yang dihadirkan secara hakiki.[1]

Dinyatakan dalam Nihayah al-Muhtaj (1/457) daripada kitab ulama mazhab Syafi‘i bahawa niat itu tempatnya di dalam hati secara sepakat para ulama. Justeru, tidaklah cukup untuk sekadar melafazkannya sedangkan hatinya lalai daripadanya, dan hal ini adalah terpakai pada seluruh bab (ibadah). Begitu juga tidak memberi mudarat (kesan), jika seseorang itu melafazkan sesuatu berbeza dengan apa yang ada di dalam hatinya, seolah-olah dia meniatkan solat Zuhur tetapi lisannya melafazkan untuk solat Asar. Disunatkan juga untuk melafazkan niat (talaffuz) sejurus sebelum mengangkat takbir, bagi membantu lisan hati (untuk berniat) kerana ia jauh daripada waswas.

Sesungguhnya telah sabit berkenaan galakkan (sunat) untuk melafazkan niat bagi ibadah haji dengan bertalbiah, sebagaimana hadith Anas bin Malik R.A, katanya:

سمعت رسول اللهِ ﷺ يلبي بالحجِّ والعمرةِ جميعًا يقولُ: لَبَّيْكَ عُمْرَةً وَحَجًّا لَبَّيْكَ عُمْرَةً وَحَجًّا

Maksudnya:Aku mendengar Rasulullah SAW bertalbiah (melafazkan niat) untuk haji dan umrah secara sekali. Baginda mengucapkan, ‘لبيك عمرةً وحجًا’ (Kami menyahut panggilan-Mu untuk umrah dan haji), ‘لبيك عمرةً وحجًا’ (Kami menyahut panggilan-Mu untuk umrah dan haji).’

Riwayat al-Bukhari (4353); Muslim (1232); Abu Daud (1795) dan lafaz hadith daripadanya; al-Tirmizi (821); al-Nasa’i (2731); Ibn Majah (2969) dan Ahmad (12091)

Oleh sebab itu, sebahagian ulama mengqiaskan galakkan (sunat) melafazkan niat untuk berwuduk dan solat ke atas galakkan melafazkan niat bagi ibadah haji. Ibn Hajar al-Haitami ketika menjelaskan kenyataan Imam al-Nawawi yang menyatakan, “Disunatkan untuk melafazkan niat sejurus sebelum bertakbir,” menyebutkan ia adalah bagi membantu atau memudahkan lisan hati (untuk berniat), begitu juga sebagai jalan keluar daripada khilaf mereka yang mewajibkannya sekalipun pendapat tersebut adalah syaz. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/12).

Selain itu, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff juga ada menyebutkan bahawa kedudukan niat dalam solat ada tiga iaitu:

Pertamanya: Jika ia adalah solat fardhu, maka wajib berniat perbuatan, jenis solat dan fardhiyyah. Kemudian, beliau menjelaskan, berniat perbuatan bermaksud berniat perbuatan solat dengan bertakbir. Hal itu adalah dengan mengucapkan, “أُصَلِِّي”. Manakala fardhiyyah pula merujuk kepada menghadirkan dalam niat ia sebagai solat fardhu.

Keduanya: Jika ia adalah solat sunat yang sudah ditentukan waktunya (muaqqatah) seperti dhuha dan witir, atau solat sunat yang mempunyai sebab (zat sabab) seperti solat gerhana dan istisqa’, maka wajib berniat perbuatan dan jenis solat.

Ketiganya: Jika ia adalah solat sunat mutlak, maka wajib berniat perbuatan solat sahaja.

Selain daripada itu, Habib Hasan al-Kaff juga menyatakan, tidak wajib berniat dengan menyandarkan solat itu (dilakukan) kerana Allah SWT, niat menentukan bilangan rakaat, niat menghadap kiblat, niat ada’an (tunai) dan qadha’an (solat ganti), bahkan kesemua yang tadi itu adalah disunatkan (sahaja).

Begitu juga sekiranya orang yang bersolat itu menjadi makmum, maka wajib baginya untuk berniat jemaah, atau mengikut imam, atau menjadi makmum. Sekiranya dia tidak berniat (sedemikian), kemudian dia mengikuti pergerakan imam secara sengaja menunggunya (yakni untuk mengikut pergerakan imam) selama panjang kadar satu rukun, maka batallah solatnya, dan tidak wajib berniat (makmum) ketika takbiratul ihram. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, 1/209-210)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa perbuatan mengucapkan niat sebelum mengangkat takbir itu dipanggil sebagai talaffuz (melafazkan niat) dan ia dihukumkan sebagai sunat di sisi jumhur fuqaha. Sedangkan niat yang dimaksudkan ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara, dan tempatnya di dalam hati.

Justeru, bagi solat fardhu niat yang diwajibkan dalam hati cukup dengan hanya berniat perbuatan solat tersebut, jenis solat dan kefardhuannya. Adapun perkara yang selebihnya seperti bilangan rakaat, menyandarkan perbuatan solat kerana Allah SWT, menghadap kiblat dan lain-lain hanyalah sebagai pelengkap dan tidak diwajibkan, sebaliknya ia adalah disunatkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3636. Diakses pada 22 Mei 2023.