#5165: Baca al-Fatihah dalam Solat dengan Berbisik

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya ingin bertanyakan soalan, adakah sah membaca Al Fatihah ketika solat secara suara angin atau suara berbisik tetapi dengar di telinga, dan apakah hukum tidak menegur makmum di sebelah saya yang membaca Al Fatihah secara berbisik? Terima Kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bacaan al-fatihah ketika solat adalah termasuk di antara rukun qauli (ucapan/perkataan) yang mana jika kita meninggalkannya maka tidak sah solat kita. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Samit R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tiada solat bagi siapa yang tidak membaca al-Fatihah.”

Riwayat al-Bukhari (756) dan Muslim (394)

Hendaklah bacaan al-fatihah itu dibaca dengan lisan iaitu dituturkan melalui lidah, bukannya di dalam hati. Kata Imam al Syafi’e Rahimahullah :

وَلَا يُجْزِئُ الرَّجُل أَنْ يحْرِمَ لِلصَّلَاة بِقَلْبِهِ ، وَلَا يَقْرَأ بِقَلْبِهِ حَتَّى يُحَرِّكَ لِسَانَهُ

Maksudnya: Tidak sah bagi seorang lelaki mengangkat takbiratul ihram untuk solat melalui hatinya, dan tidak sah pula dia membaca (al-fatihah) melalui hatinya sehinggalah dia menggerakkan lidahnya. (Lihat Mukhtasar al Buwaithi, hlm. 244).

Pandangan Imam al-Syafi’i ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Ma‘mar: aku bertanya kepada Khabbab:

أَكَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الظُّهْرِ وَالعَصْرِ؟ قَالَ: نَعَمْ، قُلْنَا: مِنْ أَيْنَ عَلِمْتَ؟ قَالَ: بِاضْطِرَابِ لِحْيَتِهِ.

Maksudnya: “Adakah Rasulullah SAW membaca (al-Fatihah) dalam (solat) Zohor dan Asar?” Katanya: “Ya.” Kami berkata: “Bagaimanakah kamu mengetahuinya?” Katanya: “Dengan gerakan janggut Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (777)

Dalam menjawab persoalan di atas, perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mengenai isu ini masyhur, iaitu: Adakah solat ini disyaratkan bacaannya untuk didengar oleh orang yang menunaikannya sendiri, ataukah cukupkah dengan menggerakkan lidah dan bibir, serta mengeluarkan huruf-huruf dari tempat keluarnya?. Dalam hal ini, terdapat dua pendapat:

Pendapat pertama: Sebahagian besar ulama’ berpendapat bahawa adalah wajib bagi orang yang menunaikan solat untuk mendengar suara bacaan itu dengan dirinya sendiri sahaja.

Ibnu Qudamah berkata: “Adalah wajib bagi orang yang menunaikan solat mendengar sendiri takbir, sama ada sebagai imam atau bukan, kecuali jika ada halangan atau sesuatu yang menghalang pendengaran, maka hendaklah dia mendatangkan dengannya sehingga dia mendengar atau tidak ada halangan untuk dia mendengarkannya. Hal ini kerana dia menyebut tempat keluarnya lidah, dan bukanlah ucapan sekiranya ia tanpa suara. Suara ialah apa yang boleh didengar, dan orang yang paling dekat mendengarnya adalah dirinya sendiri. Jika dia sendiri tidak mendengarnya, dia tidak akan tahu bahawa dia telah mengucapkannya. Tidak ada perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam hal ini seperti yang telah kita sebutkan. (Lihat al-Mughni, 2/128)

Imam al-Nawawi berkata: “Syarat yang paling minimum dalam menyembunyikan bacaannya dalam solat sirr adalah dirinya sendiri mendengar bacaannya jika pendengaran betul-betul baik dan tidak ada gangguan seperti kebisingan dan sebagainya. Ini berlaku umum dalam bacaan al-Quran, takbir, tasbih dalam rukuk, dan selainnya, serta dalam tashahhud, salam, dan doa, sama ada ia wajib atau sunat. Tidak ada sesuatu yang dianggap sah daripada tindakan tersebut kecuali jika seseorang mendengar bacaan itu dengan diri sendiri dengan pendengaran yang baik dan tidak ada gangguan.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/295)

Pendapat Kedua: Pendapat dalam mazhab Maliki pula adalah cukup dengan menggerakkan lidah dan bibir serta mengeluarkan huruf-huruf daripada tempat keluarnya huruf tanpa perlu mendengar suara sendiri. Pendapat ini juga dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah.

