#5178: Silaturrahim dan Maknanya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan makna silaturrahim serta galakan untuk kita menyambung dan kelebihannya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi:

Perkataan silaturrahim (صلة الرحم) berasal daripada dua perkataan Arab iaitu “صلة” dan “الرحم”. Al-Raghib al-Asfahani menyebut:

الرَّحِمُ: رَحِمُ المَرْأَة (أَي بَيْت مَنبَت ولدهَا وَوعَاؤه) . وَمِنهُ اسْتَعير الرَّحِمُ لِلْقَرَابَةِ، لِكَونِهِم خَارِجِينَ مِن رَحِم وَاحِدَة

Maksudnya: “Al-Rahim yang dimaksudkan adalah rahim wanita iaitu tempat di mana janin berkembang dan terlindung (dalam perut wanita). Dan istilah al-rahim digunakan untuk menyebut kaum kerabat kerana mereka berasal dari satu rahim.” (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 347)

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.”

Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

Imam al-Nawawi dalam menjelaskan hadith ini berkata: Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/114)

Manakala dalam hadith daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda SAW menjawab:

تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا ، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ ، وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ

Maksudnya: “Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim.

Riwayat al-Bukhari (5983)

Imam Nawawi menyebut: “Adapun maksud silaturrahim, ia adalah berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan. Terkadang dalam bentuk kebaikan dengan harta, terkadang dengan memberi bantuan tenaga, terkadang dengan mengunjunginya, dengan memberi salam, dan sebagainya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 1/287)

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebut: Al-Rahim (الرحم) secara umum adalah dimaksudkan kepada kaum kerabat dekat. Antara mereka terdapat garis keturunan (nasab), sama ada berhak mewarisi atau tidak, dan sebagai mahram atau tidak. Menurut pendapat lain, mereka adalah daripada mahram (kerabat dekat yang haram dinikahi) sahaja. Pendapat pertama lebih kuat kerana menurut batasan kedua, anak-anak saudara dan anak-anak ibu saudara bukan kerabat yang dekat kerana tidak termasuk yang haram dinikahi, sedangkan ia tidaklah sedemikian. (Lihat Fath al-Bari, 10/414)

Syeikh Mulla Ali al-Qari menyebut bahawa silaturrahim adalah ungkapan berkenaan berbuat baik kepada kaum kerabat yang dekat – sama ada mengikut garis keturunan atau melalui perkahwinan – berlemah lembut dan mengasihi mereka serta mengambil cakna akan hal keadaan mereka. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 8/645)

Ibn al-Athir pula menyebut: “Banyak hadith yang menyebutkan berkenaan silaturahim. Ia merupakan kinayah (yang memberi maksud secara tidak langsung) untuk perbuatan baik kepada kaum kerabat yang mempunyai hubungan nasab, atau kerabat kerana hubungan pernikahan, dengan berlemah-lembut dan memberi kasih sayang kepada mereka serta mengambil peduli akan hal keadaan mereka. Manakala memutuskan silaturrahim adalah lawan daripada semua perkara itu.” (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, 5/191-192)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”