#517 Poligami & Hak Isteri Untuk Tidak Bersetuju

Soalan

Adakah berpoligami itu sunnah? Bolehkah isteri menyuarakan ketidaksetujuan atas keputusan suami untuk berpoligami?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Ulama mendefinisikan sunnah sebagai: Apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada jenis perkataan, perbuatan, iqrar (persetujuan) dan sifat, sama ada berbentuk akhlaq ataupun fizikal.” (Lihat Ulum al-Hadith wa Nusus min al-Athar, 1/31)

Manakala setiap hukum itu perlu dilihat daripada aspek sebab dan illahnya. Kaedah mengatakan:

أَحْكَام الشَّارع مُعللة بِالْأَسْبَابِ مرتبطَة بِالْمصَالِح

Maksudnya: Hukum-hukum syarak itu diillahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahat-maslahat.

Hal ini menunjukkan bahawa tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ia sebagai sunnah atau tidak semata-mata. Sebaliknya perlu dilihat  kepada maslahat perkara tersebut.

Poligami sebenarnya telah berlaku sejak zaman berzaman sehinggakan pada zaman jahiliyah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ غَيْلَانَ بْنَ سَلَمَةَ الثَّقَفِيَّ أَسْلَمَ وَلَهُ عَشْرُ نِسْوَةٍ فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَأَسْلَمْنَ مَعَهُ فَأَمَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَتَخَيَّرَ أَرْبَعًا مِنْهُنَّ .

Maksudnya: Sesungguhnya Ghailan bin Salamah al-Tsaqafi masuk Islam, sedangkan dia mempunyai sepuluh orang isteri pada zaman jahiliyah, lalu mereka juga masuk Islam bersamanya, kemudian Nabi SAW memerintahkan Ghailan untuk memilih (mempertahankan) empat di antara mereka.

Riwayat al-Tirmidzi (1128)

Hadith di atas, menceritakan tentang Ghailan al-Tsaqafi yang mana sebelum masuk Islam mempunyai sepuluh orang isteri. Ketika beliau masuk Islam kesemua isterinya seramai 10 orang turut masuk Islam bersamanya. Disebabkan itu di dalam Islam seorang lelaki tidak boleh beristeri lebih daripada empat orang.

Setiap lelaki kebiasaannya  menyimpan hasrat untuk berkahwin lebih daripada seorang, sekalipun dia belum pernah diuji dengan perkahwinan. Namun begitu, keharusan berpoligami di dalam Islam adalah diberi kepada pasangan yang mempunyai masalah dengan perkahwinan sedia ada seperti kemandulan, sakit, gila, atau keinginan seksual suami yang terlalu tinggi sehingga isteri tidak mampu untuk memberi layanan sewajarnya, maka Islam memberikan jalan keluar dengan diharuskan berpoligami tetapi dengan syarat tertentu. Antara syarat poligami adalah:

  1. Adil Dan Mampu

Berpoligami ini kadang-kadang menjadi perlu dan terkadang tidak perlu bahkan boleh jadi menzalimi. Firman Allah SWT:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

Maksudnya: Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja.

(Surah al-Nisa’: 3)

Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya: Sesiapa yang takut untuk berlaku adil, maka cukuplah baginya seorang isteri sahaja. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/185)

Ibn Arabi al-Maliki menyatakan di dalam Ahkam al-Quran: Sekiranya seorang lelaki mampu dari sudut hartanya dan keinginannya untuk berkahwin, maka lakukanlah. Tetapi sekiranya dia tidak pasti dan tidak mampu mengenai kemampuan hartanya dan kemampuannya untuk menanggung untuk berkahwin lebih, maka cukuplah dengan seorang isteri sahaja. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/409)

Ayat di atas dengan jelas menunjukkan kalau ditakuti membawa kepada kezaliman jika berpoligami, maka cukuplah berkahwin satu sahaja. Kezaliman ini juga perlu mengambil kira perkara-perkara seperti pembahagian nafkah, kesihatan, kewangan, dan kemampuan fizikal.

Namun begitu, sekiranya seorang lelaki mendapati pada dirinya kemampuan harta, tenaga, kepercayaan dan keadilan, maka tidak ada masalah untuk dia berkahwin lebih daripada seorang, dan boleh jadi perkahwinan tersebut baik untuk diri dan agama dia.

  1. Tidak Menyakiti Hati Isteri

Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadith daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah SAW berkhutbah di atas minbar:

إِنَّ بَنِي هِشَامِ بْنِ المُغِيرَةِ اسْتَأْذَنُوا فِي أَنْ يُنْكِحُوا ابْنَتَهُمْ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ، فَلاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، إِلَّا أَنْ يُرِيدَ ابْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنْ يُطَلِّقَ ابْنَتِي وَيَنْكِحَ ابْنَتَهُمْ، فَإِنَّمَا هِيَ بَضْعَةٌ مِنِّي، يُرِيبُنِي مَا أَرَابَهَا، وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا

Maksudnya:Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.”

Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan di dalam syarahnya: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”

Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah SAW:

وَأَنَا أَتَخَوَّفُ أَنْ تُفْتَنَ فِي دِينِهَا يَعْنِي أَنَّهَا لَا تَصْبِرُ عَلَى الْغَيْرَةِ فَيَقَعُ مِنْهَا فِي حَقِّ زَوْجِهَا فِي حَالِ الْغَضَبِ مَا لَا يَلِيقُ بِحَالِهَا فِي الدِّينِ

Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.” (Lihat Fath al-Bari, 9/329)

  1. Adil dalam nafkah dan tidak menzalimi

Maksud “keadilan” yang dijadikan kriteria di atas ini adalah tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, kehidupan bersama yang berkualiti, dan menunaikan hak-hak isteri. Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan. Ini yang dimaksudkan dalam firman Allah SWT:

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Nisa’: 129)

Oleh sebab itu, Rasulullah SAW sendiri adalah seorang yang paling adil terhadap isteri-isteri baginda pada memberi mereka pembahagian hari dan muamalat yang baik, namun baginda lebih menyayangi Aisyah R.Anha. Baginda SAW berdoa:

اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ، فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ

Maksudnya:Ya Allah, inilah pembagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela aku pada sesuatu yang Engkau mampu dan tidak aku mampu.”

Riwayat Abu Dawud (1822). Beliau berkata; “iaitu hati.”

Hukum Poligami

Daripada sudut fiqh, poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa situasi, hukumnya boleh berubah kepada tiga hukum ( Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26) : 

  • Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat, atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah SAW, para Tabi’in dan generasi selepas mereka.
  • Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau rasa tidak yakin akan kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir”. ( Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/127)
  • Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak berat sebelah dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang mempunyai masalah kewangan. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya:Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.”

 Riwayat Imam Malik (31) dalam al-Muwatto’

Sebagai penutup, marilah kita merenungi firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

MaksudnyaDan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

(Surah al-Rum: 21)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan: Maka, jelaslah perkahwinan itu bukan sahaja untuk memberi kebahagian kepada satu pihak sahaja seperti mana yang disebutkan dalam ayat di atas. (Lihat al-Mu’tamad, 4/18)

Berkenaan bantahan daripada pihak isteri, tidak berdosa seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Misalnya, jika berpoligami dijangka akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan pembahagian hari antara isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan isteri melarang dan menghalang adalah adalah satu bentuk nasihat yang terpuji dalam agama.

Adapun yang dilarang oleh hukum syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan (poligami) dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri, atau menyebarkan aib di media sosial. Sekiranya wujud ketidakadilan, bawalah urusan tersebut ke pihak berkuasa dan mahkamah.

Apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi harus, sunat, makruh dan haram mengikut situasi, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan. Ia termasuk dalam bab menasihat suami, bahkan ia juga adalah satu bentuk syura yang dituntut syarak. Seorang wanita yang mengetahui dirinya akan dimadukan atau telah dimadukan, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami.

Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain. Hak kebebasan berpendapat dalam sistem syura ini dinaskan dalam al-Quran. Firman Allah ﷺ:

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

(Surah Ali Imran: 159)

Berkata Syeikh Muhammad Tohir Ibn Asyur: “Maka telah jelaslah bahawa musyawarah yang disuruh oleh ayat ini di sini adalah musyawarah pada hal ehwal umat dan maslahat-maslahatnya. Allah telah mengarahkan perlaksanaannya di sini dan telah memujinya ketika menceritakan tentang kaum Ansar dalam firman-Nya Ta’la yang lain:

وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ

Maksudnya: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;”

(Surah al-Syura: 38)

 Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:

فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا ۗ

Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya);”

(Surah al-Baqarah: 233)

Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.” (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir ,4/147-148)

Oleh itu, hukum poligami secara asalnya adalah harus dan ia bergantung kepada situasi tertentu bagi pasangan (samada sunat, makruh atau haram). Tidak berdosa jika isteri melarang suaminya untuk berpoligami, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya. Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa mendidik wanita dengan keperibadian Muslimah dan menjaga hak-hak mereka daripada ditindas atau dilanggar. Inilah pesanan Rasulullah ﷺ dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA:

اتَّقُوا اللهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانَةِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ، وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kalian dengan kalimah Allah… dan menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”

Riwayat al-Nasaie (9135)

Perkahwinan itu matlamatnya bukanlah membahagiakan satu pihak sahaja bahkan semua pihak yang terlibat. Nasihat saya, berbincanglah sebaiknya antara pasangan. Banyak contoh kehidupan poligami yang bahagia. Banyak juga contoh  kehidupan poligami yang membawa sengsara. Sunnahnya poligami itu bukan semata-mata melihat kepada bilangan tetapi kemampuan untuk menterjemahkan roh rumahtangga Nabawi dalam kehidupan masa kini. Semoga Allah SWT memberikan kita kebahagian di dalam rumahtangga dan memberikan kita kefahaman dalam memahami dan mengamalkan agama ini. Amin. Wallahua`lam.

Bertarikh: 18 Februari 2022 bersamaan 16 Rejab 1443H