Al-Khurasyi menyatakan: Membaca al-Fatihah adalah dengan menggerakkan lidah, baik sebagai imam atau solat bersendirian, dan bukan sebagai makmum. Ini berlaku jika dia mendengar suaranya sendiri, tetapi bahkan jika dia tidak mendengar suaranya sendiri, itu cukup dalam melakukan kewajiban. (Lihat Syarh al-Khurasyi ‘ala Mukhtasar al-Khalil, 1/269)

Al-Hattab menyatakan bahawa Ibn Naji menyatakan dalam Syarh al-Risalah: Ketahui bahawa yang paling rendah tingkatannya adalah dengan menggerakkan lidahnya dengan membaca (al-Fatihah), dan yang tertinggi tingkatannya adalah dia hanya mendengar suaranya sendiri. Yang paling rendah tingkatannya dalam solat jahar adalah dia mendengar suaranya sendiri dan orang yang mengikutinya, dan yang tertinggi tidak ada batasnya. (Lihat Mawahib al-Jalil Syarh Mukhtasar al-Khalil, 1/525)

Al-Mardawi berkata: Berkaitan dengan “القراءة بقدر ما يسمع نفسه” iaitu membaca adalah dengan sekadar yang dia dengar sendiri,” ini bermaksud bahawa wajib bagi orang yang solat untuk membaca bacaan dalam solat sirr, dalam takbir dan seumpamanya dengan kadar sejauh yang dia dengar sendiri. Ini adalah mazhab yang paling kuat dan dipegang oleh ramai dan majoriti ulama’. Syeikh Taqiy al-Din Ibn Taymiyyah memilih untuk cukup dengan mengeluarkan huruf-huruf tanpa perlu mendengarnya, dan dia menyebutkannya sebagai pandangan yang lebih kuat dalam mazhab tersebut. Aku berkata: dan ini lebih cenderung ke arah pendapat yang benar. (Lihat al-Insaf fi Ma’rifah al-Rajih min al-Khilaf, 2/44)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin menyatakan: “Sekiranya kita menyatakan bahawa sesungguhnya perkataan itu dengan lidah, adakah disyaratkan ia didengari diri sendiri? Di sini, terdapat perbezaan di antara para ulama. Ada yang mengatakan bahawa suaranya mesti didengari oleh dirinya sendiri, ini adalah pendapat dalam mazhab Hanbali, bahkan jika yang di sebelahnya tidak mendengarnya. Bahkan, dirinya sendiri mesti mendengarnya. Jika dia mengucapkan tanpa dirinya sendiri mendengar, maka ia tidak dinamakan dengan membaca dan mengucapkan. Namun, pandangan ini lemah, dan yang benar adalah bahawa tidak diwajibkan diri sendiri mendengar, kerana mendengar merupakan tambahan daripada perkataan dan ucapan. Apa pun yang menjadi tambahan daripada apa yang disebutkan dalam Sunnah, maka pada orang yang mendakwa itu mestilah memberikan dalil. Oleh kerana itu, jika seseorang yakin bahawa huruf-huruf keluar daripada tempat keluarnya iaitu makhrajnya walaupun dia dirinya sendiri tidak mendengarnya, sama ada kerana kelemahan pendengarannya atau kerana suara-suara di sekitarnya atau sebab lainnya, maka yang pendapat yang lebih kuat rajih adalah bahawa semua pandangan yang telah disebutkan adalah dapat diterima, dan tidak diwajibkan lebih dari apa yang telah diindikasikan oleh nas, iaitu perkataan.” (Lihat Syarh al-Mumti’, 3/20-21)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kedua-dua pendapat mempunyai hujjah yang kuat, bahkan pendapat yang menyatakan bahawa dengan menggerakkan lidah dan mengeluarkan huruf daripada tempat makhrajnya walaupun tidak dengari olehnya adalah pendapat yang kuat juga. Oleh itu, dalam bab ini, ia merupakan keluasan dalam fiqh, namun pendapat yang kuat dan lebih berhati-hati adalah dengan membaca bacaan dalam solat sehingga didengari oleh dirinya sendiri kerana keluar daripada khilaf adalah mustahab dan digalakkan.

Justeru, dalam permasalah ini, sebaiknya pada bacaan al-Fatihah dan selainya adalah dibaca dengan jelas melalui lidah sebatas pendengaran kita, dan tidak pula sehingga ke tahap mengganggu makmum yang bersebelahan. Berkenaan dengan persoalan saudara berkaitakan “apakah hukum tidak menegur makmum di sebelah saya yang membaca Al Fatihah secara berbisik?”, perlu difahami bahawa perkara ini merupakan khilaf yang muktabar dalam kalangan ulama’, boleh jadi mereka yang membaca secara berbisik ini mengambil pendapat yang kedua yang hujjahnya juga kuat dalam permasalahan ini. Maka kita perlulah berlapang dada dalam perkara ini.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)