#5175: Tanda Allah SWT Menghendaki Kebaikan kepada Hamba-Nya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah ada hadith yang menyebut, jika Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, Allah gunakannya, dengan maksud Allah menjadikannya melakukan amalan soleh?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Jawabnya benar. Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ فَقِيلَ: كَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ المَوْتِ

Maksudnya: Jika sekiranya Allah SWT menginginkan kebaikan terhadap hambaNya, maka Allah SWT menjadikannya sentiasa melakukan amal. Para sahabat R.Anhum bertanya, “Bagaimana dia menjadikannya sentiasa melakukan amal?”. Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya.

Riwayat al-Tirmidzi (2142), Ahmad (12055), Ibn Hibban (341) dan al-Hakim (1257)

Ini kerana seseorang itu dinilai kepada amalan akhirnya. Justeru, makin tua, makin banyaklah amalan yang baik sepatutnya dilakukan oleh seseorang hamba Allah. Begitu juga, terdapat hadith yang lain, jika Allah inginkan kebaikan kepada hamba, Allah akan faqihkannya dalam agama. Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ

Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”

Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/165)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”