Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mengapakah umat Islam sibuk melancarkan boikot, mengumpul wang, berkempen dan bersolidariti apabila Palestin ditimpa malang, tetapi malang yang lebih teruk berlaku di Rakhine, di Yaman, di Syria kurang mendapat perhatian?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab persoalan saudara ini, kami katakan bahawa isu Paletin ini melibatkan saudara seislam kita yang ditimpa genosid. Genosid ini menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud pembunuhan atau penghapusan secara sengaja ke atas sesuatu bangsa atau kaum. Hal ini bukanlah perkara remeh yang boleh diambil ringan oleh umat Islam dunia, sebaliknya ia merupakan satu bentuk pembantaian manusia tanpa sifat berperikemanusiaan yang seakan tidak diambil peduli olah kuasa-kuasa besar dunia.
Perkara ini amatlah meruntun hati kita, apabila melihat anak-anak kecil dibom dan dibunuh secara terbuka, ibu dan pemudi-pemudi dicabul maruah mereka serta diseksa oleh golongan Zionist, pemuda-pemuda ditangkap dan dijatuhkan maruah mereka secara terang-terangan di dalam kaca-kaca television. Dan lebih hina lagi, perkara ini kesemuanya dianggap sebagai hak mempertahankan diri. Tidaklah seorang yang beriman itu apabila dia melihat peristiwa begini, melainkan dia akan berusaha dengan sehabis kudratnya untuk membantu rakyat Palestin yang sehingga kini ditimpa musibah. Rasulullah SAW menyifatkan orang-orang beriman itu ibarat satu jasad, yang merasa sakit apabila salah satu anggota badan ditimpa sakit. Ini seperti mana dalam riwayat al-Nu‘man bin Basyir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَرَى المُؤْمِنِينَ فِي تَرَاحُمِهِمْ وَتَوَادِّهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ، كَمَثَلِ الجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى عُضْوًا تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ جَسَدِهِ بِالسَّهَرِ وَالحُمَّى
Maksudnya: “Engkau melihat (keadaan) orang-orang mukmin itu saling kasih-mengasihani, cinta-mencintai, dan saling tolong-menolong seperti satu jasad, jika ada (walau) satu anggota badan yang sakit, nescaya seluruh anggota badan yang lain akan ikut merasakannya dengan tidak dapat tidur dan demam.”
Riwayat al-Bukhari (6011) dan Muslim (2586)
Dan telah datang dalam sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَـفْسِهِ
Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu selagi mana dia tidak menyukai untuk saudaranya apa yang disukai untuk dirinya.”
Riwayat al-Bukhari (13) dan Muslim (45)
Bahkan kenyataan yang saudara katakan itu disangkal kebenarannya. Sebaliknya umat Islam, khususnya di Malaysia, sehingga kini giat melancarkan pelbagai saluran dan tabung-tabung sumbangan bagi membantu saudara-saudara kita yang ditimpa kesusahan di Yaman, Syria, dan selainnya. Terdapat pelbagai usaha yang dilakukan oleh banyak NGO di luar sana dalam bentuk penulisan serta video, yang bertujuan untuk memberikan kesedaran dan membuka mata umat Islam tentang keadaan yang sedang ditimpa oleh orang-orang Islam di negara-negara ini.
Orang islam di Malaysia juga melihat kepada isu yang bersifat semasa. Sejarah membuktikan bahawa umat Islam Malaysia turut memerhatikan isu negara lain yang ditindas dan sukar meniti kehidupan, termasuklah bencana alam. Saudara boleh merujuk beberapa artikel yang kami keluarkan sebagai bentuk usaha menyebarkan kesedaran kepada masyarakat Islam akan keadaan saudara kita di Turki, Syria, Morocco, Libya dan sebagainya. Kami lampirkan bersama pautan artikel-artikel tersebut:
- Al-Mawaqif Siri ke-16: Bantuan kepada Turkiye dan Syria
- Al-Mawaqif Siri ke-36: Beberapa Catatan Tentang Gempa Bumi Morocco
- Al-Mawaqif Siri ke-37: Renungan di Sebalik Musibah Banjir Libya
Berdasarkan kepada dapatan kami sepanjang melakukan beberapa pertemuan dengan organisasi-organisasi yang terlibat dengan aktiviti kemanusiaan di negara-negara Islam yang ditimpa musibah, kami dapati bahawa pihak NGO ini tidak menang tangan untuk menghulurkan bantuan bagi mereka yang memerlukan. Maka kita sebagai sebuah negara yang mempunyai peratusan majoriti masyarakat Islam perlu memainkan peranan penting dalam mengangkat masalah ini ke muka pengadilan dunia, agar dapat membuka mata negara-negara lain tentang isu ini. Allah SWT berfirman:
وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Bagaimanakah cara yang dapat kita lakukan sebagai masyarakat awam? Dengan menganjurkan apa sahaja yang dapat melemahkan kuasa golongan Zionist dari terus-menerus melakukan pembantaian ke atas rakyat Palestin. Antara cara tersebut adalah dengan memboikot syarikat-syarikat yang secara jelas menzahirkan kerjasama mereka untuk membekalkan sumber kewangan dan selainnya kepada Zionist. Begitu juga dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan serta sumbangan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang ditimpa musibah ini. Tidakkah kita merenung sabda Rasulullah SAW seperti dalam riwayat Abu Sa‘id al Khudri R.A:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”
Riwayat Muslim (78)
Keutamaan solidariti diberikan kepada Palestin bukanlah bermakna negara-negara Islam lain dianaktirikan dan diketepikan begitu sahaja, tanpa diambil peduli lagi. Sebaliknya, isu yang sedang berlaku di Gaza – Palestin ini, dengan kadar kepayahan dan kematian yang amat terdesak serta mencabar. Dengan itu mereka lebih didahulukan berbanding yang lain. Sementelahan lagi, Bait al-Maqdis juga merupakan kiblat pertama umat Islam, dan ia juga merupakan tempat persinggahan Rasulullah SAW sebelum meneruskan perjalanan Baginda SAW untuk mikraj ke atas langit bertemu dengan Allah SWT. Maka kita sebagai umat Islam perlu mempertahankan kesucian masjid ini agar ianya tidak dicemari oleh tangan-tangan musuh Islam.
Semoga pencerahan ini dapat membuka mata hati umat Islam di Malaysia khususnya, agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi mengapa pentingnya kita memberikan keutamaan kepada isu Palestin pada masa kini. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Wallahu a‘lam