#5174: Hikmah Penciptaan Makhluk Di Muka Bumi

Soalan:

Assalamualaikum WBT Dato Seri. Sekadar bertanya Apakah hikmah dan iktibar Allah SWT menjadikan setiap makhluk itu berbeza-beza? Contohnya,binatang seperti kuda dan keldai seakan sama tetapi kuda lebih dipandang tinggi dengan sifat tangkas dan laju berbanding keldai. Helang juga tidak sama dengan burung-burung yang lain seperti enggang. Pasti ada sesuatu untuk mengajak kita berfikir tentang kejadian-Nya Mohon pencerahan ilmu dari Dato Seri. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الأَرْضِ جَمِيعاً

Maksudnya: Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi

(Surah al-Baqarah:29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2)

Syeikh al-Sa’di ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: “Diciptakan untukmu segala yang ada di bumi, sebagai bentuk kebaikan dan rahmat serta untuk diambil manfaat daripadanya, berseronok, dan mengambil  pengajaran. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.48)

Begitu juga Allah berfirman dalam ayat yang lain:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

(Surah al-Mukminun:115)

Dapat difahami melalui nas-nas di atas bahawa  Allah tidak menciptakan sesuatu melainkan ada tujuan dan manfaatnya yang tersendiri. Ini membuktikan bahawa tiada sesuatu pun yang diciptakan-Nya dengan sia-sia dan tanpa adanya manfaat.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan setiap ciptaan Allah SWT baik haiwan, tumbuh-tumbuhan dan segala yang ada di langit mahupun di bumi mempunyai peranan dan manfaat masing-masing. Setiap ciptaan Allah SWT berbeza manfaatnya mengikut ciptaanya sebagai contohnya allah ciptakan kuda  bagi kegunaan manusia sebagai kenderaan untuk ke sesuatu tempat. Begitu juga ia diciptakan sebagai tunggangan dalam peperangan. Firman Allah SWT:

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ

Maksudnya: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya.

(Surah al-Anfal: 60)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili menytakan bahawa: Siapkanlah segala persiapan untuk melawan mereka dengan sekuat tenaga yang kamu mampu baik kekuatan fizikal dan rohani, termasuk persiapan senjata dan kuda-kuda yang diikat untuk berperang. Dengan cara ini, kamu akan membuat musuh-musuh Allah dan musuh-musuhmu takut, termasuk orang-orang munafik,yahudi dan orang-orang yang tidak kamu kenali akan permusuhannya. (Lihat al-Wajiz, hlm.185)

Begitu juga Allah menciptakan keldai sebagai manfaat bagi manusia untuk mengangkat dan mengangkut barang-barang yang berat  sepertimana firman Allah SWT:

كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا

Maksudnya: “Seperti keldai yang memikul Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya).”

(Surah al-Jumu’ah: 5)

Syeikh Abu Bakar al-Jazairi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Ia seperti keledai yang memikul di atas punggungnya kitab-kitab ilmu yang bermanfaat, namun ia tidak memahami apa yang dibawanya dan tidak mengetahui kebaikan yang terdapat di atas punggungnya. Ini kerana ia tidak membaca dan tidak memahami. (Lihat Aisar al-Tafasir, 5/348)

Pada masa dahulu, keldai sering digunakan untuk membawa barang-barangan, buku atau kitab yang berat di atas belakangnya. Penggunaan keldai sebagai pengangkut utama pada zaman dahulu terutamanya kerana keupayaannya menanggung beban yang berat dan banyak.

Sebagai kesimpulannya, Allah SWT, ketika Dia menciptakan manusia untuk beribadah kepada-Nya semata, tanpa menyekutukan-Nya, Dia mengagungkan mereka di antara seluruh makhluk lain, serta menjadikan seluruh alam semesta ini memberi khidmat manfaat kepada manusia. Hal ini telah dinyatakan dalam firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا ‎

Maksudnya:  Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

(Surah al-Isra: 70)

Allah telah menyiapkan bumi  dan menyebarkan kehidupan di dalamnya. Semua ini diciptakan untuk melayani dan memberi khidmat kepada manusia yang sifatnya  mulia di sisi Allah SWT  agar dia dapat menjalankan tujuan utama penciptaannya, iaitu beribadah kepada-Nya. Adalah kebiasaan bagi Zat Yang Maha Mulia untuk menyediakan kemuliaan bagi mereka yang dikehendaki-Nya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam