#5177: Diperintahkan Beristighfar dan Kelebihannya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kita diperintahkan untuk beristighfar dan apa kelebihannya? Begitu juga, bagaimana kita beristighfar?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan benar.

Menurut al-Raghib al-Asfahani, istighfar adalah memohon (keampunan) dengan ucapan dan perbuatan. Firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

Maksudnya: “Maka aku katakan kepada mereka: mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya dia Maha pengampun.”

                                                                                                          (Surah Nuh: 10)

Menurut al-Raghib lagi, dalam ayat ini, tidaklah bererti bahawa mereka diperintahkan memohon ampun hanya dengan lisan semata-mata, tetapi ia mesti dilakukan dengan lisan dan perbuatan. Bahkan, sehingga dikatakan, memohon keampunan (istighfar) hanya dengan lisan sahaja tanpa disertai dengan perbuatan adalah amalan para pendusta. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 362)

Al-Jurjani menukilkan daripada ahli kalam, bahawa istighfar adalah bermaksud memohon keampunan selepas melihat betapa buruknya maksiat dan berpaling daripadanya. Seorang ulama pernah menyebut Istighfar merupakan permohonan untuk melakukan pengislahan yang telah rosak sama ada dengan perkataan atau perbuatan. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 36)

Antara maksud lain istighfar ialah memohon keampunan atau memohon penghapusan dosa, menghilangkan kesannya dan berlindung daripada kejahatannya. Ibn al-Qayyim telah berkata: “Hakikat al-Maghfirah (keampunan) ialah melindungi dari kejahatan dosa. Oleh itu setiap yang menutupi kepala daripada kesakitan dinamakan sebagai al-Mighfar.” (Lihat Madarij al-Salikin, 1/308)

Adapun perintah disuruh beristighfar antaranya adalah berdasarkan firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

(Surah Nuh: 10-12)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, jika kamu bertaubat kepada Allah, memohon ampun kepada-Nya dan kamu sentiasa mentaati-Nya, nescaya Dia akan membanyakkan rezeki kamu, menurunkan air hujan serta keberkatan dari langit, mengeluarkan keberkatan dari bumi, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan untuk kamu, melimpahkan air perahan susu untuk kamu, membanyakkan harta dan anak-anak untuk kamu, menjadikan kebun-kebun yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis buah-buahan untuk kamu, dan mengalirkan sungai-sungai di antara kebun-kebun itu. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/449)

Al-Qurtubi berkata: Dalam ayat ini juga, disebutkan dalam ‘وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ’ (Dan hendaklah kamu memohon ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya) [Surah Hud: 3], dan ia merupakan dalil yang menunjukkan bahawa istighfar adalah salah satu wasilah memohon diturunkan rezeki dan hujan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/302)

Justeru, perbanyakkanlah beristighfar kepada Allah SWT kerana ia adalah penyelesai kepada bermacam masalah. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا ، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا ، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang sentiasa melazimi istighfar, Allah SWT menjadikan baginya setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap keluh kesah itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”.

Riwayat Abu Dawud (1518), Ibn Majah (3819), Ahmad (1/248), al-Tabarani dalam al-Ausat (6/240) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3/351)

Antara lafaz istighfar adalah sepertimana disebut dalam hadith yang diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: “Penghulu bagi istighfar adalah dengan kamu mengucapkan:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Riwayat al-Bukhari (6306)

Dalam menjelaskan hadith ini, Ibn Battal dalam Syarh Sahih al-Bukhari berkata: Al-`Ahd bermaksud perjanjian yang Allah ambil daripada hamba-hambanya ketika penciptaan mereka yang mula-mula, semasa Dia mengeluarkan mereka daripada sulbi bapa mereka (Adam) seumpama zarah dan menyaksikan mereka bersaksi atas diri mereka sendiri: “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami).” Maka mereka mengakui ketuhanan Allah ketika mereka berada dalam keadaan asal kejadian, mereka tunduk dan patuh pada sifat Wahdaniyyah-Nya.

Manakala al-wa`d bermaksud janji Allah Taala kepada mereka bahawa barangsiapa dalam kalangan mereka yang mati dalam keadaan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun, kemudian menunaikan apa yang telah difardukan Allah ke atasnya maka masuklah Syurga. Hendaklah setiap orang beriman itu berdoa kepada Allah Taala agar mematikannya dalam (memegang kukuh) perjanjian tadi, serta dimatikan dalam iman, supaya dapat mengecapi apa yang telah dijanjikan Allah Taala bagi sesiapa yang mengotakan yang demikian itu, kerana mengikut cara Nabi SAW apabila berdoa untuk perkara itu. Ini juga serupa dengan apa yang diminta oleh para nabi AS dalam doa-doa mereka.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 10/76)

Selain itu, diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya:

إِنْ كُنَّا لَنَعُدُّ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَجْلِسِ يَقُولُ: ” رَبِّ اغْفِرْ لِي وَتُبْ عَلَيَّ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الْغَفُورُ ” مِائَةَ مَرَّةٍ

Maksudnya: Sesungguhnya kami mengira Rasulullah SAW dalam satu majlis mengucapkan (doa) sebanyak 100 kali: Ya Rabbi! Ampunilah aku dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Riwayat Abu Dawud (1516), al-Tirmidzi (3434), Ibn Majah (3418), al-Nasaie di dalam al-Sunan al-Kubra (10292) dan Ahmad (4726)

Terdapat juga sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Bakar R.A, di mana beliau berkata kepada Rasulullah SAW: “Ajarkanlah aku suatu doa yang boleh aku panjatkan dengannya ketika solat.” Lalu Baginda SAW pun bersabda: “Bacalah:

اللَّهُمَّ إِنِّى ظَلَمْتُ نَفْسِى ظُلْمًا كَثِيرًا وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ ، فَاغْفِرْ لِى مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ ، وَارْحَمْنِى إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Riwayat al-Bukhari (834) dan Muslim (2705)

Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan: ‘ظَلَمْتُ نَفْسِي’ (aku telah menzalimi diriku sendiri), maksudnya melakukan apa yang dapat mendatangkan seksaan atau mengurangkan darjat. Ini merupakan penjelasan bahawa seseorang tidak terlepas daripada kekurangan meskipun orang itu berstatus siddiq (benar dan boleh dipercayai).

‘ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ’ (dan tidak ada yang mengampuni dosa selain Engkau). Kalimat ini mengandungi pengakuan akan keesaan Allah serta permohonan keampunan kepada-Nya.

Berkenan lafaz ‘مَغْفِرَةً مِن عِندِكَ’ (keampunan dari sisi-Mu), Al-Tibi berkata: Lafaz ‘مَغْفِرَةً’ yang diungkapkan dalam bentuk nakirah menunjukkan bahawa apa yang diminta adalah keampunan yang sangat besar, yang tidak diketahui batasannya. Adapun maksud pernyataan bahawa ia berasal dari sisi Allah SWT adalah menggambarkan keagungan, kerana sesuatu yang berasal dari sisi Allah SWT, maka sifatnya tidak dapat digambarkan.

Ibn Daqiq al-‘Id berkata: Hal ini mencakupi dua kemungkinan:

  • Pertama, mengisyaratkan tauhid (keesaan Allah SWT) yang disebutkan sebelumnya, seakan-akan dikatakan bahawa tidak ada yang melakukan hal ini kecuali Engkau, maka lakukanlah oleh-Mu.
  • Kedua, – ini yang lebih baik – mengisyaratkan permohonan keampunan berupa kurniaan daripada Allah SWT, bukan kerana balasan atas suatu amal kebaikan daripada hamba. Kemungkinan terakhir inilah yang ditegaskan oleh Ibn al-Jauzi, katanya: “Maknanya, berikanlah kepadaku keampunan sebagai kurniaan daripada-Mu meskipun aku tidak berhak memperolehinya dengan amalanku.” (Lihat Fath al-Bari, 4/685)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”